Ahad, 18 Mac 2012

FAM tidak boleh dikritik

Annuar Musa mungkin kena hukum

TIMBALAN Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini telah mengkritik persembahan hambar skuad senior kebangsaan di bawah jurulatih Datuk K.Rajagopal.

Selang beberapa hari beliau sekali lagi menegur pencapaian skuad Olimpik Ong Kim Swee yang gagal mengutip sebarang mata dalam kelayakan Olimpik London 2012.

Bagi Tan Sri Annuar sebagai salah seorang nombor dua dalam FAM, beliau perlu bersuara demi memertabat dan meningkatkan imej bolasepak negara.

Tetapi FAM seolah-olah sebuah badan yang tidak boleh ditegur, apalagi dikritik. Khabarnya, FAM telah pun menghantar surat tunjuk sebab di atas kritikannya itu.

Ini bukanlah kes pertama seumpamanya. Lama dahulu bekas Naib Presiden FAM, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil telah dihukum dan digantung dari memegang sebarang jawatan ekoran kritikannya terhadap pimpinan dan pengurusan FAM.

Malah tahun lepas bekas jurulatih kebangsaan dan Kelantan, B.Satianathan juga telah dihukum selama enam bulan akibat menjawab soalan dari seorang wartawan yang menyentuh jadual perlawanan melibatkan pasukan Terengganu.

Selepas itu kes yang hampir serupa melibatkan jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan yang telah mengkritik seorang pengadil. Wan Jamak baru sahaja menamatkan tempoh pergantungan itu selama enam bulan.

Nampaknya FAM adalah sebuah badan yang kebal dan tidak boleh disentuh langsung. Seperti kata Annuar, jika apa yang dikatakannya itu satu kesalahan, maka ia adalah satu perkara yang aneh dan janggal kerana beliau berhak bersuara untuk kebaikan dan kemajuan bolasepak negara.

Sekiranya dalam kes ini Annuar dikenakan hukuman dan tindakan hanya kerana bersuara, maka sudah sampai masanya FAM perlu menilai dan mencermin kembali kedudukan dan tugasnya sebagai badan induk yang bertanggungjawab membangun bolasepak tanahair.

Adalah tidak munasabah dengan hanya memberi teguran, apatah lagi dari seorang pemimpinnya sendiri boleh dianggap satu kesalahan. FAM telah banyak berjasa dan memberi sumbangan pada sukan bolasepak negara. Jangan kerana tidak boleh menerima kritikan menjejaskan imej dan jasa FAM selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan