Isnin, 12 Mac 2012



Teman setia...

SELAIN dari timbunan buku seekor kucing jantan menjadi teman setia saya bila keseorangan.

Usianya baru mencecah dua tahun. Ibunya yang melahirkan sudah tiga bulan hilang entah ke mana. Barangkali sudah dapat teman baru.

Saya sebenarnya tidak begitu gemar dengan jenis haiwan ini. Pertama; tidak tahan dengan bau najisnya. Kedua; bulunya. Orang kata bulu kucing boleh membawa penyakit. Saya tidak pasti.

Tapi dengan gelagat kucing ini telah menarik minat saya untuk mendekatinya. Selain ia seekor kucing yang aktif, ia memang jinak dan cerdik. Lihatlah gelagatnya itu. Di atas buku-buku itulah tempat yang paling disukainya. Bila saya tutup pintu hadapan ia akan melompat melalui tingkap. Satu cara sahaja saya boleh halangnya dari masuk dalam rumah iaitu dengan menutup tingkap. Tetapi saya pula kepanasan. So, saya terpaksa mengalah.

Setiap awal pagi ia akan bising dihadapan pintu; isyarat mahu diberi makanan. Selagi ia belum diberi makan selagi itulah ia membising...ngiau...ngiau ! Selepas kenyang ia tidak akan mengganggu saya lagi. Bagus kucing ini ialah setelah diberi makan ia akan menjalankan kerja dan operasinya setiap hari.

Antara kerjanya yang paling saya senang ialah memburu dan menangkap tikus-tikus yang berkeliaran disekeliling rumah. Setakat ini, alhamdullilah, jumlah tikus telah mencapai angka sifar. Bukan tikus sahaja binatang lain seperti cicak, "karung" habis dibahamnya.

Oleh kerana rumah saya dikelilingi hutan berbagai jenis haiwan boleh muncul tiba-tiba. Dan pernah berlaku(kisah benar) seekor biawak bersaiz besar telah tersesat masuk di dalam pagar rumah. Biawak itu tidak terjumpa jalan keluar dan berlari ke hulu ke hilir cuba melepaskan dirinya. Kucing saya ini tidak meninggalkan biawak itu seinci pun. Ia terus mengekorinya. Saya lihat biawak itu cukup marah bila kucing itu bertentangan dengannya dan mengekori dari belakang. Mulanya saya juga rasa cemas takut-takut kucing itu diterkam biawak itu.

Tetapi selang beberapa minit biawak tersebut dapat melepaskan dirinya melalui satu lubang berhampiran pagar. Saya lega. Biawak lepas keluar dan kucing selamat. Apa yang menjadi perhatian saya ialah kucing itu tidak berundur malah terus menerus mengekorinya.

Saya ada "sense" yang kucing ini akan pastikan tidak ada penceroboh masuk ke halamannya. Keberaniannya berdepan dengan biawak besar mencuri perhatian saya. Saya pernah berseloroh dengan anak saya kalau lembu tidaklah besar sangat pasti dikejarnya. Lembu-lembu peliharaan banyak juga berkeliaran di hadapan rumah. Kebiasaannya ia akan memerhati sahaja gelagat lembu-lembu itu tanpa menghampirinya.

Yang paling menyentuh perasaan saya ialah ketika waktu petang saya sampai di rumah ia seolah duduk di depan pintu pagar menanti ketibaan saya. Begitulah saban hari tabiatnya. Bila saya keluar dari kereta ia akan bising dan menggigit kaki saya seakan mahu diberi makan segera.

Kucing saya ini tidak bernama seperti orang lain yang memberi pelbagai nama pada kucing kesayangan mereka. Saya tidak berhasrat dan terlintas untuk memberi apa-apa nama atau panggilan. Biarlah ia seadanya. Lagi pun apalah ada pada nama.

Nota: Sorry, gambar gelap sikit. Baru sedang belajar pegang kamera!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan