Ahad, 20 Januari 2013

Aneh sungguh politik Malaysia

SUHU PRU 13 semakin tinggi dan panas. Ibarat berada dalam bilik hawa dingin, peluh terus mengalir dicelah-celah anggota badan. Hawa dingin sudah tidak terasa, bahang panas pula menguasai ruang.

Isu satu lepas satu timbul mempengaruhi suasana. Ada isu bersifat terang benderang dan tidak kurang isu yang samar-samar, berbelit-belit dan memerlukan pencerahan serta penjelasan. Yang bingung terus kebingungan.

Inilah suasana politik Malaysia yang unik dan 'sakit'. Orang sudah tidak dapat membezakan mana satu cerita benar dan cerita palsu dan fitnah. Semuanya bergantung pada cara penyampaian dan penerimaan sesuatu berita atau kejadian.

Surat Akuan sumpah boleh ditukar dan dibuat dua kali dalam perkara yang sama. Surat sumpah sudah menjadi keping kertas yang tidak bernilai dan memberi makna. Sedangkan itu adalah satu kesalahan serius disegi undang-undang.

Yang meletihkan tidak ada susulan dan pencerahan. Sesuatu perkara menjadi bertambah kusut dan kegelapan.

Lebih karut bila tiba-tiba muncul seorang mamak penjual karpet yang seolah mampu mempengaruhi jatuh bangunnya sebuah kerajaan. Lebih menarik mamak ini boleh melakukan tawar menawar bagi menentukan khidmat yang akan diberikan bagi membantu pihak tertentu menjatuhkan atau mendirikan sebuah kerajaan.

Kalau sedikit masa dahulu faktor 'punggung' mempengaruhi pengundi menentukan nasib pemimpin dan kerajaan, kini mamak penjual karpet mengambil alih menjadi peranan utama.

Aneh sungguh politik Malaysia. Ia bukan sahaja aneh malah bertambah gelap dan samar-samar. Tidak ada pencerahan. Dalam suasana inilah rakyat akan turun mengundi bagi memilih sebuah kerajaan yang diingini. Dan di dalam keadaan samar-samar, gelap dan tiada pencerahan !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan