Rabu, 4 Mei 2011

Antara Tee Keat dan Soi Lek

BILA bercakap tentang MCA dan pengundi Cina tidak banyak tumpuan diberikan pada batang tubuh Presidennya, Datuk Dr. Chua Soi Lek, yang sebelum ini terpalit dengan isu video seks melibatkan dirinya.

Apa yang menarik, Dr. Chua telah mengaku secara terbuka dan memohon maaf di atas apa yang berlaku. Lebih mengejutkan lagi, dalam pertandingan jawatan Presiden MCA, beliau telah menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Kiat, dengan majoriti yang kecil.

Dr Chua Soi Lek

Banyak pemerhati politik tidak menyangka beliau yang terlibat dalam skandal itu boleh menang jawatan Presiden. Kerana Tee Kiat, masa itu sebagai Menteri Pengangkutan, telah menunjukkan prestasi dan rekod yang baik sebagai pemimpin MCA dan wakil rakyat.

Ong Tee Kiat ialah bekas Timbalan Speaker Parlimen dan seorang yang fasih berbahas dalam bahasa Malaysia. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab membongkar skandal PKFZ yang melibatkan penyelewengan berjuta ringgit. Sehingga kes tersebut telah mengheret dua tokoh MCA ke mahkamah.

Ramai meramalkan faktor kejatuhan Ong Tee Keat, ada kaitan dengan kes ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati sebilangan ahli MCA.

Dan berita terkini ada desas-desus membayangkan Ong Tee Keat, akan digugurkan sebagai calon MCA dalam PRU 13 nanti. Jika ini benar, inilah realiti politik di negara kita di mana pemilihan calon bukan lagi berdasarkan trek rekod berkhidmat, tetapi lebih pada klik atau puak.

Ong Tee Keat

Bagaimanapun, Ong Tee Keat, kini seorang kolumnis di akhbar Sinar Harian, telah menulis dalam kolumnya baru-baru ini bahawa beliau tetap akan mempertahankan kerusi parlimennya di Pandan, walaupun tidak terpilih.

Beliau menegaskan lagi, sekiranya MCA menggugurkan namanya beliau akan bertanding atas tiket Bebas. Kerana beliau yakin seluruh pengundi di kawasan Pandan akan tetap memilihnya sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan khidmat yang telah ditunjukkannya.

Justeru itu bolehkah kita menganggap kes pengundi Cina lari ke parti pembangkang ada kaitan dengan kes-kes seperti ini?

Agak terkedu juga bila memikirkan bagaimana seorang yang terlibat dalam skandal boleh dipilih menjadi pemimpin sebuah organisasi besar mewakili suatu kaum. Tetapi perlu diingat, pemilihan pemimpin MCA hanya ditentukan oleh seribu atau lebih ahli dan bukan keseluruhan masyarakat Cina.

Jadi, kalau masyarakat Cina sudah hilang kepercayaan dengan MCA, maka parti itu haruslah berusaha memperbaiki imejnya sebagai sebuah parti yang bersih dari pemimpin yang mempunyai skandal.

Ong Tee Keat telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang mempunyai imej yang bersih, malah seorang tokoh muda yang berwibawa.

Apakah ahli MCA telah buat pilihan yang silap?

. ..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan