Selasa, 22 Januari 2013

Kuasa politik melayu semakin lemah

BANGSA melayu sekurang-kurangnya menghadapi dua kali perpecahan besar dalam tiga dekad terakhir yang lalu.

Kesemua peristiwa perpecahan itu berlaku dalam era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun beliau menjadi Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri dari 1981-2003.

Perpecahan di kalangan orang melayu ketika itu adalah serius dan besar kerana ia melibatkan parti UMNO yang dikira kuat, berpengaruh dan dominan dalam politik negara.

Sudah tentulah apa yang berlaku dalam UMNO akan memberi impak bukan sahaja terhadap bangsa melayu tetapi juga pada kaum lain serta lebih utama kesan pada negara secara keseluruhannya.

UMNO adalah parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang memerintah. Pada ketika itu parti komponen BN yang lain tidak mempunyai kekuatan dan mampu mengambil alih peranan UMNO.

Kedua peristiwa perpecahan itu ialah pertamanya; wujud Team A dan B dalam UMNO yang akhirnya parti UMNO diharamkan seterusnya lahir dan tertubuhnya Parti Semangat 46.

Semuanya berpunca dari adanya pertandingan dan perebutan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Tengku Razaleigh Hamzah yang beregu dengan Tun Musa Hitam dalam Team B telah mencabar Dr. Mahathir dan Ghaffar Baba bagi jawatan tertinggi itu.

Dalam pertandingan itu Dr. Mahathir dan Ghaffar menang dengan kelebihan 40 undi.

Team B tidak kurang disertai tokoh-tokoh besar seperti Al marhum Datuk Harun Idris, Abdullah Ahmad Badawi, Rais Yatim, Syed Hamid Albar, Shahril Samad, Kadir Sheikh Fadzil, Radzi Sheikh Ahmad dan lain-lain.

Bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj yang masih hidup ketika itu turut serta memberi sokongan pada Team B.

Namun akhirnya segalanya berakhir bila Tengku Razaleigh membubarkan Parti Semangat 46 dengan menyertai semula UMNO. Ku Li mengambil langkah tersebut mengambil kira Parti Semangat 46 gagal mendapat sokongan dan ingin mengembalikan perpaduan di kalangan orang melayu.

Selepas UMNO bercantum semula setelah 46 dibubarkan berlaku pula sekali lagi perpecahan pada akhir 90an ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli UMNO.

Pemecatan Anwar itu sekali lagi membawa perpecahan dalam UMNO dan orang-orang melayu. Sehinggalah tertubuhnya parti Keadilan yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tetapi dari beberapa segi perpecahan berpunca dari kes Anwar ini tidaklah sehebat perpecahan semasa Team A dan B dalam parti dahulu. Kerana semasa wujudnya Team B boleh dikatakan hampir separuh menteri dan tokoh-tokoh penting UMNO berada di antara dua kem itu.

Dalam kes pemecatan Anwar tersebut tokoh dan pemimpin yang ikut bersama Anwar tidaklah seramai jumlahnya berbanding dalam Team B dulu.

Bagaimanapun, di dalam kedua krisis tersebut Dr. Mahathir telah berjaya mengatasi dan menanganinya sehingga sebahagian besar orang melayu kembali memberi sokongan pada UMNO.

Ini terbukti sebelum Dr. Mahathir bersara pada 2003 dan menyerahkan kepimpinannya pada Tun Abdullah Ahmad Badawi, UMNO telah kembali pulih dan kuat. Hanya negeri Kelantan satu-satunya kekal berada di tangan parti pembangkang Pas.

Seterusnya pada 2004 di bawah pimpinan Tun Abdullah Badawi, UMNO dan BN telah mencapai kejayaan terbesar lebih dari dua pertiga pada PRU 11. PKR hanya menang satu kerusi di Permatang Pauh.

Namun segalanya berubah bila tsunami politik melanda pada PRU 12, 2008. Di atas beberapa faktor kelemahan kerajaan BN dan UMNO di bawah Tun Abdullah Badawi, pembangkang terutama parti melayu seperti Pas dan PKR kembali kuat dan mendapat sokongan besar rakyat.

Kesan dari tsunami 2008 itu masih memberi kesan sehingga kini. Secara umumnya orang-orang melayu berpecah lagi kali ini kepada tiga parti - UMNO, Pas dan PKR.

Dengan UMNO yang telah hilang kekuatan sebenarnya selepas PRU 12, 2008, Pas dan PKR pula semakin kuat menyaingi dan menarik sokongan rakyat. Ditambah kedua parti itu mendapat kerjasama dari DAP dalam Pakatan Rakyat bagi menumbangkan UMNO dan BN dan seterusnya menawan Putrajaya.

Dengan PRU 13 yang semakin dekat kedudukan orang melayu sekali lagi berada dalam suasana perpecahan.

Apakah kesannya terhadap orang melayu selepas PRU 13 nanti ? Apakah orang-orang melayu akan terus lemah dan hilang kuasa politik ? - satu-satunya cabang yang dikuasainya sejak merdeka.

Tidak siapa dapat meramalkan dengan tepat. Kalau dahulu perpecahan melayu adalah masalah dalaman UMNO. Tetapi kini ia adalah masalah luaran yang melibatkan tiga parti besar UMNO, Pas dan PKR.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan