Ahad, 22 Mei 2011

Perdamaian Israel - Palestin masih jauh

PRESIDEN Barack Obama telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih baru-baru ini dalam usaha menghidupkan kembali rundingan proses damai antara Israel dan Palestin yang telah terhenti begitu lama.

Dalam pertemuan tersebut, Obama, buat pertama kalinya menyatakan pembentukan sebuah negara Palestin  haruslah berdasarkan persempadanan sebelum perang 1967 dan ia perlu diguna pakai sebagai asas rundingan. Selepas perang 1967 Israel menjajah wilayah Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Gaza.

Saranan ini ditolak mentah-mentah Netanyahu dan beliau menganggap cadangan Obama sebagai tidak realistik . " Keamanan berdasarkan ilusi akhirnya akan musnah dengan realiti di Asia Barat", katanya kepada Obama selepas mengadakan pertemuan di Oval Office. (Lihat Mingguan Malaysia, Ahad, 22 Mei, 2011).

Israel tidak akan menyerah kembali sejumlah besar tanah jajahannya dengan mudah kerana bagi Israel ia perlu mengambil kira dari segi strategik keselamatan rejimmya yang dikelilingi negara-negara Arab yang sedang bergolak. Kejatuhan sekutunya paling rapat, Hosni Mubarak, telah banyak mengubah senario politik di Timur Tengah.

Langkah kerajaan baru Mesir yang membuka semula sempadan dengan wilayah Palestin yang ditutup semasa rejim Mubarak telah mengancam dan memberi ruang pada pejuang Palestin menyusup masuk.

Apapun pendirian Netanyahu dan Obama rundingan damai dengan Palestin akan menemui jalan sukar. Ia ibarat seperti rundingan "teh tarik". Pihak Israel seperti biasa akan mengamalkan sikap melengah-lengah melaksanakan semua persetujuan yang di capai dan menarik-narik proses rundingan yang telah memakan masa begitu lama.

Justeru itulah pemimpin Fatah, Mahmud Abbas, yang telah mencapai beberapa persetujuan dengan Israel sebelum ini begitu kecewa dengan sikap Israel yang sering mencabuli setiap persetujuan yang telah dicapai dengan mengambil langkah berdamai dengan seterunya Hamas.

Perdamaian antara Fatah dan Hamas tidak disenangi dan dikecam oleh Netanyahu. Kerana Israel dan Amerika sering melabelkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas. Manakala Hamas tidak pernah mengiktiraf kewujudan Israel.

Amerika dan Israel akan berusaha memujuk Abbas agar kembali ke meja rundingan. Apakah Abbas akan menerimanya ? Sekiranya dia bersetuju kembali berunding dengan Israel, apa pula tindakan Hamas yang telah mencapai persetujuan dengannya beberapa bulan dulu ?

Perdamaian Fatah dan Hamas adalah terlalu bernilai untuk dihancurkan begitu saja setelah kedua pihak sanggup berbunuhan sesama sendiri angkara berbeza pendapat dalam soal mewujudkan sebuah Palestin yang merdeka. Israel sudah tentu akan memainkan peranan agar gabungan Fatah-Hamas dapat dipisahkan.

Sekiranya Abbas menerima tawaran Amerika nescaya rakyat Palestin akan bermandi darah sesama sendiri. Pihak Palestin seharusnya meneruskan rancangannya untuk mengistiharkan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka melalui PBB.

Sikap Israel yang sering mencabuli dan melanggar segala ketetapan resolusi PBB dan perjanjian damailah menyebabkan Mahmud Abbas mengambil keputusan berdamai dengan Ismail Haniyeh. Israel telah mempersia-siakan kesanggupan dan pengorbanan Abbas sebagai Presiden Palestin untuk mencapai perdamaian kedua negara berjiran.

Bagi Abbas dan Haniyeh mereka tidak perlu berpatah balik. Mereka mesti meneruskan agenda mereka membebaskan Palestin dan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibukotanya.

Sekiranya mereka kembali ke meja rundingan, maka proses rundingan itu akan menjadi seperti "teh tarik" yang tidak akan ada kesudahannya, malah Israel akan terus membina penempatan haram di wilayah yang didudukinya dan terus menguatkan cengkamannya di bumi Palestin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan