SAH tiga kelab tersohor di England, Liverpool, Arsenal dan Chelsea akan berkunjung ke Malaysia bulan depan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan.
Kunjungan Liverpool ke sini merupakan kali pertama dalam siri Jelajah Asia 2011. Manakala Arsenal dan Chelsea pernah beberapa kali ke Kuala Lumpur sebelum ini. Begitu juga dengan Manchester United yang lebih kerap ke Malaysia.
Kesanggupan ketiga kelab EPL ini datang dan menguji pasukan kebangsaan merupakan satu petanda baik bagi kemajuan dan perkembangan bolasepak tanahair. Sebelum ini pasukan negara agak sukar mencari pasukan yang berkualiti sebagai perlawanan ujian dan mencari pengalaman.
Barangkali, pencapaian dan prestasi Harimau Malaya akhir-akhir ini dengan menjuarai acara bolasepak di Sukan SEA dan Piala Suzuki telah mendorong mereka ingin menguji pasukan negara. Mereka sebagai sebuah kelab besar dan popular tentunya lebih selektif dalam memilih pasukan sebagai lawan dalam perlawanan persahabatan.
Dan Harimau Malaya pula sejak menjadi juara Piala Suzuki belum lagi tewas dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan Hong Kong dan sebuah kelab Perancis yang merupakan juara Liga di Singapura.
Bagi pasukan negara ini adalah peluang dan kesempatan yang bermanfaat untuk memperkemas dan memperbaiki segala kelemahan sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2014. Malaysia akan menentang Taiwan dan jika menang mereka akan berdepan pula dengan Singapura bagi pusingan kedua.
Coach Rajagopal tentu akan memperolehi banyak "tips" dan ramuan berguna dalam siri tiga perlawanan persahabatan ini bagi memastikan Harimau Malaya dapat mengatasi Taiwan dan Singapura, serta layak ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014.
Dalam sejarah bolasepak, Malaysia tidak pernah layak ke pusingan yang lebih jauh dan sering tersingkir lebih awal. Tetapi kali ini dengan prestasi dan pencapaian yang membanggakan serta kualiti yang ada pada para pemain muda kita, harapan untuk mencapai kejayaan begitu cerah sekali.
Apatah lagi pasukan negara kini memiliki sekumpulan para pemain yang rata-rata berusia bawah 23 tahun, masih muda dan mempunyai semangat yang tinggi setiap kali turun ke padang. Inilah aset yang paling penting dalam membentuk sebuah pasukan yang kuat dan disegani.
Cuma kita mengharapkan tidak ada pemain dalam pasukan Harimau Malaya terlibat dalam gejala rasuah seperti yang dihebohkan akhir-akhir ini. Kalaulah ada pemain yang terlibat, maka hancurlah harapan peminat untuk melihat negara ini mengembalikan semula sejarah kegemilangan bolasepak tanahair. Dan lebih memalukan lagi imej negara akan tercemar.
-------------------------------------------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan