Isnin, 2 Mei 2011

Semakin berserabut dan celaru

SELEPAS upacara angkat sumpah Datuk T dan keenganan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran agar bersumpah sama berdepan dengan mereka yang menuduhnya telah menimbulkan berbagai reaksi dari seluruh lapisan masyarakat.

Setiap golongan bermula dari peringkat Mufti, ulamak, pemimpin politik, orang kebanyakan dan sebagainya telah memberi pandangan mereka masing-masing. Banyak pro dan kontranya, berbagai hujah termasuk dari segi hukum dan syariat Islam.

Bagi mereka yang arif tentang hukum hakam akan menilai dengan tenang. Manakala yang kurang reti dan kurang tahu akan terkial-kial kebingungan dan keliru. Semakin dibacanya sajian berita di akhbar-akhbar, semakin bertambah keliru dan bercelaru.

Dalam konteks ini, suatu masa dulu kita pernah membaca satu kajian yang dibuat di negara ini, melaporkan bahawa majoriti rakyat negara ini tidak suka membaca bahan-bahan yang serius dan bercorak ilmiah. Mereka lebih berminat membaca bahan-bahan ringan atau bercorak misteri, dongeng, cerita-cerita hantu dan sebagainya. Lebih-lebih lagi berita-berita tentang gossip artis, rumahtangga mereka hinggalah ke tempat tidur mereka.

Justeru itu buku-buku novel cinta, hantu jembalang, bomoh misteri dan seumpamanya begitu laris di pasaran. Buku-buku ilmiah kebanyakannya kurang sambutan dan lebih banyak memerap di gudang atau setor.

Sasterawan Negara, A. Samad Said, pernah merungut yang novel karyanya amat susah untuk diulang cetak. Kalau dicetak, paling tinggi jumlahnya lima ribu nashkah setahun!  Berbanding novel-novel karya cinta karya penulis-penuilis muda yang diulang cetak mencecah 100 ribu nashkah.

Begitu juga dalam bidang perfileman. Filem-filem bercorak hantu pontianak, misteri dan fantasi mendapat sambutan luar biasa. Sehingga kutipan tiket mencecah jutaan ringgit. Dan kini semua pengarah muda lebih suka menghasilkan filem-filem bercorak seram.

Itulah fenomena masyarakat kita terkini. Mereka lebih cenderung dan dahaga bahan-bahan seperti ini. Apakah kita mahu menyalahkan mereka?

Mereka tidak bersalah kerana mereka sudah bosan dan muak dengan segala isu dan cerita politik yang tidak berkesudahan. Mereka mencari sesuatu yang boleh menghiburkan dan melapangkan fikiran mereka, setelah setiap hari dibebani dengan berbagai rencah kehidupan yang meletihkan jiwa dan minda.

Isu-isu politik menambah beban fikiran mereka, lebih-lebih lagi isu yang kabur, keliru dan membingungkan. Menjadi tanggungjawab setiap pemimpin masyarakat mencari kejernihan dan kebersihan dalam minda masyarakat kita agar iklim kehidupan kita lebih cerah, bersih dan murni bukan dipenuhi dengan perkara-perkara kotor dan jijik.

Peranan media cukup penting kerana semua yang tertulis akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan