Jumaat, 18 Januari 2013

Faktor undi kaum Cina

DENGAN PRU 13 sudah berada di ambang pintu, Barisan Nasional(BN) bolehlah menganggap undi kaum India lebih berpihak pada BN dan tidak akan berganjak. Ia kelihatan solid dan akan menjadi 'safe deposit' buat kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana rata-rata kaum India gembira dengan apa yang telah diberikan kerajaan pada mereka. Lebih -lebih lagi parti MIC di bawah pimpinan G.Palanivel lebih tenang dan low profile berbanding di zaman Datuk Seri Samy Vellu yang penuh kontroversi. Palanivel, nampaknya lebih kerja dari publisiti.

Tetapi ini tidaklah bermakna BN boleh selesa dan penuh yakin dengan kaum India akan tetap bersama kerajaan, malah ia perlu terus bekerja keras bagi menarik hati kaum ini.

Bagi kaum Cina pula yang sentiasa menjadi faktor penting dan penentu dalam setiap pilihanraya memang agak sukar diramal. Berdasarkan pada masa lampau sokongan kaum Cina boleh berubah-ubah mengikut suasana. Adakalanya sokongan itu lebih berat pada kerajaan. Dan pada ketika lain pula ia menolak kerajaan dan memilih pembangkang.

Bukti paling jelas pada pilihanraya umum 90an di mana peristiwa "mata lebam" dan Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan - undi kaum Cinalah yang telah memberi kemenangan dua pertiga pada BN dan kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad yang dikira pada masa itu telah kehilangan banyak sokongan orang melayu.

Dan pada tsunami politik 2008 kaum Cina juga sekali lagi telah memainkan peranan penting menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan merampas lima buah negeri jatuh ke tangan pembangkang. Ia juga telah menambah kerusi DAP dan wakil rakyat kaum Cina di Parlimen.

Bagaimana kali ini dalam PRU 13; apakah kaum Cina akan terus menjadi faktor penentu bakal kerajaan yang akan dibentuk di Putrajaya ?

Namun melihat suasana terbaru di perhimpunan pembangkang di Stadium Merdeka baru-baru ini sedikit menimbulkan kesangsian tentang sikap dan pendirian mereka pada masa kini. Dengan kehadiran para penyokong pembangkang yang dianggarkan mencecah 100 ribu orang pada perhimpunan itu - kehadiran kaum Cina tidak sampai 8%. Satu jumlah kecil dan dikira mereka telah menjauhinya dari terlibat.

Justeru sikap mereka sukar diramal. Undi mereka boleh pergi pada kerajaan atau pembangkang bila-bila masa. Hanya keadaan akan menentukan. Apa yang pasti sebahagian besar kaum Cina tidak suka pada keganasan dan ketidaktentuan dalam negara. Mereka sentiasa yakin pada suasana aman dan stabil jauh dari segala kekacauan yang boleh menggugat kehidupan dan perniagaan.

Faktor-faktor inilah akan mempengaruhi sikap dan pendirian mereka. Tentunya mereka tidak akan menggadaikan apa yang dinikmati sekarang dengan masa depan yang belum tentu dan terjamin.

Orang melayu pula yang dikatakan semakin banyak menyokong parti Pas yang memperjuangkan Islam kini semakin keliru dan sangsi dengan pendirian parti itu yang sentiasa tidak konsisten dan sering berubah-ubah. Isu kalimah Allah jelas para pemimpin Pas telah membuat U turn dari pendirian asalnya yang membenarkan penggunaannya di kalangan bukan Islam. Manakala pendirian Majlis Syura Ulama Pas adalah selari dengan para Mufti kerajaan yang berpendirian kalimah Allah hanya untuk orang Islam.

Bukti percanggahan sikap pemimpin Pas dalam isu ini bila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tetap berpegang pada pendirian asal Hadi Awang dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang lalu yang menetapkan bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam versi Bible.

Sikap Pas yang tidak konsisten dan flip-flop dalam banyak isu penting telah menyedarkan orang melayu betapa mereka memperjuangkan Islam selama ini hanya demi kepentingan politik.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan