Memaparkan catatan dengan label Najib Tun Razak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Najib Tun Razak. Papar semua catatan

Rabu, 9 Mei 2012

Najib : Tenang dan yakin

Terus mendepani cabaran
SETELAH mengambilalih tampuk kepimpinan parti dan negara dari Tun Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya membuktikan keberkesanan kepimpinannya.

Cabaran paling getir dihadapinya semasa meneruskan kepimpinan Umno ialah keadaan parti itu sedang mengalami tsunami politik 2008 yang menyaksikan Umno merosot teruk dalam pilihan raya umum (PRU) 12.

Selain Umno hilang banyak kerusi banyak negeri jatuh ke tangan pembangkang, terutama Selangor, negeri yang dianggap kubu kuat Umno dan paling strategik kedudukannya.

Tugas yang dipikul Najib bukan mudah apatah lagi bagi memulihkan semula kekuatan Umno yang terjejas teruk sepanjang kepimpinan Tun Abdullah Badawi. Tiga tahun adalah satu jangka masa yang singkat. Namun Najib telah berjaya membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang terserlah bakatnya yang diwarisi ayahandanya Tun Abdul Razak.

Kini Umno akan menyambut ulang tahunnya yang ke 66 pada Jumaat ini. Apakah Umno akan terus bangkit dan gagah sebagai parti melayu terulung dan dalam masa yang sama menjadi tulang belakang pada Barisan Nasional (BN) ?

Cabaran dihadapan Najib cukup hebat dan berat. Tetapi beliau terus dengan penampilannya yang sentiasa tenang dan yakin. Tidak pernah menunjukkan sebarang kerisauan dan bimbang dalam menjalani dan melaksanakan tugasnya seharian.

PRU 13 yang semakin hampir amatlah penting buat Najib. Kerana beliau memerlukan mandat baru dari rakyat bagi meneruskan segala usaha transformasi yang sedang berjalan sekarang.

Dengan penuh yakin Datuk Seri Najib menyatakan apa yang berlaku sekarang seperti perisitiwa rusuhan dalam demonstrasi Bersih 28 April lalu tidak sedikit pun mempengaruhinya dalam menentukan tarikh PRU 13 yang masih menjadi teka-teki semua pihak.


Ahad, 21 Ogos 2011

PRU 13: Najib berteka-teki ?



KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa
Pilihan Raya Umum (PRU) 13 boleh diadakan bila-bila masa dari
sekarang telah menaikkan kembali suhu politik mengenai tarikh
keramat itu.

Selepas peristiwa Bersih pada 9 Julai lalu yang telah menimbulkan
sedikit ketegangan ramai pemerhati meramalkan tarikh PRU 13 akan
sedikit tertunda.

Tetapi selepas mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru
ini Datuk Seri Najib telah memberi "hint" bahawa tarikh PRU itu
tidaklah terlalu jauh dan tidak pula terlalu dekat.

Inilah keistimewaan yang ada pada Perdana Menteri negara ini, beliau
seorang sahaja yang tahu bila masa yang sesuai pilihanraya dapat
diadakan.

Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013. Kalau hendak
dikira masa masih panjang dan berbagai perkara boleh berlaku.

Di sinilah peranan Perdana Menteri yang akan bermain teka-teki dengan
tarikh itu dan dalam masa yang sama ia merupakan satu strategi
parti pemerintah dalam menghadapi parti pembangkang.

Parti pembangkang memang dari dahulu lagi tidak berpuas hati dengan
"hak" penentuan tarikh yang ada pada Perdana Menteri itu. Mereka menggesa
ianya diubah dengan menentukan lebih awal terlebih dahulu.

Bagaimanapun, perkara ini telah menjadi satu tradisi sejak dulu lagi
dan ia tidak pula menyalahi undang-undang.

Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya bermain
teka-teki ini sehingga membuat pihak pembangkang tidak dapat meneka
dengan tepat bila Parlimen akan dibubarkan.

Dalam konteks ini, Tun memang pintar dalam menimbulkan suasana
suspen dan thrill; membuat semua pihak menunggu-nunggu tarikh keramat
itu. Ada suatu masa bendera parti PAS sampai lusuh dan koyak; dek menunggu
parlimen dibubarkan - namun pilihanraya tidak juga berlaku.

Tidak seperti zaman Pak Lah Badawi, sebulan sebelum parlimen dibubarkan
semua pihak termasuk parti pembangkang sudah dapat menghidu hari
bersejarah itu. Malah rakyat kebanyakan pun dapat menelah dan meneka
dengan tepat bila pilihanraya akan diadakan.

Ini kerana memang sifat Pak Lah yang tidak ada unsur suspen dan thrill;
semua langkahnya dapat dibaca. Di tambah pula Pak Lah adalah seorang
Perdana Menteri yang lurus bendul.

Kini giliran Najib pula sebagai orang yang akan menentukan hari bersejarah
itu. Dia perlu mengambil iktibar dari Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Apakah Najib akan terus berteka-teki atau lurus bendul ?














Rabu, 20 Julai 2011

Najib pikul tugas berat


SEJAK zaman Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri sehingga era Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, era Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tempoh paling mencabar dan sukar sebagai seorang Perdana Menteri.

Bukannya sebelum Najib tidak ada cabaran dan masalah, tetapi suasana politik negara kini begitu kompleks  dengan dasar langit terbuka dan tuntutan-tuntutan demokrasi dalam pengertian yang lebih luas dari pelbagai golongan.

Dr. Mahathir, misalnya, mengambilalih tampuk pemerintahan negara dari Tun Hussein Onn dalam suasana negara di dalam keadaan stabil dan harmoni. Tidak ada masalah besar yang ditinggalkan oleh Hussein Onn. Tugas Dr. Mahathir hanyalah meneruskan kepimpinan negara dengan gayanya sendiri.

Begitu juga bila Dr. Mahathir mengundur diri dan menyerahkan kuasa pada Tun Abdullah, semua isu dan permasalahan negara dan parti telah dapat diatasi. Ertinya, semasa Dr. Mahathir serah pada Pak Lah segalanya berada dalam keadaan tersusun dan kemas.

Memang semasa Dr. Mahathir banyak isu dan masalah yang timbul seperti perpecahan dalam UMNO dan isu Anwar Ibrahim. Tetapi semua isu tersebut telah dapat diatasi Dr. Mahathir dengan berkesan. Sehingga terbukti bila Pak Lah mengambilalih jawatan Perdana Menteri dan mengadakan pilihanraya pada 2004, Barisan Nasional telah berjaya memenanginya lebih dari dua pertiga majoriti.

Kejayaan besar BN pada 2004 di bawah Pak Lah merupakan satu rekod yang tidak pernah dicapai oleh Perikatan sejak merdeka. Ia mengatasi pencapaian para pemimpin terdahulu. Dan kredit telah diberikan pada Pak Lah di atas kejayaan itu, sekaligus dia digelarkan sebagai Mr. Nice Guy.

Barangkali, faktor kejayaan BN itu disebabkan personaliti Pak Lah yang dianggap bersih dan lembut. Berbeza dengan imej yang ada pada Dr. Mahathir.

Namun orang lupa faktor terbesar yang mempengaruhi kejayaan BN ialah peranan Dr. Mahathir yang telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna sebelum menyerahkan baton pada Pak Lah. Semua isu yang berkait dengan parti dan kerajaan telah dapat diselesaikan. Dan ini telah mengembalikan sokongan orang-orang melayu terhadap UMNO - sebelum itu UMNO menerima tentangan hebat dari orang melayu ekoran isu Anwar Ibrahim.

Setelah setahun Pak Lah menerajui negara dalam suasana berbulan madu masalah mula timbul dan memperlihatkan kelemahannya sebagai Perdana Menteri. Suasana dan iklim politik mula lintang pukang dan beliau diperleceh semua orang, terutama ahli-ahli UMNO.

Justeru itu timbullah berbagai gelaran seperti suka tidur, lembik, tidak boleh buat keputusan dan sebagainya. Gelaran-gelaran ini memang pahit untuk diterima, namun itulah kenyataan sebenarnya. Pak Lah gagal sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Kelemahan beliau begitu menonjol dan ketara.

Keputusan PRU 12 mengesahkan segalanya. BN hilang dua pertiga dan mencatat rekod terburuk dalam sejarah pilihanraya, selain beberapa buah negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Namun selepas PRU 12, Pak Lah masih bernafsu untuk meneruskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Tetapi negara bernasib baik dengan peranan dan tekanan yang dimainkan oleh Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya Pak Lah terpaksa akur dan meletakkan jawatannya yang tidak sampai dua penggal itu.

Maka tibalah giliran Najib mewarisi kepimpinan yang ditinggalkan Pak Lah dalam keadaan tunggang terbalik. Tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang Pak Lah mewarisi pimpinan dari Dr. Mahathir, stail kepimpinan beliau telah merosakkan BN malah telah "menghancurkan" UMNO dalam percaturan politik negara.

Namun semua telah menjadi sejarah. Tugas yang diambil Najib bukan mudah dan ringan. Najib perlu melakukan banyak pembaikian dan pemulihan tinggalan Pak Lah. Setakat ini beliau berjaya melaksanakannya. Tinggal lagi beberapa langkah yang perlu diperkemaskan menjelang 2013.

Momentum itu sudah ada, cuma perlu sedikit "finishing".