SASTERAWAN Negara A.Samad Said kini banyak terlibat dalam pro demonstrasi di jalan-jalanraya bagi memperjuangkan berbagai isu. Beliau adalah antara tokoh penting memperjuangkan perhimpunan Bersih 9 Julai ini.
Satu ketika Pak Samad bersama dengan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hassan Ahmad, mengepalai tunjuk perasaan menentang pengunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah.
Lebih kurang 15 tahun dahulu Pak Samad pernah melancarkan "mogok seni" kerana tidak puas hati tentang layanan Dewan Bahasa terhadap karya-karyanya serta masalah honorarium. Erti "mogok seni' ialah beliau berhenti menulis dan berkarya sementara waktu sehingga segala tuntutannya dipenuhi Dewan Bahasa.
Pada ketika itu kritikan dan protes Pak Samad lebih berkisar pada soal bahasa, soal seni dan masalah kesusasteraan negara. Tetapi sejak kebelakangan ini suara Pak Samad lebih berani dan terbuka dengan melibatkan soal politik, kebebasan dan demokrasi.
Dalam satu pilihanraya kecil kawasan Hulu Kelang, Pak Samad secara terbuka memberi sokongan kepada calon PKR masa itu, Datuk Zaid Ibrahim yang menentang calon BN, P. Kamalanathan. Dalam pilihanraya kecil itu Datuk Zaid telah tewas.
Pak Samad pernah suatu ketika dikecam dan dikritik oleh seorang lagi sasterawan negara, Shahnon Ahmad, yang membidas sikapnya yang banyak membisu dalam soal dan isu semasa negara. Shahnon juga mengkritik karya-karya Pak Samad yang dianggapnya tidak berunsur Islamik dan sebagainya.
Justeru itu berlakulah polemik antara dua sasterawan negara ini dalam majalah Dewan Sastera. Antara tulisan Pak Samad yang menarik ialah beliau menyatakan Shahnon tidak berhak menilai "keIslamannya" dalam setiap karyanya. Polemik ini lebih menumpu pada soal karya berunsur Islam yang bagi Shahnon tidak terdapat dalam hasil karya Pak Samad.
Shahnon Ahmad ialah seorang sasterawan negara yang kuat mengkritik pimpinan Dr.Mahathir dan UMNO. Sehingga terbitnya sebuah novel berjudul SHIT yang bermaksud tahi - mempersenda UMNO dan pimpinannya.
Kemudian Shahnon telah bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket PAS di kawasan parlimen Padang Terap dan berjaya menewaskan Tan Sri Abdul Hamid Othman. Kritikan dan kecaman Shahnon sebagai wakil PAS terhadap kerajaan semakin hebat.
Namun penglibatan Shahnon dalam politik PAS dan sebagai wakil rakyat hanya bertahan untuk sepenggal sahaja. Beliau mengundurkan diri di atas alasan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Kini suara nyaring Shahnon sudah tidak kedengaran lagi. Tidak ada lagi kritikan dan kecaman seperti dulu. Beliau kini dalam suasana penuh low profile. Apakah sikap dan pendirian beliau sudah berubah ?
Bagaimanapun, kekosongan yang ditinggal Shahnon Ahmad kini telah diambil alih oleh Pak Samad orang yang pernah dikecamnya dulu. Adakah Pak Samad juga akan mengendur dalam perjuangannya seperti apa yang terjadi pada Shahnon di suatu ketika nanti ? Memandangkan usia Pak Samad kini menjangkau 70an ia tidak boleh ditolak.
Sikap dan pendirian Pak Samad sebagai seorang sasterawan negara dalam banyak isu perlu dihormati oleh semua orang. Namun apa yang menyedihkan beliau sebagai seorang yang bertaraf dan berkedudukkan tinggi dan dihormati boleh terlibat dalam protes jalannan dan demonstrasi. Dia telah meletakkan dirinya setaraf dengan mereka yang berada di jalan-jalanraya. Tempatnya sebagai seorang karyawan bukan di tepi jalanan.
Banyak lagi kaedah boleh beliau lakukan dalam menyalurkan sikap dan pandangannya dalam isu-isu yang membabitkan bangsa, agama dan negara. Pak Samad perlu memastikan beliau tidak diperalatkan oleh mereka yang ingin menangguk di air yang keruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan