DALAM semua akhbar harian tempatan hari ini ( 15 Jun ) hanya Berita Harian dan Kosmo memetik laporan dari akhbar Britain, Daily Mail, tentang bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair mengaku yang beliau membaca kitab Al Quran setiap hari sebagai aktivitinya.
Tony Blair merupakan seorang yang cukup berpengaruh di dunia semasa menjawat sebagai Perdana Menteri Britain. Beliau dan George W. Bush adalah arkitek dan perancang utama pihak pakatan barat menakluk Iraq dan menghancurkan rejim Saddam Hussein.
Dengan hanya alasan Saddam Hussein menyembunyikan senjata nuklear, Blair dan Bush telah berjaya menakluk dan menghancurkan Iraq bagaikan padang jarak padang tekukur. Hingga kini Iraq terus bergolak bermandikan darah dan berantakan.
Saddam Hussein telah mati ditali gantung dan Iraq amat sukar untuk pulih seperti sediakala. Yang anehnya, senjata nuklear yang menjadi alasan dan punca tentera barat menceroboh bumi Iraq tidak ditemui hingga kini.
Blair, setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri Britain, telah dilantik oleh PBB menjadi utusan damai Timur Tengah mewakili Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah serta Russia.
Menurut sumber itu lagi, sebagai utusan damai Timur Tengah, Blair telah membaca kitab Al Quran sebagai satu aktiviti bagi membantu beliau agar lebih memahami umat Islam dan pergolakan di Asia Barat itu.
Dan kesan dari pembacaan itu beliau mendapati dirinya lebih memahami mengenai iman dan Al Quran sebagai kitab yang memberikan perintah yang jelas dan panduan yang berguna. Beliau juga menyatakan iman umat Islam amat indah dan Nabi Muhammad adalah tokoh yang mendorong peradaban.
"Kitab Al Quran itu memberi arahan praktis mengenai pernikahan, wanita dan pemerintahan,"katanya.
Aneh dan takjub, dari seorang yang amat memusuhi dan membenci Islam, kini menjadi penelaah kitab suci itu yang tekun. Walaupun tujuan membaca kitab tersebut hanya untuk membantu dan memahami tugasnya sebagai diplomat Asia Barat, ianya telah mendorong beliau lebih memahami isi kandungannya serta agama Islam yang dipandang sebagai pengganas.
Berita tentang Tony Blair ini mengingatkan kembali kisah Sayidina Umar Al Khatab. Sebelum memeluk Islam, Umar merupakan seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau pernah mengugut akan memancung leher Nabi s.a.w. Ancaman ini diberikan kerana beliau begitu benci dan marah terhadap baginda.
Tetapi takdir Allah s.w.t dengan hanya alunan merdu suara adiknya membaca Al Quran, hati Umar menjadi lembut dan tertarik dengan agama yang dibawa baginda s.a.w.
Apakah Blair akan mengikut jejak Umar Al Khattab ? Kuasa Allah s.w.t tiada siapa yang tahu. KUNFAYAKUN !
Adik ipar Blair telah pun memeluk Islam dengan hanya terlibat dengan kerja-kerja amal di bumi Palestin. Kini beliau menjadi salah seorang sukarelawan Palestin yang tegar. Apakah tiba giliran Tony Blair pula unuk memeluk agama suci ini ?
Manusia boleh meramal, tetapi hanya Allah dapat menentukan suratan takdirnya.
Barangkali, hidayah Blair belum sampai, namun sekurang-kurangnya beliau telah membaca dan memahami isi kandungan Al Quran yang tidak pernah disentuhnya dahulu.
Bapa saudara Nabi, Abu Talib tidak mendapat hidayah hingga nafasnya terakhir. Semuanya adalah kudrat dan iradatNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan