KERAJAAN Umno dan BN dibawah pimpinan Najib Razak kelihatan begitu kuat dan berkuasa walaupun mereka tidak mempunyai kerusi majoriti dua pertiga dalam Parlimen.
Ini terbukti sejak akhir-akhir ini banyak Rang Undang-Undang seperti Akta Sosma, Akta Hasutan, Akta Sempadan Pilihan Raya Sarawak dan terbaru Akta Majlis Keselamatan Negara dan banyak lagi berjaya diluluskan dengan kelebihan majoriti mudah.
Parti pembangkang tidak mempunyai angka jumlah yang cukup bagi menghalang semua RUU itu dari diluluskan dan menjadi undang-undang. Malah Bajet 2016 juga gagal disekat sebagai satu tindakan undi tidak percaya pada PM Najib.
Parti pembangkang hanya mampu membuat bising dan tidak berdaya menghalang apa sahaja langkah yang diambil kerajaan BN.
PM Najib kini kelihatan begitu berkuasa dan tidak tergugat sedikit pun.
Malahan sesiapa sahaja yang mengkritik Najib dengan menggesanya meletakkan jawatan akan diambil tindakan. Mereka yang telah diambil tindakan dan disiasat polis gara-gara mengkritik Najib seperti Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan beberapa pemimpin Umno peringkat bahagian dan Wanita juga turut terlibat.
Semua ini menimbulkan suasana ketakutan pada sesiapa sahaja untuk menyuarakan pandangan dan pendapat berkaitan isu-isu semasa nasional.
Sekiranya tokoh seperti Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin disekat dan terancam bila mereka cuba memberi pandangan kedua dalam isu-isu negara; apalah sangat jika ia melibatkan orang-orang biasa ?
Sudah tentunya jalan paling selamat dalam suasana sekarang semua pihak termasuk rakyat terbanyak hanya mampu mengunci dan zip mulut dari bercakap dan memberi pandangan berkaitan isu-isu yang dihadapi negara.
Pada mereka yang berani mengkritik secara terbuka terhadap pimpinan kerajaan segala Akta yang baru diluluskan sedang menanti dihadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan