PADA Khamis, 12 Mei, selepas waktu Asar saya bertolak dari pekan Sg.Golok menuju ke Pattani, Thailand dengan menaiki van. Perjalanan mengambil masa dua jam setengah . Hari itu pula hujan renyai-renyai, ditambah pula dengan orang penuh sesak di kedua pemeriksaan immigresen dua negara. Kesesakkan ini adalah biasa lebih-lebih lagi hujung minggu, kerana Jumaat adalah hari cuti di Kelantan.
Saya sendirian membawa beg galas dan Pattani adalah suatu tempat yang kerap saya kunjungi lantaran ramai waris dan kenalan. Dalam perjalanan itu kelajuan kenderaan yang saya naiki agak perlahan kerana sepanjang jalan hujan tidak berhenti. Saya dapati sepanjang perjalanan lebih kurang empat atau lima sekatan jalan oleh pihak tentera. Tidak ada pemeriksaan yang keterlaluan, mereka hanya menjenguk di tepi tingkap kenderaan. Malah paspot saya tidak terusik.
Saya tiba ke tempat yang dituju hampir penghujung Maghrib dan bermalam di rumah waris. Keesokkannya, awal pagi lagi saya di bawa mengelilingi bandar dengan menaiki motorsikal. Motorsikal adalah satu kenderaan yang cukup popular di sini dan hampir semua orang memilikinya.
Apa yang teruja saya di sini ialah banyaknya kedai-kedai buku kitab jawi lama yang segar bernafas. Menjadi tempat bergantungnya pondok-pondok pengajian agama di wilayah ini. Banyak kitab-kitab jawi sama ada yang nipis dan tebal sudah terlalu sukar untuk diperolehi di negara kita. Tetapi di sini begitu banyak berbagai jenis dan tajuk. Salah satunya ada sebuah kitab hadis karangan Sheikh Zainal Abidin Al Fattani. Kitab ini nipis sahaja dan menjadi bahan kuliah di surau-surau negara ini.
Di Pattani juga ada dua buah kilang percetakkan Al Quran dan buku-buku agama yang dimiliki sepenuhnya oleh anak watan di sini. Khabarnya, kilang percetakkan di Pattani ini adalah yang terbesar di selatan Thai.
Mungkin kita akan terasa sedikit risau bila membaca laporan-laporan tentang pergolakkan di wilayah selatan ini, tetapi sepanjang pengamatan saya, semuanya berada dalam suasana tenang seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Di pasar-pasar dan tempat urusan orang ramai, seperti pasar malam dan sebagainya di penuhi pengunjung.
Misalnya, saya sempat singgah di sebuah pasar raya terbesar di bandar ini iaitu BIG C, seperti Tesco atau Giant di tempat kita. Orang penuh sesak membeli belah sambil membawa troli dan sebagainya. Cuma apa yang diberitahu pada saya, pasar raya ini dibuka pada 8.30 pagi dan tutup pada 8.30 malam.
Semasa saya di BIG C, saya sempat mengunjungi kedai buku. Buku-bukunya cukup menarik dan pelbagai jenis. Hampir dua jam saya berlegar di situ sambil menjamah dan membelek setiap buku, halaman ke satu halaman sehingga tidak terasa masa berjalan begitu pantas.
Buku berbagai jenis dari pengarang Cina, barat dan sebagainya. Cuma yang "menyakitkan hati" saya ialah semua buku tersebut adalah dalam bahasa Thai. Setiap kulit buku tertulis bahasa Inggeris, namun isi dalamnya semua tulisan Siam. Ada satu dua buku yang menarik perhatian saya, tetapi terpaksa pulang hampa.
Saya dapati ada beberapa tajuk buku yang belum ada lagi di pasaran negara kita. Tetapi di sana nashkah terjemahannya sudah berlambak. Terfikir juga betapa proses terjemahan buku-buku ilmiah di negara kita jauh ketinggalan berbanding negara jiran. Kita di sini masih lagi di tahap berpolemik tentang bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu. Sedangkan di negara jiran ini bahasa ibunda begitu luas sekali penggunaannya. Boleh dikatakan sebahagian besar buku-buku ilmiah dari luar telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai begitu pantas sekali.
Kelihatan anak-anak muda begitu asyik melihat dan membelek buku-buku dalam pelbagai bidang ilmu yang terletak kemas di rak-rak buku. Sepanjang pengamatan saya, tidak terdapat sebuahpun buku dalam bahasa Inggeris di dalam kedai tersebut yang agak luas, melainkan semuanya dalam bahasa ibunda mereka.
Teman dan waris yang menemani sepanjang saya di sana rupa-rupanya juga seorang ulat buku. Setelah seharian dia membawa saya ke sana ke mari, pada malam sewaktu kami bersantai dia telah menghulurkan dua buah buku pada saya. Mulanya saya agak terpinga. Dua buah buku tersebut kelihatan agak lusuh dan sebahagiannya sedikit terkoyak.
Judul buku itu; RUMI- These Branching Moments dan RUMI - In the Arms of the Beloved. Kedua buku tersebut adalah buku sajak-sajak karya penyair sufi terkenal Jelaluddin Rumi, di lahirkan tahun 1207. Saya memang pernah membaca tentang Rumi, tetapi tidak sajak-sajak karyanya. Kerana saya bukan seorang peminat sajak yang tegar. Dan tidak pernah menghasilkan sebuah puisi pun !
Teman saya ini meminta saya terjemahkan buku itu yang di dalam bahasa Inggeris ke bahasa melayu. Katanya, sesudah saya terjemah ke dalam bahasa melayu, beliau akan terjemahkan pula ke dalam bahasa Thai.
Saya beritahu dia menterjemah puisi bahasa Inggeris ke bahasa melayu bukan mudah. Ketepatan dan maksud kata demi kata mesti betul maksudnya. Dan penguasaan bahasa Inggeris saya pula hanya sekadar untuk keperluan sendiri bila membaca. Apatah lagi saya tidak mempunyai pengalaman menterjemah teks.
Dia terus mendesak secara sopan agar saya menterjemahnya sebahagian atau separuh isi kandungannya. Oleh kerana tidak mahu menghampakan teman saya ini, saya sanggup juga akhirnya.
Terasa beban juga memikul amanahnya. Tetapi mengingatkan pesanannya agar terjemah sebahagian isi kandungan bukan keseluruhan buku tersebut membuatkan rasa sedikit lega.
Saya tanya beliau di mana beliau dapatkan buku tersebut. Katanya, dari seorang kawan berbangsa Inggeris yang datang sebagai pelancong menjadi temannya sepanjang berada di Pattani.
.
.