BEKAS PM Tun Abdullah Ahmad Badawi dikhabarkan mahu mempertahankan kerusi parlimen Kepala Batas dalam PRU13 ini sekiranya pucuk pimpinan parti memberi peluang padanya.
Kerusi Kepala Batas adalah milik Pak Lah sejak 1978 lagi ketika dia mula menceburkan diri dalam politik selepas meletakkan jawatan sebagai pegawai kerajaan. Dia memegang kerusi itu sehingga sekarang.
Selepas Pak Lah meletakkan jawatan sebagai PM pada 2 April 2009, dia terus kekal di parlimen sebagai wakil rakyat. Baru-baru ini dia ada meluahkan di akhbar bahawa ia bersedia bertanding lagi jika terpilih oleh parti.
Kepala Batas adalah kubu kuat BN sejak lama dahulu dan sukar digugat dari mana-mana calon parti pembangkang. Ia adalah kawasan selamat buat BN. Soalnya apakah wajar kerusi itu terus diberikan pada bekas PM ke 5 itu ?
Sehingga kini Pak Lah boleh mencatat rekod sebagai satu-satunya bekas PM yang berhenti yang masih terus kekal di parlimen. Sebelum itu semua bekas PM yang berhenti tidak lagi berada di parlimen sebagai wakil rakyat.
Rasanya adalah molek beliau memberi laluan pada muka-muka baru bagi mewakili kawasan Kepala Batas pada PRU kali ini. Tidak ada kelebihan apa pun buat parti atau dirinya sendiri jika terus menjadi wakil rakyat. Pak Lah seharusnya bersara terus dari segala aktiviti politik parti.
Namun beliau perlu terus kekal sebagai Pengerusi atau apa saja badan kerajaan atau NGO yang beliau pegang sekarang seperti IKIM dan sebagainya. Beliau boleh memberi khidmat dan sumbangan fikiran dalam kegiatan seperti ini. Dan kalau perlu beliau boleh membantu parti UMNO dan BN dalam apa situasi sekali pun. Itulah sahaja khidmat yang sesuai untuknya sebagai seorang yang setia pada parti.
Sekiranya Pak Lah tidak bertanding lagi ia tidak akan banyak menjejas peluang parti dalam PRU13 ini. Begitu juga sekiranya dia bertanding lagi ia tidak akan banyak memberi kelebihan pada parti. Dalam keadaannya sekarang tidak banyak yang beliau boleh sumbangkan semasa dalam perbahasan di parlimen. Berikan sahaja peluang pada calon-calon muda yang berpotensi.
Pak Lah sebagai negarawan perlu berada di kedudukan yang terhormat dan terus dihormati dari rakan dan lawan. Tidak bertanding lagi adalah satu pilihan terbaik untuknya. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan