Sabtu, 18 Jun 2011

Siapa Maharaja Lawak ?

PROGRAM Maharaja Lawak sudah sampai ke peringkat final Jumaat ini. Empat peserta yang layak ke final terdiri dari Jambu, Sepah, Jozan dan Nabil.

Kumpulan Jambu bernasib baik dapat ke final setelah ia terkeluar minggu lalu. Dengan kuasa yang ada pada pihak juri atau immunity, Jambu dipilih semula ke final.

Sebelum ini Jambu merupakan peserta yang terbaik persembahannya, namun agak merosot di akhir program ini. Barangkali, sudah kering idea agaknya kerana mereka perlu memerah otak saban minggu melakukan persembahan.

Mencari idea dan memerah otak untuk membuat orang ketawa bukanlah kerja yang mudah. Tetapi empat kumpulan ini yang terdiri dari anak-anak muda memang cukup berbakat dan masing-masing mempunyai gaya yang tersendiri.

Nabil pula besar cabarannya kerana beliau peserta solo, manakala yang lain berdua dan bertiga. Ertinya, Nabil keseorangan dalam mencari idea sedangkan Jambu, Jozan dan Sepah boleh berkongsi fikiran mencari ilham dan sebagainya.

Nabil dan Jozan pula adalah pelawak yang sudah menempah nama kerana mereka mempunyai program atau show mereka sendiri di tv. Ini membuatkan mereka lebih tertekan jika dibanding peserta lain. Sepah walaupun sudah popular tetapi mereka masih baru dalam bidang ini.

Tetapi persembahan Sepah sungguh unik dan mampu mengancam kedudukan Nabil dan Jozan. Dalam final nanti memang sukar untuk diramalkan siapa yang akan dinobatkan sebagai Maharaja Lawak.

Kalau hendak dikira dari segi senioriti, maka Sepah adalah kumpulan paling junior dari empat peserta final itu. Namun peluang Sepah untuk bergelar juara adalah seimbang, malah boleh mengalahkan peserta yang lebih senior seperti Jozan, Jambu dan Nabil.

Seperti kata Saiful Apek, salah seorang juri, "Sepah tak habis-habis", setiap kali menilai persembahan mereka.

Apapun yang berlaku di final Jumaat ini kehadiran anak-anak muda ini dalam industri hiburan, khasnya bidang komedi telah memeriahkan lagi dunia lawak jenaka yang sebelum ini agak ketandusan para pelawak yang berbakat.

Siapakah akan bergelar Maharaja Lawak yang julung kali ini ?

Jawabannya hanya pada khidmat pesanan ringkas atau SMS dan para juri Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan