Khamis, 26 Mei 2011

Timbalan Presiden PAS : Sah tiga penjuru

DENGAN keputusan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan nombor dua parti menjadikan pertandingan tiga penjuru di muktamar PAS Jun ini. Selain penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa, seorang calon lagi ialah Mohamad Sabu.

Antara tiga calon ini, Mat Sabu boleh dianggap calon paling popular dengan mendapat pencalonan terbanyak. Malah beliau kelihatan lebih popular dari Nasharuddin.

Nasharuddin dan Tuan Ibrahim mewakili golongan ulama. Mat Sabu mendapat sokongan dari golongan profesional atau Edrogan yang dikatakan condong kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan Edrogan ini dibarisi antaranya, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Husam Musa, Kamaruddin Jaafar, Khalid Samad dan ahli ekonomi  Dr. Dzulkefly Ahmad. Dr. Dzulkefly secara berterus terang bahawa beliau menyokong Mat Sabu.

Golongan profesional ini mahukan perubahan dan reformasi dalam PAS dan tidak mahu parti terikat dengan imej ulama yang dikatakan gagal menangani isu-isu ekonomi yang dihadapi negara. Malah golongan ulama agak sepi bila berdepan dan berhujah di parlimen dalam isu-isu berkaitan.

Lebih menarik lagi kumpulan ini seolah-olah mendapat "payung" dan dukungan dari Mursyidul Am, Tok Guru Nik Abdul Aziz. Menurut Khalid Samad, Tok Guru boleh dianggap sebagai "katalis" kepada perubahan dalam parti.

Manakala pihak ulama diketuai Datuk Seri Abdul Hadi dan Nasharuddin agak menjauhkan diri dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih-lebih lagi bersabit isu video seks yang dikatakan mirip Ketua Pembangkang itu.

Dengan kesediaan Tuan Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden sebenarnya memperlihatkan pihak ulama sudah tidak berkeyakinan bahawa Nasharuddin mampu menewaskan Mat Sabu. Jadi, dengan adanya Tuan Ibrahim, sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan golongan ulama. Kerana suasana dalam parti sekarang menunjukkan Mat Sabu lebih popular dan mempunyai harapan menang dalam pertandingan ini.

Ertinya, mereka yang tidak suka pada Nasharuddin akan memberi undi kepada Tuan Ibrahim sebagai alternatif. Walaupun Mat Sabu mendapat pencalonan terbanyak belum tentu para perwakilan akan mengundinya.

Dalam situasi ini Nasharuddin perlu mempertimbangkan hasratnya mempertahankan jawatan kerana jika ia turut bertanding ini akan melemahkan peluang Tuan Ibrahim untuk menang. Sekiranya Nasharuddin menarik diri, peluang golongan ulama untuk terus menguasai parti melalui Tuan Ibrahim lebih cerah.

Dan jika pertandingan tiga penjuru berlaku, maka undi golongan ulama akan berpecah. Mat Sabu berpeluang menjadi Timbalan Presiden yang baru. Bila ini berlaku PAS sebagai sebuah parti yang berkepimpinan ulamak akan mengalami suatu perubahan dan arah tuju yang baru.

Kalau dulu PAS dipimpin oleh Datuk Asri Muda yang bukan ulamak. Beliau dijatuhkan oleh ahli parti kerana pada masa itu gelombang pimpinan ulamak begitu kuat dan berpengaruh. Datuk Asri terpaksa keluar parti dan menubuhkan parti Hamim ( Hiizbul Muslimin ).

Kini dengan kemaraan golongan profesional yang begitu berpengaruh seolah-olah sejarah parti akan terbalik semula. Mungkinkah pihak ulama akan hilang pengaruh dalam parti ?

Pensyarah Undang-undang dan pengkritik politik, Dr. Abdul Aziz Bari, secara terbuka menyerang kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi yang dianggapnya gagal memenuhi aspirasi pembangkang. Lebih berat lagi beliau menuduh Abdul Hadi adalah orang yang menggagalkan rancangan pembangkang mengambilalih kerajaan persekutuan pada 16 September lalu.

Muktamar PAS 3-5 Jun ini akan memberi jawaban segalanya. Dan paling utama ia akan memberi petunjuk arah dan masa depan parti termasuk peranannya dalam Pakatan Rakyat dan hubungannya dengan UMNO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan