Jumaat, 19 Ogos 2011

Negara Islam terus bergolak


DALAM bulan ramadan ini negara dan umat Islam terus dirundung
malang. Sebahagian besar negara terus bergolak dan bermandi darah.

Di Pakistan dalam wilayah Khyber, satu letupan bom di sebuah masjid
semasa solat Jumaat mengakibatkan 40 kematian.

Keadaan di Somalia tidak perlu diceritakan lagi; hampir 20,000 kanak-kanak
mati kebuluran akibat kekurangan zat makanan dan kemarau yang panjang.
Hingga kini dilaporkan hampir 2 juta penduduk Somalia diancam kebuluran,
sekiranya bantuan tidak disalurkan segera.

Terbaru di Gaza, Palestin, ramai termasuk kanak-kanak cedera akibat serangan
balas rejim Israel di wilayah itu kerana membalas dendam di atas kematian
tujuh tentera Yahudi di sebuah kawasan bernama Eilat.

Dalam serangan itu selain askarnya terbunuh, 10 orang cedera dalam serangan
ke atas sebuah bas. Hamas menafikan ia bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Serangan balas Israel ini ibarat tindakan "tit for tat" terhadap para pejuang Hamas.

Manakala di Syria keadaan semakin meruncing bila tentera kerajaan menembak
ke arah para perusuh. Setakat ini kematian orang awam telah meningkat ke angka
2,000 orang setelah empat bulan kebangkitan rakyat menentang pemimpin
Bashar Al Assad.

Kelmarin Presiden Amerika, Barack Obama, telah menggesa Assad berundur
dan memberi laluan pada proses demokrasi mengikut tuntutan majoriti rakyat.
Obama juga telah mengistiharkan tindakan sekatan antarabangsa terhadap Syria.

Tindakan sekatan ini ditentang oleh Rusia, Turki dan Iran. Mereka menganggap
"sanction" ini tidak akan berkesan sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Iran
dahulu. Malah jika sekatan ini berkuatkuasa, rejim di Syria tidak akan tergugat.
Sebaliknya, rakyat terbanyak akan menerima kesannya.

Iran, Turki dan Rusia lebih cenderung memberi ruang dan masa pada Assad
bagi melakukan perubahan dan reform.

PBB pula kini bersiap menghantar satu pasukan ke Damsyik bagi menyiasat
tentang hak-hak perlanggaran kemanusiaan yang dilakukan rejim Assad terhadap
rakyatnya.

Begitu juga nasib Afghanistan yang terus dihujani letupan bom oleh puak
Taliban yang telah mengorbankan ramai pemimpin dan sekutu Hamid Karzai.

Dan semuanya semakin jauh dari penyelesaian dan umat Islam terus menjadi
korban.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan