Khamis, 5 Mei 2011

SUATU PENGHINAAN PADA UMAT ISLAM

HAMPIR semua akhbar pada 4 Mei, 2011 menyiarkan sekeping gambar petikan Reuters, memperlihatkan Presiden Amerika, Barack Obama, Naib Presiden, Joe Biden, Setiausaha Negara, Hillary Clinton, Setiausaha Pertahanan, Robert Gates dan beberapa pegawai keselamatan kebangsaan sedang menyaksikan video operasi serangan ke atas Osama bin Laden di Bilik Situasi, White House.

Barangkali, mereka semua telah melihat setiap detik, satu persatu dengan terperinci dari awal hinggalah Osama terbunuh. Ibarat menonton sebuah filem rambo.

Kematian Osama sudah tidak menjadi isu. Tetapi cara agensi berita asing menyiarkan gambar tersebut ke seluruh dunia yang memperlihatkan satu barisan kepimpinan tertinggi duduk bersama dengan penuh khusyuk sedang  menonton detik-detik kematian seorang pejuang Islam yang menjadi pujaan sebahagian umat Islam.

Apakah Osama seorang pengganas atau Amerika sebagai punca segala keganasan?

Definisi pengganas banyak bergantung di mana kita berdiri. Ada hujah dan alasannya. Banyak sebab dan musababnya.

Kalau Amerika menuduh Osama pengganas, Amerika juga perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu.
Walau apapun sebagai umat Islam kita seharusnya mengambil sikap "Wasatiyah" atau pertengahan dalam apa juga bidang. Sikap melampau dalam apa bentuk sekalipun tidak akan membawa kejayaan.

Sebagai umat Islam kita bersimpati dan bersedih di atas kematiannya. Cara kematiannya dan ditambah lagi dengan tersebarnya gambar yang tersebut di atas telah memberi satu tamparan dan penghinaan terhadap umat Islam.

Tidak ada jalan lain bagi umat Islam untuk mengembalikan maruah mereka dengan mengambil pendekatan secara sederhana dan tidak menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan