BEKAS Ketua pasukan Manchester United dan England, Bryan Robson, telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Thailand setelah 21 bulan memikul jawatan tersebut. Robson memberi alasan kesihatan dan menegaskan beliau tidak akan kembali lagi dalam bidang pengurusan dan jurulatih.
Sepanjang berada di Thailand tugas beliau boleh dianggap gagal mencapai apa-apa kejayaan. Thailand sebelum ini adalah "gergasi" ASEAN dalam acara bolasepak. Kini kedudukkan negeri gajah putih itu jatuh 15 anaktangga dalam rangking FIFA ke tangga 120 di dunia. Mereka gagal mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA dan tidak layak ke pusingan akhir Asian Cup buat pertama kali dalam masa 23 tahun.
Ada sumber menyatakan pengunduran Robson berkait rapat dengan prestasi Thailand dan hubungan dinginnya dengan Presiden FA Thailand, Worawi Makudi. Bryan Robson juga membayangkan beliau akan kembali ke Manchester United sebagai "duta" sepenuh masa di kelab tersebut.
Penolong jurulatih kepada Robson, Steve Darby, juga telah mengambil langkah yang sama meletakkan jawatan. Steve Darby adalah bekas jurulatih Johor dan Perak dalam Liga Malaysia sebelum berhijrah ke Bangkok.
Khabar angin bertiup kencang yang beliau akan kembali ke Malaysia menjadi jurulatih pada pasukan negeri musim depan. Desas-desus mengatakan Selangor berminat untuk mendapat khidmat beliau. Tetapi ini banyak bergantung kepada prestasi K.Devan dan Selangor yang masih memburu Piala Liga dan Piala Malaysia yang kini berada dipenghujung musim ini.
Apa yang berlaku pada Bryan Robson dan pasukan kebangsaan Thailand patut menjadi teladan pada FAM. Sehebat mana sekali pun jurulatih import bukan jaminan kejayaan sesebuah pasukan. Semasa pasukan kebangsaan Thailand berada dipuncak kejayaan ia banyak dikendalikan oleh jurulatih tempatan.
FAM sendiri telah mengalaminya beberapa tahun dahulu. Siapa tidak lupa dengan nama-nama seperti Richard Bates, Frank Lord, Allan Harris, Bartalan Biski dan paling popular jurulatih Claude Le Roy dari Perancis. Antara mereka ada yang telah berkhidmat dalam masa yang lama dan setengahnya pula dalam waktu yang singkat.
Memang tidak dinafikan kehadiran mereka sedikit sebanyak telah memberi impak pada pasukan kebangsaan. Namun, secara keseluruhannya sumbangan mereka terhadap prestasi pasukan kebangsaan agak minimal. Dan ini tidak setimpal dengan gaji mereka yang mencecah berpuluh ribu sebulan.
Langkah FAM melantik Datuk K.Rajagopal dan Ong Kim Swee melatih pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda adalah tepat dan kena pada masanya. Dan kini telah pun membuahkan hasil dengan pencapaian dan prestasi mereka yang membanggakan.
Kita tidak perlu lagi pada jurulatih asing memandangkan kini kita mempunyai banyak jurulatih tempatan yang berkualiti. Sekadar beberapa contoh seperti B.Satianathan, Wan Jamak Hassan, M.Karathu, Irfan Bakti, Abdul Rahman Ibrahim dan lain-lain. Mereka semua layak dan teruji kebolehan mereka.
Kita juga patut mengambil contoh dengan apa yang menimpa pasukan England. Adalah sesuatu yang menghairankan sebagai sebuah negara yang mempunyai salah satu Liga yang popular di dunia, England masih memerlukan khidmat jurulatih luar bagi pasukan kebangsaannya.
Kalau dulu Sven Goran Ericson, dari Sweeden, dan kini Frank Capello, dari Itali. Tetapi prestasi England sama ada di kejohanan Piala Dunia atau Piala Eropah cukup mengecewakan seluruh peminatnya. Seolah-olah sudah tidak ada lagi jurulatih berbangsa Inggeris yang layak memangku jawatan tersebut.
Henry Rednapp, David Moyess, Allan Marcayde dan lain-lain sekadar contoh tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Capello.
FAM dan negara tidak perlu mengikut jejak mereka dalam membangun bolasepak negara. Apa yang ada sekarang sudah cantik dan perlu dikekalkan. Jangan nasib yang menimpa Thailand menular ke negara kita pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan