Rabu, 25 Mei 2011

Ucapan Netanyahu di Kongres Amerika

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah berucap di hadapan ahli kongres Amerika Syarikat semalam ( 24 Mei, 2011 ). Ucapannya itu mengambil masa satu setengah jam dan boleh diikuti melalui siaran berita Al Jazeera. Saya telah mengikutinya dari awal hingga akhir.

Sebelum ini Netanyahu telah pun berucap di hadapan Wakil Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) di Washington. Ucapan di Kongres Amerika ini adalah acara kemuncak sempena lawatannya ke Rumah Putih. Barack Obama tidak hadir dalam majlis ini kerana melakukan lawatan ke Britain, sebaliknya diwakili Naib Presiden, Joe Biden.

Antara inti kandungan ucapan beliau menegaskan kunci perdamaian Israel-Palestin ialah pengiktirafan dan penerimaan kewujudan negara Israel. Katanya inilah "penghalang" besar wujudnya perdamaian yang kekal dengan Palestin serta jiran-jirannya di Timur Tengah.

Israel tidak akan bertolak ansur dalam isu ini dan akan memastikan "sekuriti" Israel menjadi prioriti utama dalam setiap perundingan. Beliau bertanya pada hadirin apakah mereka akan hidup aman dan tenteram sekiranya dihujani roket-roket pelancar buatan sendiri yang telah meragut nyawa rakyatnya? Katanya setakat ini sebanyak 12 ribu roket telah singgah di sempadan Israel dari serangan pejuang Hamas dan pejuang-pejuang Palestin.

Beliau juga beberapa kali menyebut nama Mahmoud Abbas, Presiden Palestin, agar kembali ke meja rundingan dan mengesanya meninggalkan Hamas. Baginya Hamas bukan rakan perdamaian.

Netanyahu berkata ia sanggup berkompromi dan bertolak ansur demi perdamaian dengan syarat Abbas mesti meninggalkan Hamas sebagai gabungan rakyat Palestin. Dan memberi amaran pada Hamas agar membebaskan anggota tenteranya, Gilard Shalit, yang menjadi tebusan Hamas hampir tiga tahun.

Beliau juga mengingatkan Amerika tentang ancaman Iran menjadi kuasa nuklear. Sekiranya Iran berjaya mencapai cita-citanya, bukan saja Israel terancam dan tidak selamat malah Amerika juga akan menjadi sasaran. Justeru itu beliau menggesa Amerika mempertingkatkan lagi usaha sekatan terhadap Iran.

Dalam dia mengecam "seterunya", Netanyahu sempat memuji warga Arab berjumlah sejuta orang yang menjadi warganegara Israel, bahawa mereka bernasib baik jika dibandingkan dengan 300 juta umat Arab di sekitar Timur Tengah yang "struggle" untuk mendapatkan kebebasan dan demokrasi seperti yang berlaku di Mesir, Yaman, Libya dan Syria. Beliau menganggap Israel lebih demokratik dari negara-negara Arab tersebut.

Ucapan beliau sering terhenti kerana mendapat tepukan gemuruh dari semua ahli kongres. Acapkali para hadirin bangun berdiri sambil memberi tepukan tanda sokongan. Dan beliau kadangkala menyelitkan ucapannya dengan sindiran membuat semua yang hadir ketawa. Netanyahu memang seorang pemidato yang hebat.

Dalam akhir ucapannya beliau sanggup berdamai sekiranya pihak Palestin memenuhi syarat dan kehendak Israel dan menegaskan Jerusalem atau Baitulmaqdis tetap akan menjadi ibu kota Israel. Dan kota suci itu tidak akan di bahagi dua antara Yahudi dan Islam. Beliau berkata hanya Israel yang berhak dan mampu mentadbir bandar yang menjadi tumpuan tiga agama samawi itu berdasarkan sejarah bangsa Yahudi sejak empat ribu tahun dahulu , katanya.

Apa yang boleh dirumuskan tentang ucapannya itu ialah hampir sama dengan ucapan-ucapannya dan Perdana Menteri Israel yang terdahulu yang bersifat menanam tebu di bibir mulut. Semuanya janji-janji manis yang tidak pernah dikotakannya. Sudah berapa tahun PLO berunding dan menandatangani perjanjian dengan rejim ini. Apakah hasilnya ? Semakin berunding, semakin banyak penempatan-penempatan haram Yahudi didirikan di tanah rakyat Palestin. Dan Israel tidak pernah menghiraukan bantahan dan kecaman dari masyarakat antarabangsa.

Amerika dan PBB berdiri "bungkem" dan kaku tanpa berbuat apa-apa. Hak rakyat Palestin terus dicabuli dan dinodai atas alasan "sekuriti" Israel. Berpuluh malah beribu resolusi PBB diluluskan hanya tinggal sekeping kertas sebagai tukaran dan nilai nyawa rakyat Palestin yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis itu.

Langkah Fatah dan Hamas berdamai merupakan jawaban di atas "permainan" negara Yahudi ini dalam mencapai sebuah negara Palestin yang merdeka. Sejak perjanjian Oslo dimetrai tiada kemajuan dicapai oleh bangsa Palestin hingga hari ini.

Dengan itu pengistiharaan sebuah negara Palestin merdeka secara "unilateral" adalah satu pilihan terbaik dan perlu disegerakan.





.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan