Jumaat, 19 April 2013

Nasib bangsa bergantung pada diri sendiri

Za'ba
NEGARA akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 pada 5 Mei ini. Ia adalah satu pilihan raya yang getir dan mencabar sejak kita merdeka.

Negara-negara jiran dan seluruh dunia sedang memerhati penuh minat hasil keputusannya yang juga akan memberi kesan pada mereka.

Bangsa melayu yang merupakan majoriti atau 60 peratus penduduk negara ini telah berpecah tiga; melayu Umno, melayu Pas dan melayu PKR.

Kekuatan politik melayu tidak sekuat dulu lagi dan ia kini semakin lemah. Apakah selepas PRU 13 bangsa melayu akan kembali kuat dan bersatu atau semakin lemah kedudukannya sehingga terpaksa bergantung pada orang lain ?

Marilah kita renung apa yang ditulis tokoh bahasa dan budaya melayu yang tidak asing lagi, Allahyarham Zainal Abidin bin Ahmad atau Za'ba dalam bukunya bertajuk, " Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.

Kita ingin memetik secebis kandungan dalam buku tersebut yang dikira masih relevan dengan suasana bangsa melayu kini dan sebagai bahan renungan. Antaranya Za'ba menulis;

"" Perangai bergantung kepada diri sendiri itu boleh dikata akar tunjang atau umbi kepada kejayaan; kerana ialah asas tempat berdiri segala kemajuan naik untuk meningkat kepada kemenangan. Ia tetap akan menggalakkan siapa siapa yang bersifat dengannya itu bekerja keras, dan tetap akan memimpin seseorang kepada berusaha dengan cergas dan bersungguh-sungguh.

Perangai itu tidak akan memberi peluang kepada tabiat suka bertawakal buta atau berserah kepada nasib semata-mata - iaitu suatu tabiat yang selalu menjadikan orang jauh ketinggalan di belakang, menjatuhkan mutu kemanusiaannya dan merendahkan hal kehidupannya.

Dengan dorongan perasaan bergantung kepada diri sendiri seseorang akan merasa wajib membuat sendiri segala kerjanya dan menyempurnakan sendiri apa-apa kewajibannya, dan tidak berharap kepada orang lain. Ia akan tetap bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri sahaja dan hanya memohon taufiq dan pertolongan kepada Tuhan Yang Esa tiada lainnya.

Bidalan Melayu pun ada berkata, dan ia patut jadi pedoman kepada kita dalam hal ini, iaitu kata orang tua-tua:
       " Berharap kepada anak, buta mata sebelah;
         berharap kepada orang, buta mata keduanya."
Yakni pada apa-apa hal pun baiklah buat sendiri. Sementara terdapat pula rangkap syair Arab yang bermaksud seperti :

           " Tidak ada yang boleh menggaru gatal kulitmu
              Sama seperti kuku tanganmu sendiri;
              Sebab itu buatlah olehmu sendiri
              Segala kerja tanggungan dirimu."

Dalam pada itu tidaklah pula menjadi sifat kekurangan jika kita meminta panduan dan nasihat kepada orang yang lebih akalnya dan bijak fikirannya, walau siapa jua asalkan dipercayakan ia sentiasa benar dan tulus ikhlas pada segala perkataannya; kerana dengan jalan demikian nescaya seseorang dapat menambahkan akal-akal yang lain kepada akalnya sendiri.

Hanya tidaklah sayugia ia berbuat demikian hingga kepada had yang menjadikan  dia kelesa dan lemah; jika diperbuatnya  sampai begitu nescaya hilanglah kesendiriannya dan lucut kekuatannya dan kecergasannya.

Perangai bergantung kepada diri sendiri ini ialah di antara sifat-sifat kelebihan yang membawa ketinggian umat dan kemajuannya. Apabila terdapat pada sesuatu bangsa yang perangainya kuat bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri dan tidak hendak bersokong kepada orang lain bagi mendirikan dirinya itu, nescaya majulah mereka dan negeri mereka pun majulah bersama-samanya dengan sebab kuat usaha mereka dan bersungguh-sungguh  segala kerja mereka itu.

Mereka sendiri naik tinggi, dan negeri tanahair mereka pun naik tinggi bersama-samanya; mereka menjadi besar dan mulia dan bangsa mereka pun naik besar dan mulia dengan sebab mereka itu."




Tiada ulasan:

Catat Ulasan