Sabtu, 7 Mei 2011

PRU 13: Ibrahim Ali bertanding di mana?

PILIHANRAYA umum ke 13 diramalkan akan diadakan dalam masa yang terdekat antara Jun hinggalah hujung tahun ini. Hanya Datuk Seri Najib saja yang tahu tarikh sebenar. Beliau masih berteka-teki lagi tentang tarikh keramat itu. Dari dulu hingga sekarang tarikh pilihanraya umum akan menjadi satu elemen yang suspen semua orang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, telah menyatakan mereka telah bersedia bila-bila masa.

Di Kelantan apa yang menarik perhatian ramai ialah tentang wakil rakyat Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali. Semasa memenangi kerusi tersebut dalam PRU lalu, beliau telah menang atas tiket PAS. Sebelum itu Ibrahim Ali masuk gelanggang sebagai calon bebas. Kemudian PAS telah menarik diri dari bertanding dan memberi laluan padanya dengan membenarkan beliau bertanding atas tiket PAS
Datuk Ibrahim Ali

Pasir Mas merupakan "kubu kuat" Ibrahim Ali seolah-olah tidak ada lagi kawasan yang selamat untuknya di Kelantan.Tetapi rekod yang lalu menunjukkan beliau sering tewas di kawasan tersebut. Beliau pernah tewas pada calon pembangkang semasa bertanding atas tiket Barisan Nasional. Sekali lagi beliau tewas dalam pilihanraya negeri di kawasan Pengkalan Pasir pada calon Barisan Nasional. Masa itu beliau bertanding sebagai calon bebas.

Dia gagal ke parlimen atas tiket Barisan Nasional. Tetapi akhirnya beliau berjaya juga melalui bantuan PAS. Sekiranya PAS tidak beri laluan di Pasir Mas, apakah Ibrahim Ali mampu memenangi kerusi tersebut?

PAS pernah mencabarnya agar meletakkan jawatan sebelum ini kerana tindakannya yang sering menyerang pihak pembangkang di parlimen. Di parlimen, walaupun beliau adalah calon bebas, tetapi beliau menang atas tiket PAS. Dan suaranya di parlimen lebih Barisan Nasional dari ahli-ahli Barisan sendiri.

Masalahnya, Ibrahim Ali sendiri tidak diterima sebahagian dari ahli-ahli UMNO. Ada yang menentang tentang kemasukkannya semula dalam UMNO..Justeru itulah wujudnya PERKASA, di mana beliau sebagai presiden dan pengasasnya.

Kini PERKASA sebuah NGO yang memperjuangkan nasib bangsa melayu sebagai bumiputera di negara ini. Ia diperkuatkan lagi dengan sokongan dan dukungan dari Tun Dr.Mahathir yang juga sebagai penasihat badan itu.

Sesekali kelihatan PERKASA lebih menonjol dari UMNO dalam memperjuangkan nasib dan masa depan orang melayu. Ibrahim Ali setelah tidak diterima UMNO, telah menjadikan PERKASA sebagai satu wadah untuk meneruskan perjuangannya.

Apakah beliau merasakan peluangnya untuk ke parlimen kali ini semakin tipis? Atau beranikah beliau bertanding sekali lagi di Pasir Mas dan atas tiket siapa?

Masa depannya sebagai ahli parlimen semakin kelam. Berdasarkan rekod yang lepas beliau tidak mungkin, malah mustahil akan memenangi kerusinya di kawasan Pasir Mas. Di seluruh Kelantan, barangkali tidak ada kawasan yang selamat untuknya, apalagi menerimanya sebagai wakil rakyat.

Dengan itu PERKASA adalah satu-satunya platform baginya untuk meneruskan karier poltik dan memenuhi impian dan idealismanya sebagai Panglima Adijagat dalam memperjuangkan nasib bangsa melayu.

Datuk Ibrahim Ali, mungkin seorang politikus kontroversi dan dicemuh setengah orang, tetapi beliau sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa beliau seorang nasionalis melayu yang begitu prihatin tentang nasib bangsanya

Kelincahannya ialah beliau berjaya menarik Tun Dr.Mahathir berada di belakangnya..



 .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan