Selasa, 31 Mei 2011

Formula Penulisan Mansor

MANSOR AHMAD SAMAN ialah seorang kolumnis yang prolifik lewat tahun 70an dan 80an. Beliau juga seorang pensyarah dalam bidang Komunikasi Massa di USM, Pulau Pinang.

Mansor Ahmad Saman
Dengan memakai nama pena T.S. Lanang, Mansor menjadi kolumnis di akhbar The Sunday Mail, Utusan Zaman dan beberapa buah majalah termasuk Dewan Masyarakat. Mansor juga pernah muncul dengan "Geletek Dari Tanjung" dan "Tanjung Oh Tanjung" dalam akhbar tabloid Bintang Timur menerusi nama samaran Lanang.

Dalam tahun 1979 semasa beliau mengajar di USM beliau telah menghasilkan sebuah buku dalam bahasa Inggeris - So You Want To Be A Journalist - sebagai garis panduan kepada pelajar-pelajarnya dalam bidang komunikasi. Buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris kerana pada masa itu beliau mengajar dalam bahasa tersebut.

Dalam buku itu, Mansor, telah mencipta satu formula sebagai  garis panduan kepada calon-calon penulis. Formula itu dinamakan Formula ABCDEFFG atau lebih dikenali dengan Formula Penulisan Mansor. Secara ringkas, formula itu bermaksud;  A = accurate (tepat), B = brief (ringkas), C = clear (jelas), D = direct (terus), E = easy (mudah), F = fair (adil), F = fast (pantas), G = in good taste (sopan).

Selepas sepuluh tahun dengan tujuan pengajaran dalam bahasa melayu, Mansor sekali lagi mencipta formula penulisan dalam bahasa melayu yang dinamakan Formula Penulisan TAJMAHAL. Ringkasnya, TAJMAHAL adalah;  Tepat, Adil, Jelas, Mudah, terAtur, Halusi, berAdab dan Lancar. Menurut Mansor, penulisan yang baik ialah penulisan TAJMAHAL.

Untuk mendapat penjelasan yang lebih jelas bolehlah mendapatkan buku beliau bertajuk, " Penulisan dan Media," terbitan DBP, 1995.

Di sini suka saya memetik salah satu tulisan beliau dalam nota-nota kuliahnya tentang penulisan. Antara lain beliau menulis;

                     Tulisan yang baik biasanya adalah tulisan yang ringkas - ringkas tetapi penuh. Penulis tidak akan menjela-jelakan dan meleret-leretkan tulisannya semata-mata kerana ingin memanjangkannya.

                      Tulisan yang ringkas adalah "ringkas" dalam konteks sesuatu pembicaraan itu. Ia adalah tulisan yang memperkatakan apa yang ingin dikatakan dengan padat dan lengkap, dan kemudian berhenti. Kalau sesuatu itu padat dan lengkap diperkatakan dalam 100 perkataan, maka tulisan itu akan membicarakannya dalam 100 perkataan, Kalau sesuatu itu padat diperkatakan dengan 10,000 perkataan, maka tulisan itu akan membentangkannya dalam 10,000 perkataan.

                       Tulisan yang baik dan ringkas adalah tulisan yang memperkatakan sesuatu dengan padat, penuh dan lengkap dengan cara yang paling sesuai, dan sesudah itu, tamat. Tanpa satu perkataan pun yang akan ditambah dan dibazirkan.
                                              - Mansor Ahmad Saman.

Semoga menjadi panduan dan bahan "renungan" kepada calon-calon penulis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan