Jumaat, 5 Julai 2013

Piya dan Poknik dalam kesebelasan utama

SATU laman web Goal.com telah memilih pemain Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab. Halim atau lebih dikenali dengan Poknik selaku Pemain Pertahanan Kanan Terbaik Pasukan Asia bagi bulan Jun. Turut tersenarai dalam pemilihan itu ialah Jalal Hosseini (Iran) dan Lucas Neill (Australia).

Poknik, 22 tahun bermain dalam pasukan The Red Warriors sejak 2011 di bawah jurulatih Datuk M.Karathu. Dia kini terus menjadi pilihan utama jurulatih Bojan Hodak membarisi bahagian pertahanan Kelantan disamping Obinna Nwaneri.
Poknik

Poknik juga adalah antara pemain pertahanan utama pilihan Ong Kim Swee ketika pasukan Harimau Muda berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta yang lalu.

Dalam pasukan Kelantan dia sering bermain diposisi bek kanan. Manakala dalam pasukan Harimau Muda, Kim Swee meletakkannya di bahagian tengah pertahanan.

Ketika perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu di mana Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraannya menewaskan Johor Darul Takzim 1-0, Poknik adalah antara pemain pertahanan yang cemerlang prestasinya.

Dengan usianya yang masih muda pemain ini tentunya mempunyai masa depan yang cerah dalam kariernya. Ia juga menjadi harapan besar pada Kelantan, lebih-lebih lagi pasukan kebangsaan.

Kelantan boleh berbangga kerana dapat mencungkil ramai pemain yang berbakat. Selain Poknik tentunya Mohd Badri Radzi atau Piya yang dipilih sebagai pemain terbaik dalam final Piala FA lalu.

Piya sebagai pemain midfield sering dibayangi Ketua Pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim. Dan jurulatih kebangsaan Datuk K.Rajagobal kelihatan lebih selesa mengutamakan Safiq dari Piya dalam barisan utama. Sebelum ini Piya tidak tersenarai langsung dalam pasukan Harimau Malaya sehingga ramai peminat mengkritik pemilihan jurulatih itu.
Piya

Namun setelah mengambil kira pandangan umum akhirnya Rajagopal memanggil juga Piya dalam senarai pemain kebangsaan. Setakat ini tidak banyak aksi Piya dalam perlawanan yang melibatkan Harimau Malaya.

Berdasarkan prestasi Safiq dan Piya tidak banyak lebih dan kurangnya. Keduanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Cuma harap Rajagopal tidak terlepas pandang dengan Poknik yang boleh dikira lebih baik dari setengah pemain pertahanan Harimau Malaya sekarang.

Piya dan Poknik layak berada dalam senarai kesebelasan utama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan