Sabtu, 26 Januari 2013

Kuasa mutlak PM menentukan tarikh PRU

TARIKH dan bilakah pilihanraya umum akan diadakan di negara ini sering kali boleh buat orang yang sakit jantung bertambah kencang degupnya. Ia sudah jadi satu tarikh keramat yang menjadi ramalan dan teka-teki semua lapisan masyarakat.

Ada yang buat rancangan mengadakan kenduri-kendara atau bercuti melancong dan sebagainya; boleh semput sekiranya tarikh pilihanraya umum jatuh hari yang sama atau berselang beberapa hari.  Pilihanraya itu sendiri sudah bagaikan satu pesta dan perayaan bagi sesetengah orang.

Mungkin ada yang bergembira jika tarikh keramat itu jatuh pada hari atau minggu yang sama dengan program mereka. Boleh jadi ia mampu menambahkan keceriaan dan kemeriahan suasana. Ada juga merasakan ia boleh mengganggu dan merosakkan rancangan mereka yang telah di atur dari awal.

Tarikh pilihanraya sudah menjadi satu keresahan, lebih-lebih lagi orang politik yang nyawanya tergantung; apakah masih boleh terus jadi wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB).

Apakah sudah cukup pencen atau projek bagi memenuhi dan meneruskan keperluan kehidupan. Dalam bab ini pembangkang atau kerajaan tidak terkecuali. Semua masing-masing perlu hidup. Perut perlu di isi. Tidak akan ada perjuangan sekiranya perut itu kosong.

Masalahnya tarikh keramat itu hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang tahu dalam dunia ini. Ianya adalah sesuatu yang rahsia. Satu perkara yang sulit untuk dikongsi, malah anggota kabinet atau ahli Majlis Tertinggi parti pun tidak akan mengetahui.

Dalam hal ini kabinet dan Majlis Tertinggi hanya mengetahui soal persiapan dan strategi kerajaan atau parti bagi menghadapi pilihanraya. Soal bila atau tarikhnya hanya kuasa mutlak PM. Dia seorang yang tahu. Barangkali, Timbalan Perdana Menteri pun tidak tahu tarikhnya yang sebenar.

Selagi kerajaan BN berkuasa hak eksklusif ini akan terus kekal sebagai kuasa mutlak PM. Ia mungkin berlaku perubahan sekiranya pembangkang berkuasa. Pembangkang mahu tarikh pilihanraya umum ditetapkan lebih awal dan menjadi pengetahuan semua orang. Tidaklah ia menjadi satu teka-teki dan subjek ramalan setiap kali hampir pilihanraya umum.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan