Selasa, 3 Mei 2011

Melayu bersatu jika terancam

BEGITULAH tajuk di atas seperti yang tersiar dalam Sinar Harian, 3 Mei 2011. Dalam berita tersebut dilaporkan, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata orang melayu hanya akan bersatu sekiranya ada isu atau masalah yang mengancam kedudukan mereka di negara ini.

Menurut Ku Li lagi, ramai di kalangan orang melayu berada di luar parti politik dan majoritinya tidak menyertai mana-mana parti.

"Sebab itu saya katakan, kalau ada isu besar yang menggembarkan kedudukan orang melayu, saya percaya mereka akan bersatu, pada masa itulah mereka akan mencari pemimpin," katanya.

Tidak pasti apakah Ku Li telah membuat kajian dan selidik sebelum beliau mengeluarkan kenyataan itu atau sekadar pandangannya secara rambang.

Sekiranya ada benarnya pandangan ini., maka tentu ia melegakan orang-orang melayu. Lebih-lebih lagi suasana politik orang melayu kini di tahap kritikal. Dua parti melayu terbesar- UMNO dan PAS belum boleh bersemuka sehingga sekarang disebabkan berlainan ideologi.

UMNO kelihatan bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan PAS. Setakat ini PAS menolak bulat-bulat kemungkinan bersatu dengan UMNO yang dicapnya sebagai kebangsaan dan tidak Islamik.

Memang menjadi rahsia umum bahawa ada sebilangan pemimpin PAS yang melihat secara positif kerjasama ini, tetapi dihalang sebahagian pemimpin yang di kepalai Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz. Sehingga suatu ketika Tok Guru telah memberi amaran secara terbuka pada tiga pemimpin tertinggi PAS iaitu Nasharuddin Mat Isa, Datuk Mustapa Ali dan Datuk Dr. Hassan Ali agar keluar parti dan masuk UMNO.

Di atas kebijaksanaan para pemimpin terbabit, isu ini telah reda dan dikawal sepenuhnya, seolah-olah ianya telah selesai. PAS telah berjaya menutup isu ini agar ia tidak kelihatan berpecah dari dalam . Apa benar ia berpecah atau tidak , kenalah tunggu muktamar parti itu Jun ini.

Tetapi riak-riak menjelang muktamar parti sudah terbayang dengan kemungkinan ada pertandingan dalam semua jawatan tertinggi. Apakah golongan ulamak dapat mengatasi kumpulan profesional yang cuba menguasai parti?

Kesan dan implikasi dari muktamar ini akan dikenal pasti ke arah mana haluan parti, lebih-lebih lagi dalam isu kerjasama dengan UMNO yang menjadi agenda cukup penting pada pada umat melayu dan Islam.

Bagaimanapun, harapan orang-orang melayu agar kedua parti terbesar ini akan menemui titik pertemuan demi kelangsungan survival bangsa melayu dan Islam yang kini semakin diasak dan diserang pelbagai penjuru.

Seperti apa yang di ucap Tengku Razaleigh tadi sekurang-kurangnya menjadi penawar dan pengharapan agar ia menjadi kenyataan bila tiba masanya nanti. Apatah lagi ianya diluahkan oleh seorang yang berdarah raja dan kalangan istana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan