Selasa, 21 Jun 2011

Krisis kewangan di Sepanyol

RAKYAT Sepanyol terdiri dari berbagai golongan termasuk pemuda, pesara, penganggur dan ibu-bapa yang membawa anak kecil dalam kereta sorong berkumpul dan menunjuk perasaan di bandar-bandar besar sebagai bantahan dan mengutuk kerajaan akibat pemotongan perbelanjaan yang memeritkan kehidupan mereka.

Lebih 100,000 penunjuk perasaan membanjiri jalanraya di Sepanyol semalam mengutuk tokoh perbankan dan ahli politik yang didakwa menyebabkan krisis kewangan tersebut.

Mereka menggelarkan  diri mereka sebagai "golongan yang marah" memprotes kegagalan kerajaan menangani masalah pengangguran yang tinggi dan kelemahan kerajaan membanteras rasuah.

Di Madrid seramai 40,000 orang membanjiri di jalan-jalanraya. Manakala di bandar raya kedua terbesar Sepanyol, Barcelona, seramai 50,000 orang keluar memprotes dan beribu-ribu lagi penunjuk perasaan berhimpun di bandar-bandar lain.

Apa yang berlaku di Sepanyol ini sama seperti yang menimpa Greece tidak lama dulu, di mana negara itu muflis dan terpaksa meminta bantuan dari negara-negara Eropah. Kini Greece berjaya menyelamatkan sistem kewangannya dari kemusnahan bila ia mendapat bantuan dan dana sebanyak 12 billion euro (RM516 bilion) dari Kesatuan Eropah dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Krisis yang berlaku di Sepanyol ini tidaklah seteruk negara Greece. Ianya baru diperingkat permulaan. Sekiranya kerajaan Sepanyol gagal mengambil langkah-langkah yang berkesan seperti langkah berjimat cermat dan pemotongan bajet yang telah mendapat tentangan dari rakyat itu krisis ini akan bertambah buruk.

Cuma apa yang membingungkan kita di rantau ini ialah tentang perbelanjaan dan kemewahan dunia sukan bolasepak mereka yang menelan belanja berjuta euro hanya untuk mendapatkan khidmat seorang pemain. Malah yuran perpindahan dan gaji seseorang pemain boleh mencecah berpuluh juta euro bersamaan beratus juta ringgit. Ada sebilangan pemain menerima gaji secara mingguan yang mencecah RM300,000 untuk seminggu !

Jika kita membuat perbandingan kehidupan para pemain profesional ini yang serba mewah dengan keperitan kehidupan sebahagian besar rakyat tentunya tidak masuk akal. Lebih-lebih lagi pihak kerajaan terpaksa berjimat dan memotong bajet mereka.

Tidak adakah perancangan dari seluruh persatuan bolasepak dunia bagi mengkaji dan mereformasikan soal gaji dan yuran perpindahan pemain-pemain profesional dunia yang kini mencapai angka tidak munasabah dan boleh disifatkan sebagai gila !

Salahkah jika kita mengatakan antara punca krisis kewangan di negara-negara Eropah adalah berpunca dari bajet kewangan kelab-kelab bolasepak yang "over stretched" dalam pengurusan kewangan mereka. Sanggupkah pemain seperti Ronaldo dan Messi memotong gaji ?














.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan