Jumaat, 23 Mac 2012

Tan Sri Mazlan Nordin

Tokoh wartawan disegani

NEGARA kehilangan seorang wartawan veteran dan orang lama dalam dunia kewartawanan dan suratkhabar tanahair. Mazlan Nordin, 87 telah pun kembali ke rahmatullah dikediamannya.

Sepanjang hayatnya tidak ada pekerjaan lain yang diceburinya melainkan menulis dan dunia akhbar. Bermula sebagai pemberita pada tahun 50an di Utusan Melayu sehinggalah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang.

Selepas bersara sebagai Ketua Pengarang beliau terus berada di Utusan sebagai Pengarah Urusannya dari 1983 hingga 1987. Sebagai bekas wartawan beliau telah memenangi berbagai anugerah sepanjang penglibatan beliau dalam dunia persuratkhabaran. Antaranya, terpilih sebagai Tokoh Wartawan Negara oleh Institut Akhbar Malaysia pada 2001.

Dalam bidang penulisan Tan Sri Mazlan mempunyai kelebihan menulis dalam media berbahasa Inggeris. Beliau pernah menjadi kolumnis tetap The Sun, New Straits Times dan majalah Asiaweek.

Tugasnya paling kemuncak ialah sebagai penulis pojok dalam Utusan dan Mingguan di ruangan Awang Selamat dari tahun 70an hingga 80an. Beliau terus menulis di halaman Awang Selamat sehinggalah diambilalih oleh penggantinya Zainuddin Maidin.

Beliau terus menulis hingga ke akhir hayatnya melalui kolum tetapnya setiap Ahad di Mingguan Malaysia, disamping menjadi Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bahan penulisan dan isu yang sering digarapnya adalah bercorak sederhana; menggambarkan watak peribadinya yang sebenar.

Al Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan