Isnin, 9 Mei 2011

Ku Li masih menaruh hasrat jadi PM

TENGKU Razaleigh Hamzah adalah antara wakil rakyat paling lama berada di parlimen sekarang. Semua pemimpin yang sebaris dengannya sama ada meninggal dunia atau telah bersara dari politik.

Ku Li
Kawasan yang diwakilinya ialah parlimen Gua Musang. Gua Musang telah menjadi kubu kuatnya berpuluh tahun dan dia tidak pernah pindah ke kawasan lain.

Pengaruh Ku Li di kawasan ini tidak dapat digugat oleh sesiapa hingga kini. Buktinya, bila beliau menjadi Presiden Semangat 46, beliau telah berjaya mempertahankan kerusinya dari jatuh ke tangan Barisan Nasional. Dan bila parti Semangat 46 dibubarkan dan beliau telah menyertai semula UMNO, beliau telah berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada BN.

Ertinya, Ku Li telah berjaya mempertahankan Gua Musang sebagai kubu kuatnya dalam dua parti yang berbeza. Begitulah betapa kuat pengaruh Ku Li di kawasan tersebut. Malah ada pendapat nakal yang mengatakan Ku Li tetap akan menang di kawasan ini hatta dia bertanding atas tiket bebas.

Kemenangan BN dalam pilihanraya kecil, Galas, baru-baru ini banyak bergantung pada peranan Ku Li dan sumbangan yang telah diberikannya. Dalam pilihanraya tersebut PAS gagal menyaingi populariti dan pengaruh Ku Li, lebih-lebih lagi Galas adalah dalam kawasan parlimen Gua Musang.

Dalam UMNO sendiri peranan Ku Li tidak begitu jelas. Ada pihak yang masih perlukan ketokohannya. Dalam waktu yang sama ada yang curiga tentang kemungkinan beliau mencabar jawatan Presiden UMNO. Justeru itu Ku Li tidak diberi apa-apa jawatan atau peranan penting dalam parti.

Sudah menjadi rahsia umum Ku Li memang bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Tetapi nampaknya rezekinya belum ada. Dia pernah lawan Dr.Mahathir dalam jawatan Presiden UMNO, tetapi tewas tipis dengan 40 undi. Sebelum itu beliau bertanding lawan Tun Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO sebanyak dua kali dan tewas keduanya.

Beliau pernah cuba mendapat pencalonan dari bahagian-bahagian UMNO untuk mencabar Pak Lah bagi jawatan Presiden, namun gagal lantaran tidak cukup pencalonan.

Apakah kali ini beliau akan mencuba sekali lagi menentang Datuk Seri Najib pula? Dengan UMNO yang telah membuat perubahan dalam sistem pengundian secara menyeluruh dengan melibatkan semua ahli-ahli akar umbi dan tidak lagi pada para perwakilan bahagian, harapan Ku Li menjadi cerah?

Pemimpin sezaman dengannya seperti Dr.Mahathir, Tun Musa Hitam, Almarhum Ghaffar Baba, malah Pak Lah telah pun meninggalkan "arena" arus perdana UMNO, tetapi politik beliau masih bernyawa dan segar. Cuma apakah "survival" beliau dalam arus politik kini sekadar nyawa-nyawa ikan?

Memang sukar diramal. Sekiranya Ku Li masih berhasrat mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri, ianya adalah satu perjuangan yang cukup sukar. Pengaruh dan popularitinya hanyalah sekadar bahagian Gua Musang dan di lain-lain bahagian UMNO seluruh negara beliau tidak begitu berpengaruh.

UMNO tidak beri tugas dan peranan padanya di peringkat pusat memang boleh difahami. Dengan jawatan apa saja di peringkat tertinggi Ku Li mampu melebarkan pengaruhnya dalam parti. Barangkali, UMNO pusat mahu beliau sekadar berkubu di Gua Musang saja.

Tengku Razaleigh Hamzah masuk politik adalah jasa Allahyarham Tun Razak. Tun Razak melihat potensinya sebagai anak muda keturunan raja bagi mengisi barisan pelapis dalam UMNO. Dan banyak orang mengatakan Tun Razak memang mempersiapkan dirinya bakal menjadi Perdana Menteri.

Tetapi Allah kaya, anaknya pula, Najib, menjadi Perdana Menteri. Ku Li bila dia pandang Najib tentulah ia akan terkenang ayahandanya yang telah berjasa padanya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan