PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia memberi penjelasan berkenaan Amanatnya pada tahun 1981 yang dikatakan menjadi punca perpecahan masyarakat Islam di negara ini. Kesediaan beliau bersyarat; dengan memberi peluang padanya menjelaskan di kaca tv selama sejam secara siaran langsung.
Permintaan Abdul Hadi itu telah pun diberi reaksi balas dari Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang sanggup mengadakan satu forum di tv yang akan melibatkan para Mufti. Menurut Dr. Rais, Abdul Hadi boleh mempertahankan Amanatnya itu dengan memberi peluang pada para Mufti di negara ini membetul atau menyanggah pendapatnya.
Sekiranya rancangan forum ini menjadi kenyataan ia tentunya merupakan peristiwa penting yang ditunggu seluruh rakyat di negara ini. Ia memberi peluang melihat sendiri hujah Hadi dan para Mufti dalam soal kafir mengkafir sesama Islam ekoran Amanat Hadi itu.
Pada tahun 1990an dahulu ketika Jemaah Darul Arqam pimpinan Ustaz Ashaari Muhamad yang disahkan mengandungi ajaran sesat oleh Majlis Fatwa telah diadakan satu majlis pengakuan terbuka Ustaz Ashaari, isteri dan para pengikutnya di depan sekalian para Mufti. Majlis ini disiarkan secara langsung di tv. Ia diadakan di bangunan parlimen.
Majlis itu selain dihadiri para Mufti ia dikendalikan oleh dua tokoh agama iaitu Brigadier Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Hamid Hj. Zainal Abidin(bawah) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd.Hashim Yahya(atas). Mereka berdua bertindak sebagai pengerusi dengan menyoal balas Ustaz Ashaari, isteri dan pemimpin lainnya tentang kesalahan dan kesilapan mereka mengamalkan aqidah yang salah dalam jemaah Arqam. Dalam majlis tersebut, Ustaz Ashaari membuat pengakuan dan keinsafan secara terbuka di atas semua kesalahannya.
Majlis tersebut yang berjalan lancar lebih berkisar pada luahan penyesalan dan keinsafan para pemimpin dan pengikut Arqam yang tergelincir dari amalan Ahli Sunnah. Dalam kaitan majlis itu dengan program tv Amanat Hadi yang akan diadakan mungkin mempunyai sedikit persamaan.
Kalau Ustaz Ashaari memberi pengakuan dan keinsafan di atas kesalahannya, Abdul Hadi pula akan memperjelas dan mempertahankan Amanat yang telah dikeluarkannya 30 tahun dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan