Jumaat, 27 Mei 2011

Liga Juara-Juara : Man U atau Barca ?

MANCHESTER United akan bertemu Barcelona dalam final Piala Juara-Juara di Stadium Wembley Ahad ini. Kedua pasukan telah pun bertemu di final pada tahun 2009 di Rome, Italy, di mana Barca muncul juara setelah menewaskan Man U 2-0.

Pertemuan Ahad ini adalah ulangan dan misi "balas dendam" Man U ke atas Barca. Final ini tentu menarik dan ditunggu seluruh peminat bolasepak dunia.

Man U sudah tentu tidak akan melepaskan peluang kali ini kerana ia akan berlangsung di England. Tetapi Barca bukanlah sebuah pasukan yang mudah dijinakkan. Reputasi sebagai juara treble Liga Sepanyol dan Piala Kelab Dunia membuktikan mereka adalah kelab terbaik di dunia.

Man U pula baru saja meraikan kejuaraan Liga Inggeris kali ke 19, satu pencapaian terbaik dan bersejarah dalam mana-mana kelab di England.

Barca adalah sebuah pasukan yang bermain secara menarik dan menghiburkan. Tempo mereka cepat dan lebih pada menyerang. Bermain secara bertahan tidak ada dalam kamus mereka. Bila mereka membuat serangan, mereka ibarat seekor singa yang ganas menerkam mangsanya.

Hernandez, Iniesta, Pedro, Villa dan Messi cukup pantas mengambil peluang. Mereka semua sekiranya diberi "half chance" boleh memusnahkan kubu United.

Pada dasarnya Barca mempunyai kelebihan berbanding United. Namun, bola itu bulat. Sekiranya percaturan taktikal Alex Ferguson itu mengena, bukan mustahil Barca boleh tumbang.

Rata-rata pengurus pasukan termasuk Arsene Wenger, meramalkan bola akan berada dalam kawalan Barca 70-30. Tetapi ini tidak bermakna Man U tidak mempunyai peluang. Menurut mereka, walaupun Man U menguasai bola 30 peratus, tetapi ia masih mampu melakukan kejutan.

Pep Guardiola dan Alex Ferguson merupakan dua pengurus terbaik di dunia. Percaturan mereka dari segi taktikal menjadi perhatian dan bahan kajian para jurulatih dan pengkaji sukan bolasepak. Mereka berdua saling mengkagumi pencapaian masing-masing.

Persaingan di Wembley Ahad ini akan mencatat satu sejarah antara dua pasukan yang menjadi kegilaan anak-anak muda seluruh dunia dan pertembungan dua personaliti yang menjadi ikon peminat bolasepak.

Manchester United dan Barcelona, selamat bertarung !

p/s: Oh, ya tadi sebentar berita tv melaporkan seekor sotong (bukan Paul)
       telah meramalkan Man U akan menang.
       No komen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan