Khamis, 22 Mac 2012

Keputusan SPM

Antara kejayaan dan tidak putus asa

KEPUTUSAN SPM telah pun keluar dan keseluruhannya lebih baik dari tahun lepas.

Seperti biasa dalam dunia IT yang serba canggih ini para pelajar sekarang lebih pintar berbanding dengan suasana belajar 20 atau 30 tahun dahulu.

Sekarang para pelajar mendapat 10A atau 8A berlambak hingga boleh mencapai angka puluh dan ratus dalam sesebuah sekolah. Dapat banyak A sekarang ibarat "kacang".

Bagi mereka yang berjaya telah memberi kebanggaan dan kepuasan pada ibu bapa dan pelajar sendiri setelah berusaha dengan gigih. Kini mereka akan memasuki fasa baru dengan memasuki dunia universiti dan kolej atau IPTA yang berselerak di seluruh negara.

Kemudahan dan keselesaan untuk melanjutkan pelajaran pula semakin senang dengan berbagai bantuan dari kerajaan seperti biasiswa dan pinjaman Tabung Pendidikan. Segalanya tersedia untuk direbut dan diambil kesempatan manfaatnya.

Namun apa pula nasib dan haluan pada mereka yang gagal mendapat keputusan yang baik. Ada para pelajar yang mendapat markah D atau E dalam subjek tertentu. Ada yang memperolehi A dalam Bahasa Malaysia tetapi Bahasa Inggeris pula tersangkut dan sebagainya.

Ke manakah haluan kelompok pelajar seperti ini ? Sudah tentu perasaan kecewa menyelubungi mereka lebih-lebih lagi ibu bapa yang prihatin tentang masa depan anak-anak. Apakah sudah tidak ada masa depan dan dunia menjadi gelap gulita ?

Tentu sekali tidak. Dunia belum kiamat. Bak kata pepatah Inggeris, " It is not the end of the world". Dalam hal ini peranan ibu bapa penting membimbing dan menunjuk ajar ke jalan yang lebih positif.
Barangkali, anak-anak kita tidak bagus dalam akademik bukan bererti mereka tidak bagus dalam bidang-bidang lain.

Boleh jadi ia seorang yang mempunyai daya kreativiti tinggi dalam bidang seni atau pertukangan atau pembaikian elektronik dan enjin dan berbagai kemahiran yang memerlukan minat yang luarbiasa. Justeru ibubapa perlu memainkan peranan dengan memberi peluang dan menyalurkannya ke dalam bidang-bidang tersebut.

Kejayaan akademik bukan segalanya. Yang penting sikap tidak berputus asa untuk mencapai segala cita-cita dan menjadi manusia yang bermanfaat untuk semua. Banyak terbukti tokoh-tokoh yang berjaya di dalam dan luar negeri mencapai kejayaan dalam kehidupan sedangkan mereka tidak pernah menjejaki ke menara gading.

Kejayaan mereka adalah dari usaha, bakat dan tidak putus asa dalam mengejar impian mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan