Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan

Rabu, 24 Julai 2013

PRK Kuala Besut : BN menang

SEPERTI yang dijangka calon BN menang dan mengekalkan kerusi DUN Kuala Besut dengan majoriti yang bertambah sedikit. Dalam PRU13 BN menang dengan majoriti 2,434 undi. Kali ini calon BN, Tengku Zaihan memperolehi 8,288 undi mengalahkan calon Pas, Che Long, 5.696 undi. Majoriti 2,592 undi. Undi BN meningkat 158 undi.

Bagi BN kemenangan ini disambut dengan biasa dan rasa insaf serta rendah diri untuk meneruskan tradisi membela rakyat dan menunaikan segala janji semasa kempen PRK.

Kedudukan kerajaan negeri kini kembali BN 17- PR 15. Impian Pas untuk menjadikan kedudukannya 16-16 di DUN tidak tercapai. Ia membuktikan sekali lagi bahawa para pengundi yang majoritinya orang melayu di Kuala Besut menolak Pas.

Segala janji dan retorik para pemimpin Pas semasa berkempen tidak berjaya memikat hati para pengundi. Ini termasuklah janji royalti minyak yang menjadi modal besar Pengarah PRK Pas, Datuk Husam Musa.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah reaksi dan respon dari Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengenai kekalahan Pas dalam pilihan raya ini. Kerana sebelum ini Nik Aziz banyak memperlekeh dan merendahkan parti Umno sebagai tidak Islam dan perlu ditolak oleh para pengundi, terutama di Kuala Besut.

Dengan kalahnya calon Pas, apa lagi alasan Nik Aziz untuk memperkecilkan Umno dan mengakui kelemahan parti Pas yang jelas tidak mendapat sokongan majoriti orang melayu.

Apakah beliau akan beri alasan bahawa SPR menipu lagi dalam PRK Kuala Besut itu ? Atau dia akan berdalih bahawa bulan ini bulan puasa dan SPR tidak sepatutnya mengadakan PRK ketika ini.

NikAziz boleh beri seribu dalih, seribu alasan bagi menutup kelemahan Pas dan pimpinannya. Pada hakikatnya Pas tidak mendapat sokongan dari orang-orang melayu.

Politik Pas hanyalah memberi keuntungan pada parti DAP dan PKR. Pas tidak lebih sebagai kuda tunggangan dalam Pakatan Rakyat.

Kemenangan Pas hanya 21 kerusi Parlimen dalam PRU13 lalu adalah bukti nyata.


Khamis, 9 Mei 2013

10 fakta dalam kenangan parti Pas

ADA 10 fakta PRU13 yang Pas payah nak telan.

1) Umno/BN terus kekal berkuasa di Putrajaya.
2) Anwar Ibrahim gagal jadi Perdana Menteri.
3) Kedah dapat dirampas semula BN dari Pas.
4) Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir jadi MB Kedah.
5) Pas hanya menang 21 kerusi parlimen berbanding
    Umno 88 kerusi.
6) Pemimpin besar Pas seperti Haron Din, Mat Sabu,
    Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man - TEWAS.
7) Husam Musa (Sultan Al Fateh) yang juga pemegang kunci
    kota Putrajaya tersungkur dan hilang jawatan di Kelantan.
8) Selepas PRU12, 2008 sepanjang kempen politik Pas telah
    memberi hasil lumayan pada DAP. Pas hanya dapat telor.
9) Pas tidak mendapat sokongan kuat majoriti orang-orang melayu
    berbanding Umno.
10) Hasrat untuk melihat Tun Dr. Mahathir Mohamad ke penjara tidak
    termakbul.

Semua ini adalah berkat dari doa dan sembahyang hajat para pemimpin dan penyokong Pas.

Takbir !

Selasa, 7 Mei 2013

Pas belum mampu ganti Umno

PARTI Pas perlu mengkaji semula perjuangan politik parti itu selepas prestasi buruk dalam pilihan raya 5 Mei lalu. Menang hanya 21 kerusi dari 73 kerusi parlimen yang ditandingi tidak menggambarkan kedudukannya yang mahu menggantikan Umno sebagai parti pilihan orang melayu dan Islam di negara ini.

Sebelum dan semasa PRU 13, Pas telah berkempen begitu hebat bersama parti PKR dan DAP bagi menumbangkan Umno dan Barisan Nasional seterusnya mengambil alih Putrajaya. Tetapi kini semuanya tinggal impian dan khayalan.

Pas bukan sahaja tidak mendapat sokongan majoriti melayu, malah tidak mampu menjadi parti alternatif pada Umno. Bahkan kerusi parlimen yang dimenanginya adalah paling sedikit berbanding PKR - 30 dan DAP - 38.

Sumbangan Pas terbesar dalam PRU 13 lalu adalah memecah belahkan undi melayu dan melemahkan Umno. Dalam masa sama kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat telah melonjakkan sokongan pada DAP dan PKR.

Di Kelantan, kubu kuat Pas masih dapat bertahan dengan sedikit kemerosotan. Di Kedah, Pas gagal mempertahankan kerajaan yang baru sepenggal. Di Selangor, Pas menang 15 kerusi DUN sama jumlah dengan DAP dan PKR 14 kerusi.

Namun harapan Pas untuk melantik calonnya sebagai Menteri Besar Selangor amat tipis sekali. Calon MB Selangor sudah pasti akan dipilih dikalangan calon PKR dan DAP. Kedua parti inilah yang mempunyai pengaruh menentukan kedudukannya. Pas hanyalah penumpang.

Begitulah lemahnya kuasa tawar menawar Pas dalam Pakatan Rakyat. Dalam apa keadaan pun Pas tetap berada di belakang DAP dan PKR. Sekiranya ditakdirkan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, beginilah situasinya di mana Pas bukan parti dominan dan berpengaruh.

Berbeza dengan Umno yang jelas mendapat sokongan majoriti orang melayu sehingga dapat mempertahankan Putrajaya dari jatuh ke tangan pembangkang. Umno menang 88 kerusi parlimen dari 120 kerusi ditandingi. Dan kerusi Umno adalah penyumbang terbesar jumlah 133 kerusi BN dan menjadi tonggak kerajaan yang memerintah.

Pas perlu menerima hakikat kekalahannya dan mengkoreksi diri dalam konteks politik terkini. Pas tidak boleh mengambil sikap menutup pintu pada Umno dalam usaha mengembalikan kekuatan dan perpaduan di kalangan orang melayu dan Islam yang jelas telah berpecah.

Umno juga tidak terkecuali dari mengakui segala kelemahan dan kekurangannya dan perlu mempelajari kesan keputusan PRU 13 bukan sahaja pada orang melayu, malah negara keseluruhannya.

Tetapi satu hakikat yang perlu Pas akur ialah ia belum mampu menggantikan Umno.

Kekalahan tokoh-tokoh Pas seperti Dr. Haron Din, Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Husam Musa dan Tuan Ibrahim Tuan Man dalam PRU 13 di kerusi masing-masing adalah bukti para pengundi melayu menolak mereka.

Selasa, 23 April 2013

Pemimpin sekular dan beragama

TAN Sri Muhammad Muhd Taib masuk parti Pas boleh diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba oleh para pemimpin dan penyokong parti itu. Ia bagaikan satu peristiwa besar dan penyuntik semangat buat Pas dalam menghadapi PRU 13.

Dengan latarbelakangnya sebagai bekas Menteri Besar Selangor, menteri kabinet, Naib Presiden Umno dan bekas calon Timbalan Presiden Umno yang tewas pada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Mat Taib adalah pemimpin tertinggi pernah menyertai parti Pas dalam sejarah.
Mat Taib serah borang Pas pada Hj.Hadi

Dalam kenyataan media, Mat Taib memberi hujah penyertaannya dalam Pas kerana parti itu mempunyai roh Islam. Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan keadaan sosial masyarakat di negara ini yang muda mudinya tidak menutup aurat dan bebas.

Mat Taib dari pengakuannya sendiri mengaku bahawa akhir-akhir ini beliau baru "mempelajari" Islam setelah ia tidak lagi memegang apa-apa jawatan. Ertinya, sebelum ini beliau tidak reti apa-apa tentang Islam dan baru memahaminya setelah dia pencen dan tidak diberi perhatian dari parti asalnya.

Pas tentulah berbesar hati menerima Mat Taib sebagai bekas pemimpin besar Umno menyertainya dalam saat PRU 13 di ambang pintu. Bodohlah Pas jika tidak menghebahkannya dan tidak dijadikan bahan kempen untuk menolak Umno.

Mat Taib bukanlah seorang ustaz jauh sekali bertaraf ulama. Begitulah juga dengan bekas rakan-rakannya dalam Umno seperti Tan Sri Kader Sheikh Fadzil dan Tamrin Ghafar yang lebih dulu keluar dari Umno. Tamrin masuk Pas, manakala Kader daftar parti baru.

Mereka ini semua berpendidikan sekular. Tetapi Tuhan telah "membuka" hati mereka untuk menyertai Pas dan meninggalkan Umno.

Namun apa yang berlaku sebaliknya pada tokoh-tokoh seperti Datuk Dr. Hasan Ali, Datuk Muslim Othman, Hassan Basri dan lain-lain yang telah keluar dari Pas kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar parti itu yang mereka anggap telah tergelincir dari dasar perjuangan Islam Pas yang sebenar.
Ustaz Nasharuddin

Dr Hasan, Datuk Muslim dan Hasan Basri adalah pemimpin yang mempunyai latarbelakang pendidikan Islam yang tidak boleh dipertikaikan jika dibandingkan dengan Mat Taib, Kader dan Tamrin. Ini belum dikira lagi bekas Naib Presiden Pas dan Setiausaha Agungnya, Ustaz Nakhaei Ahmad yang bertaraf ulama telah pun meninggalkan perjuangan Pas lebih dari dua dekad lalu. Nakhaei kini adalah ahli Umno.

Dan usah terlepas pandang dengan nasib Ustaz Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas yang kini nasibnya dalam Pas seperti telur di hujung tanduk. Dipecat pun tidak, mesra parti pun tidak juga. Nasharuddin jelas tidak bersetuju dalam banyak dasar parti itu yang dianggapnya sudah tergelincir dari perjuangan Pas sebenar.

Nasharuddin adalah anak didik mantan Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor. Dia bertaraf ulama. Kini dia masih ahli Pas dan belum dipecat kerana tindakan-tindakannya yang bercanggah dengan pucuk pimpinan Pas.

Namun Nasharuddin mempunyai hubungan mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan khasnya. Beliau berikrar akan terus berjuang mengembalikan perjuangan Islam Pas yang sebenar. Malah beliau pernah menyarankan agar Pas keluar dari Pakatan Rakyat kerana tidak sanggup melihat DAP terus memperalatkan Pas untuk kepentingan politik cauvinis parti itu.

Dalam konteks politik kini, amatlah janggal tokoh politik sekular masuk Pas dan menolak Umno. Dalam masa yang sama tokoh-tokoh Pas yang bertaraf ulama menolak perjuangan Pas. Sekiranya ada yang belum lagi masuk Umno seperti Dr. Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin, namun mereka menyokong dan mesra Umno.

Yang terbaru pula Mufti Perlis Dr. Juanda Jaya yang dikaitkan dengan parti Pas dan PKR sebelum ini secara berterus terang mengakui tetap akan mengundi Barisan Nasional kerana yakin Umno telah berjaya memertabatkan Islam di negara ini. 





Isnin, 19 November 2012

Nik Aziz hanyalah ulama selipar

Pengikut anggap kebal dan keramat

APA sahaja yang keluar dari mulut Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semua ahli Pas akan menerimanya secara bulat tanpa soal jawab. Sebagai seorang berimej ulama dan tok guru, segala pendapat dan pandangannya adalah betul belaka.

Sesiapa yang ingkar atau menentang pandangannya samalah seperti menentang agama Islam yang menjadi ideologi parti Pas. Ertinya, segala fikiran dan sikapnya dalam apa sahaja isu adalah 'absolute' dan tidak boleh dipertikaikan sesiapa.

Sudah ada tanda dan unsur taksub terhadap beliau sebagai pemimpin di kalangan para ahli parti. Beliau sudah dianggap sebagai tokoh yang mempunyai keramat dan kebal. Sehingga sekiranya ada yang berani mencemuh dan mencela peribadinya, maka orang itu akan menerima musibahnya. Begitulah tingginya kedudukan Nik Aziz di mata pengikut Pas.

Namun bagi Nik Aziz, beliau tidak pernah mengakui bahawa beliau adalah bertaraf wali atau keramat, tetapi beliau sendiri tidak pernah menghalang para pengikutnya bersikap demikian. Seolah beliau mahu mengambil kesempatan dalam keadaan itu demi kepentingan politik parti.

Hingga kini beliau telah berjaya mempengaruhi ahli parti bahawa Pas itu Islam dan Islam itu Pas. Dan ini telah banyak mengelirukan masyarakat dan menambahkan perpecahan di kalangan orang-orang melayu dan Islam.

Terbaru tuduhan Nik Aziz bahawa Umno adalah murtad dan menyokong tindakan adiknya, Nik Razi yang mengimamkan sembahyang hajat serta berdoa memohon kehancuran Umno baru-baru ini mengesahkan semuanya berunsur politik. Tetapi semua itu dibuat kononnya di atas kepentingan Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas.

Inilah cabaran yang dihadapi Umno. Semua langkah dan tindakan Pas adalah Islam. Walaupun jelas kadang-kadang dasar-dasar Pas tidak konsisten sepertimana yang digempar-gempurkan. Seperti soal hukum hudud, kerjasama dengan bukan Islam, suara wanita adalah aurat dan sebagainya.

Soal hukum hudud; sudah hampir 22 tahun diberi kuasa memerintah tetapi Pas terus menyalahkan Umno akibat kegagalannya melaksanakan hukum tersebut. Sedangkan seorang peguam Pas, Datuk Wan Mutalib Embong, berpendapat Pas Kelantan tidak serius dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakannya, walaupun ia berpeluang melakukannya.

Manakala Ustaz Hj. Hadi Awang pernah mengeluarkan fatwa adalah haram menubuhkan kerajaan bersama bukan Islam. Tetapi kini Pas sanggup bekerjasama dengan DAP semata-mata mahu berkuasa di Putrajaya. Berbagai alasan diberikan di atas kerjasama itu, antaranya istilah tahaluf siyasi (kerjasama politik).

Dan pada awal pemerintahan di Kelantan, Pas telah mengeluarkan fatwa bahawa suara wanita adalah aurat seterusnya melarang para peserta wanita menyertai pertandingan atau musabaqah membaca Al Quran. Tetapi baru-baru ini larangan itu telah ditarik semula dan membenarkan para wanita menyertainya semula.

Inilah dari beberapa banyak contoh dasar yang tidak konsisten Pas yang boleh dianggap main-main semata-mata kerana mencari undi. Itu belum dikira lagi dengan cadangan untuk memisahkan antara lelaki dan perempuan di tempat-tempat awam, termasuk di dalam stadium dan sebagainya.

Slogan Pas itu Islam dan Islam itu Pas perlu di kaji semula secara berhati-hati kerana ia boleh membawa banyak perpecahan dan kekeliruan di kalangan orang melayu dan Islam.

Rabu, 20 Jun 2012

Larangan wanita menyertai musabaqah


Bukti Pas tidak pernah konsisten
PAS menarik balik larangan yang dikeluarkannya dahulu bahawa wanita tidak dibenarkan menyertai pertandingan musabaqah membaca Al Quran kerana suara wanita adalah aurat.

Tetapi setelah larangan itu berjalan begitu lama kini mereka menarik balik dan membenarkannya pula dengan berbagai alasan remeh.

Ini adalah satu contoh dari banyak sikap dan tindakan Pas sebelum ini yang tidak pernah konsisten dalam dasar dan perlaksanaan parti itu. Ia boleh mengatakan sesuatu dan kemudian mengubahnya bila-bila ia suka asalkan memberi keuntungan pada parti.

Lihat sahaja tindakan Pas satu masa dahulu yang mengeluarkan fatwa bahawa kerjasama Umno dengan parti MCA dan MIC adalah haram dan boleh jatuh kafir. Sehingga kini fatwa itu tidak pernah ditarik balik. Ertinya ia masih berkuatkuasa dan diguna pakai.

Tetapi anehnya kini Pas sendiri sanggup bersekongkol dan bersubahat dengan parti cauvinis Cina, DAP untuk menjatuhkan Umno. Ia bukan sahaja bersahabat dan bersubahat dengan DAP, malah ia sanggup diperalat dan diperkudakan oleh parti perkauman itu semata-mata ingin menawan Putrajaya.

Dari parti yang memperjuangkan negara Islam berpuluh tahun lamanya boleh bertukar dasar menjadi negara kebajikan kerana ingin menyesuaikan diri dengan rakan-rakannya PKR dan DAP. Seperti biasa bila ia melibatkan Umno berbagai fatwa dan hukum dikenakan. Namun bila terkena pada diri sendiri berbagai alasan dan hujah diberikan.

Dengan kata lain, semua tindakan Pas adalah menurut Islam dan halal. Bagi Umno pula semua tidak kena dan haram. Inilah isi dan rupa bentuk Pas yang sebenarnya. Mereka tidak pernah konsisten dan tidak mengkaji sesuatu itu dengan mendalam sebelum dilaksanakan.

Pas menuduh Umno sebagai sekular. Tetapi hakikatnya Pas lah yang mengamalkan dasar sekular iaitu dengan mengamalkan dasar yang berubah-rubah mengikut keadaan demi keuntungan politik. 

Orang-orang melayu perlu sedar dan membuka mata dengan sikap dan pendirian Pas ini. Pas hanyalah sebuah parti bersifat "form" dan bukan "substance". Tidak boleh bergantung dan berharap padanya.




Jumaat, 11 Mei 2012

Sabtu, 25 Februari 2012




PAS hanya perisai DAP-PKR


KRISIS politik yang melanda
negeri Kedah antara Menteri
Besarnya, Datuk Seri Azizan
Abdul Razak dengan beberapa
orang exconya memberi gambaran
betapa kelam kabutnya pemerintahan
Pakatan Rakyat.

Diberitakan empat exco PAS itu
tidak berpuashati dengan corak
pimpinan Datuk Seri Azizan dan enggan hadir pada majlis perlantikan Exco kerajaan negeri hujung
bulan ini.

Sebelum ini pun telah timbul berbagai rasa tidak puas hati dikalangan anggota DAP dan PKR tentang
beberapa keputusan Azizan yang dianggap bertentangan dengan manifesto Pakatan Rakyat. Lebih
membangkitkan kemarahan DAP-PKR ialah kenyataan Azizan betapa Buku Jingga tidak semestinya
sesuai dilaksanakan di negeri Kedah dan ia boleh dipinda kerana ia bukan Quran.

Ada sumber lain pula mengesahkan puak pro Anwar dalam PAS mahu Azizan digantikan kerana
beliau tidak disenangi oleh DAP dan PKR. Datuk Seri Azizan dikatakan berada dalam kem ulama
dan bukan kem Anwarinas. Selagi Azizan terus berkuasa ia akan menjadi duri dalam daging dalam
Pakatan Rakyat menjelang PRU 13.

Senario yang berlaku di Kedah ini memberi gambaran jelas betapa kuatnya pengaruh Anwar disamping
DAP dalam menentukan corak kepimpinan dalam Pakatan Rakyat. PAS lebih tidak bertaring di Pulau
Pinang dan Selangor. Ia bagaikan hanya sebagai penumpang dalam pakatan.

Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya sudah tentu DAP dan PKR akan lebih berperanan
dan berpengaruh mentadbir negara ini. Tugas PAS hanyalah menafikan peluang UMNO dari undi
orang melayu. Alasan ini dikuatkan lagi dengan PAS yang hanya mampu bertanding 60 hingga 70 kerusi
parlimen dari sejumlah 222 kerusi keseluruhannya. Ertinya, kerusi yang akan ditandingi PAS tidak
sampai separuh dari kerusi kesemuanya.

Justeru itu PAS tidak mungkin mampu menjadi satu kuasa yang dominan dalam Pakatan Rakyat.
Ia akan terus tunduk dan dibawah tekanan dari dua kerabatnya dalam pakatan. Sudah banyak bukti
PAS sering mengalah dengan mainan politik Anwar dan DAP. Anwar terus dengan liberalisme dan
pluralismenya. DAP kekal sebagai parti cauvinis.

PAS mahu mengambilalih peranan UMNO, namun dalam masa yang sama ia terus menjadi alat
tunggangan DAP dan  PKR.

Jumaat, 2 September 2011

PAS nak rebut 60 kerusi



PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam
kenyataannya dalam satu majlis hari raya di Kuala Trengganu
menegaskan bahawa PAS mensasarkan 60 kerusi parlimen
dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurut Abdul Hadi lagi, pada pilihanraya umum lalu
PAS telah berjaya menambah kerusi parlimen dan mentadbir
tiga buah negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Namun Perak
jatuh kembali ketangan Barisan Nasional setelah berlakunya
beberapa ADUN PKR melompat dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Pada pilihanraya umum (PRU) 13 ini beliau yakin PAS akan
mencapai sasaran 60 kerusi parlimen dengan merampas 25 kerusi
dari 75 kerusi yang ada pada UMNO.

Di parlimen keseluruhan kerusi adalah berjumlah 222 kerusi semuanya.
Sekiranya PAS berjaya memenangi 60 kerusi sebagaimana yang
disasarkannya, ke mana pula baki 162 kerusi akan pergi ?

Di segi common sensenya baki kerusi itu akan dimenangi parti
Barisan Nasional, DAP dan PKR. Berapa pula jumlah yang akan
dimenangi ketiga parti itu masing-masing ?

Kalau betul seperti kata Abdul Hadi, PAS akan rebut 25 kerusi
yang ada pada UMNO sekarang, bermakna UMNO akan hanya
mempunyai 50 kerusi sahaja. Ertinya, baki 110 lagi kerusi akan jatuh
pada DAP dan PKR.

Jadi atas 110 ia akan terbahagi sama ada 60-50 atau 70-40 atau
sebagainya antara DAP dan PKR.

Jika andaian ini berlaku, maka tidak ada satu parti pun akan
memperolehi majoriti di parlimen. Kecuali masing-masing parti
terpaksa bergabung dan "bertongkat" antara satu sama lain bagi
memperolehi majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Dalam konteks ini, PAS yang memburu hanya 60 kerusi sebenarnya
lebih fokus untuk terus menjadi pembangkang dan bukannya
berhasrat menjadi kerajaan di Putrajaya.

Dengan hanya 60 kerusi dari 222 kerusi tidak ada apa yang
boleh dilakukannya. Tetapi PAS tetap akan menjadi "power broker"
antara Pakatan dan Barisan yang cukup penting.

Sekiranya PAS kekal dengan status quonya dalam Pakatan Rakyat,
akan timbul juga persoalan : apakah PAS mampu menjadi pemain
utama dan tidak tunduk pada DAP dan PKR ?

Untuk mengharap PAS bekerjasama dengan UMNO adalah
sesuatu yang mustahil buat masa ini. Kalau ada pun usaha dan
gerakan untuk menyatukan dua parti ini, pasti ianya akan
membawa perpecahan dalam parti Islam itu.

Pada analisisnya dalam PRU 13 ini, sama ada UMNO atau PAS
yang perlu sapu bersih kerusi majoriti melayu bagi menentukan
kedudukan yang lebih jelas. Jika kedua parti melayu ini menang
kerusi secara 50-50, maka timbullah suasana seperti yang disebut
tadi.

Dalam PRU 13 ini juga akan menjadi "do or die" buat UMNO
dan PAS bagi memenangi hati pengundi melayu. Orang melayu
kena buat pilihan.

Untuk rekod semasa era Tun Dr. Mahathir dari 1981-2003, UMNO
telah mencapai kejayaan 80 hingga 90 peratus kerusi yang ditandinginya.
Malah ada ketikanya kerusi yang dimenangi UMNO mampu menubuhkan
kerajaan pusat dengan majoriti mudah tanpa gabungan dari
parti-parti komponen lain.

Begitulah betapa kuat dan kukuhnya UMNO sebelum ini. Tetapi senario
kini sudah berubah. Ia bermula dengan era Tun Abdullah Ahmad Badawi
yang penuh dengan kelemahan kepimpinannya dan episod "lawak jenaka"
sepanjang pentadbirannya.

Apakah UMNO akan bangkit di bawah Najib ? Atau PAS akan
terus mengancam kedudukan UMNO dihati orang melayu ? Cuma
yang kurang jelasnya, apa yang PAS boleh buat dengan 60 kerusi ?
















Isnin, 6 Jun 2011

Mampukah PAS ganti UMNO ?

DENGAN perkembangan terbaru dalam parti PAS dan segala kenyataan yang dikeluarkan barisan pemimpin yang terpilih serta ucapan dasar Presiden, adakah parti itu sedang menuju landasan yang betul bagi mengganti UMNO sebagai parti orang melayu dan Islam di negara ini ?

PAS percaya ia boleh menjadi parti alternatif pada UMNO melalui kerjasamanya dengan DAP dan PKR.  Analisis keputusan pilihanraya kecil yang sebanyak 16 kali - 8 dimenangi pembangkang dan 8 dimenangi Barisan Nasional.- menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya menarik pengundi-pengundi Cina menyokongnya. Manakala pengundi melayu masih lagi berpihak pada Barisan Nasional. Begitu juga keputusan pilihanraya di Sarawak yang lalu menunjukkan trend yang sama.

Sekiranya PAS ingin mengetuai Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU 13 nanti ia perlulah menarik lebih ramai pengundi melayu meninggalkan UMNO.

Tetapi ucapan Presiden PAS baru-baru ini yang mahu memperjuangkan negara kebajikan sebagai ganti pada negara Islam yang menjadi perjuangannya selama ini menarik perhatian. Mengapakah PAS berubah posisi dari negara Islam ke negara kebajikan pula ?

Apakah PAS terpaksa kompromi  dan bertolak ansur dengan rakan mereka DAP dan PKR ?

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, telah menyatakan  PAS mesti berusaha menawan hati dan pemikiran rakyat, lebih-lebih lagi orang melayu, untuk menggantikan UMNO.

Tetapi dengan pendirian PAS yang terbaru ini boleh menimbulkan keraguan dikalangan orang melayu dengan sikap PAS yang berubah-ubah. Ini ditambah lagi dengan pendirian Tok Guru Nik Aziz yang menolak ketuanan melayu dan melayu sebagai satu bangsa dalam politik negara ini.

Isu-isu seperti ini tidak akan membawa PAS ke mana. Malah ia akan memberi kelebihan pada UMNO sebagai political mileage padanya. Majoriti orang melayu masih tidak jelas dan sangsi dengan pendirian PAS tentang negara Islam dan sikapnya tentang bangsa melayu sebagai peribumi.

Orang-orang melayu sudah tentu tidak akan "bereksperimen" dan mengambil sikap "mencuba-cuba" tentang masa depan mereka. PAS seharusnya membuktikan dan menjelaskan peranan yang akan dipikulnya bila mereka ke Putrajaya kelak.

Apa yang menakutkan sokongan terhadap PAS akan membawa rebah. DAP dan PKR pula bermaharajalela dan mengaut keuntungan dari percaturan politik Pakatan Rakyat.

PAS adalah parti tertua dan senior dalam Pakatan Rakyat. Dan ini perlu diterjemahkan dalam segala tindakan dan agenda parti pembangkang. PAS tidak harus mengekori, ia mesti menguasai dan mengepalai Pakatan Rakyat.

Namun, suasana sekarang adalah sebaliknya. Sekira keadaan ini berterusan harapan PAS untuk mengganti UMNO bagaikan bermimpi di siang hari, apatah lagi menawan Putrajaya.

- Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 10 - 16 Jun 2011.

Sabtu, 28 Mei 2011

Barisan Impian - The Dream Team

ANDAIKATA saya boleh menentukan saf pimpinan PAS selepas Muktamar parti 3-5 Jun ini; barangkali begini senarai kepimpinannya. Barisan ini disebut sebagai pasukan impian atau The Dream Team.

Presiden :    Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Timbalan Presiden: Nasharuddin Mat Isa atau Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib-Naib Presiden: Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Kedudukkan Presiden tidak perlu dipertikai lagi kerana beliau telah menang tanpa bertanding. Bagi jawatan Timbalan Presiden, saya letak dua nama disitu kerana keduanya adalah dari golongan ulama. Sama ada Nasharuddin atau Tuan Ibrahim terpilih ia adalah satu kemenangan pada ulama. Ertinya, salah seorang mesti menang mengatasi Mohamad Sabu.

Untuk jawatan Naib Presiden, ketiga nama tersebut di atas dikira lebih layak dan sesuai jika dibanding dengan tiga calon lagi yang turut bertanding. Mereka ialah Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ustaz Idris Ahmad, sekarang sebagai Ketua Penerangan ialah seorang ulama dan masih muda. Begitu juga dengan Datuk Amar Abdullah. Sebagai calon dari Kelantan beliau lebih baik dari Datuk Husam. Tidak mungkin dua calon Kelantan terpilih bagi jawatan Naib. Jadi, perwakilan terpaksa memilih salah satu. Dan sudah tentu Datuk Amar ialah pilihan terbaik. Lagipun Husam adalah bekas Naib Presiden yang lalu. Para perwakilan seharusnya memberi peluang pada Amar berbanding Husam.

Calon ketiga Datuk Seri Nizar tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau bekas MB Perak dan ahli parlimen Bukit Gantang. Ketokohan Nizar lebih menonjol berbanding Datuk Mahfuz dan Salahuddin. Tambahan pula Mahfuz dan Salahuddin adalah penyandang Naib Presiden sekarang. Nizar mampu mengambilalih peranan dan tanggungjawab dari mereka berdua.

Sekiranya pasukan atau barisan impian ini menjadi kenyataan, PAS kemungkinan akan menjadi sebuah parti yang lebih mantap dan berwibawa - sesuai dengan imejnya sebagai parti yang mendaulatkan ulama.

Kedudukkan Datuk Nik Aziz Nik Mat, sebagai Mursyidul Am, dikekalkan dan dipertahankan. Beliau harus kekal di situ selagi kesihatannya mengizinkan.

Bagaimanapun, kita tidak dapat membaca hati dan fikiran perwakilan yang akan mencorak dan menentukan haluan serta arah tuju parti pada masa hadapan.

Tetapi andainya ahli parti membuat keputusan memilih calon-calon seperti Mat Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden dan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden, maka pada hemat saya, mereka akan membawa parti PAS mundur setapak kebelakang.

Mat Sabu atau Husam adalah calon "recycle" yang tidak perlu diberi tempat. Kehadiran mereka dalam saf pimpinan akan merumitkan kedudukkan Presiden sebagai pengemudi bahtera. Presiden semestinya dapat menunaikan tugasnya tanpa gangguan dan politik dalaman.

Mat Sabu perlu beri tumpuan beliau sebagai "gurka" parti. Dan Husam, tugas dan tanggungjawabnya di Kelantan sudah lebih dari apa yang boleh dipikulnya.

Keterlibatan mereka dalam pucuk pimpinan parti, ibarat rencah dan ramuan yang boleh merosakkan sebarang masakkan !.






.