Selasa, 17 Mei 2011

Prof. Naquib Tokoh Melayu Terbilang

UMNO sempena menyambut ulangtahunnya ke 65 baru-baru ini telah menganugerahkan Tokoh Melayu Terbilang kepada ahli falsafah dan cendekiawan Islam terkenal, Prof. Syed Naquib Al Attas.

Prof. Naquib ialah pengasas Istac dan banyak menghasilkan buku berkaitan dengan metafizik, kebudayaan, sastera dan falsafah. Kehebatan beliau dalam bidang ilmu dan akademik disegani semua lapisan masyarakat, dari para pemimpin hinggalah para intelektual. Beliau juga adalah adik kepada Allahyarham Prof. Syed Hussein Al Attas, seorang intelektual tersohor.

Pemilihan beliau sebagai tokoh melayu oleh UMNO tentunya mempunyai signifikannya tersendiri. Apatah lagi anugerah itu disampaikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak

Prof. Naquib, sepanjang kariernya tidak pernah melibatkan dirinya dengan soal-soal politik kepartian. Tumpuan dan minatnya hanyalah bidang ilmuan dan akademik. Bukan seperti abangnya, Prof. Syed Hussein, yang merupakan salah seorang pengasas parti Gerakan dan kemudiannya menyertai UMNO.

Kalau tidak silap ingatan saya, hanya sekali semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau telah hadir di kediaman Anwar sebagai tanda simpati di atas pemecatan itu. Selepas itu tiada kelihatan kelibat beliau dalam apa-apa kegiatan atau aktiviti yang berkaitan dengan politik dan parti.

Seolah-olah beliau cuba menjarakkan dirinya dari soal-soal siasah dan Datuk Seri Anwar sendiri. Tindakan Prof. Naquib itu adalah tepat dan sesuai dengan kedudukkannya sebagai seorang ilmuan dan dihormati semua golongan.

Bila kes Anwar Ibrahim semakin tegang dan tajam, beliau tidak memperlihatkan pendiriannya dengan jelas. Beliau lebih menumpukan tugasnya sebagai pengkaji dan penyelidik bidang ilmuannya, malah tidak pernah mengambil kesempatan di atas isu isu politik yang berbangkit. Semua orang menghormati beliau sekaligus imej dan peribadinya tidak tercalar.

Beliau telah meninggalkan Istac, sebuah institusi ilmu yang diasaskannya atas dasar prinsip yang dipegangnya. Beliau terus berada dalam "low profile" tanpa sebarang publisiti dan hiruk pikuk. Sesuai dengan kedudukkannya sebagai seorang ahli falsafah Islam dan ilmuan yang bertaraf tinggi dan dihormati.

Dan kini tiba-tiba dia muncul di khalayak dan menerima pula anugerah dari pemimpin UMNO dan Perdana Menteri. Kesudian beliau menerima anugerah dari UMNO ini tentu mempunyai simbolik dan tafsiran yang tersirat tentang permasalahan dan ancaman yang di hadapi umat melayu dan Islam kini.

UMNO mengiktiraf sumbangan dan ketokohannya. Dalam masa yang sama, sudah tentu Prof. Naquib juga mengiktiraf UMNO sebagai wadah perjuangan umat melayu dan Islam di negara ini. Tidak mungkin beliau akan menerima anugerah ini sekiranya beliau tidak menerima UMNO.

Mustahil beliau terima anugerah ini, tetapi dalam masa yang lain beliau mencela UMNO. Barangkali, banyak perkara beliau tidak bersetuju dengan UMNO, namun secara umumnya beliau menerima UMNO sebagai wasilah orang melayu dan Islam dalam memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

UMNO tidak mungkin mempolitikkan Prof. Naquib, kerana beliau bukan seorang yang lemah dan bukan bertaraf politikus jalanan.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan