Sabtu, 5 Mei 2012

Kerajaan Pakatan Rakyat

Sebuah kerajaan lemah, tidak stabil
DALAM PRU 13 ini ada 222 kerusi parlimen yang akan menjadi rebutan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Bagi menubuhkan kerajaan Pusat dan menguasai Putrajaya kedua parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk mendapatkan ' simple majority ' bagi menubuhkan kerajaan.

Di mana-mana negara demokrasi sesebuah kerajaan yang ditubuhkan dengan hanya kelebihan majoriti kecil akan berdepan dengan berbagai halangan dan masalah.

Kemungkinan ada ahli-ahli parti yang akan ' melompat ' ke parti lawan adalah besar dan boleh berlaku bila-bila masa. Sebuah kerajaan yang memerintah dengan hanya kelebihan jumlah kerusi yang kecil tidak akan bertahan lama dan sentiasa di dalam keadaan tidak selamat.

Justeru itu ia adalah sebuah kerajaan yang tidak dapat menumpu sepenuhnya membangunkan negara. Kerja mereka hanya memastikan kerajaan mereka tidak akan tumbang. Kerajaan yang sebegini sudah tentu akan merugikan rakyat.

Sebab itu bagi parti BN bila bercakap soal PRU 13 soal paling utama ialah mencapai kemenangan majoriti dua pertiga. Hanya dengan dua pertiga sahaja dapat memastikan segalanya berjalan licin dan lancar tanpa apa-apa gangguan. Dan lebih penting ia adalah sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Maka bagi Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya; apakah mereka mampu mendapat majoriti besar atau dua pertiga ?

Berdasarkan hakikat dan kenyataannya peluang Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya itu memanglah ada. Namun untuk mendapatkan majoriti besar atau dua pertiga adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Ini tidaklah bermaksud merendah-rendahkan kemampuan PR dalam PRU 13 ini.

Lebih membimbangkan ialah anggota parti PR seperti DAP, PKR dan PAS ; tidak akan ada parti antara mereka yang mempunyai majoriti yang jelas. Ertinya, ketiga parti itu tidak mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan terpaksa bergantung antara satu sama lain. Yang lebih menarik untuk diperhatikan ialah parti mana yang lebih dominan dan menjadi nadi utamanya.

PAS kata ia akan bertanding dari 70 hingga 80 kerusi parlimen. Dan yang pasti PAS tidak akan menang semua di kerusi yang ditandingi. Baki lagi kerusi dari 112 kerusi (majoriti mudah) akan dikongsi DAP dan PKR. Sekiranya ketiga parti itu tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain, maka tunggulah saat kehancurannya.

Dalam PRU 13 nanti hanya ada dua senario; sama ada BN menang majoriti selesa atau dua pertiga atau PR berjaya tubuh kerajaan dengan majoriti tipis. Hanya rakyat dapat menentukan masa depan mereka dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan