Khamis, 24 Mei 2012

Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden

Bekas Peguamcara Negara jadi peguam Anwar
TINDAKAN bekas Peguamcara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden muncul bersama barisan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah baru-baru mengejutkan semua pihak.

Datuk Mohd Yusof adalah bekas Ketua Pendakwa dalam kes liwat II Anwar yang kesudahannya Anwar dibebaskan oleh mahkamah.

Beliau telah bersara pada Februari lalu dan kini mempunyai firma guamannya sendiri. Beliau muncul di mahkamah baru-baru ini bertindak sebagai salah seorang peguambela Anwar dalam kes perhimpunan haram Bersih yang melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Menurut Yusof, kehadirannya sebagai peguam Anwar tidak mempunyai kaitan dengan politik dan beliau bertindak sebagai seorang profesional. Walau apa pun alasan beliau, isu dan berita ini telah menjadi ibu segala berita pada minggu lalu. Ianya menjadi bahan terhangat mengatasi isu-isu lain seperti isu muzakarah Umno - Pas atau keluarnya Tunku Aziz Tunku Ibrahim dari DAP.

Tindakan Datuk Yusof adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Langkahnya itu sekurang-kurangnya telah menaikkan sedikit "saham" Anwar Ibrahim dalam percaturan politik negara yang sudah hampir di ambang pilihan raya umum.

Tidak boleh dinafikan ianya adalah satu tamparan pada kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak. Tentunya berbagai tafsiran dibuat ekoran keputusan Datuk Yusof itu. Apakah faktor yang mendorong beliau bertindak sedemikian ? Apakah beliau mempunyai masalah dengan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail ?

Namun apa pun isu ini tetap menimbulkan banyak persoalan dalaman dan lebih pada apa yang tersirat dari yang tersurat. Dari seorang pendakwa kerajaan dalam kes Anwar - tiba-tiba bertukar dan sanggup menawarkan diri sebagai peguambelanya adalah sesuatu yang memerlukan penjelasan dari Datuk Yusof sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan