Khairy |
Dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Khairy telah berjaya menewaskan Datuk Mukhriz Mahathir dalam pertandingan tiga penjuru yang disertai seorang calon lagi iaitu Khir Toyo. Kesan selepas pertandingan itu cukup kontroversi kerana Dr. Mahathir telah menuduh Khairy bermain politik wang untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda.
Bagaimanapun, tidak ada tindakan dari parti terhadap tuduhan tersebut kerana tidak ada bukti. Namun, sebagai Ketua Pemuda UMNO, Khairy, tidak disenaraikan dalam kabinet Najib. Apakah ini satu hukuman terhadap Khairy ? Atau Najib terpaksa tunduk dengan tekanan dan pengaruh Dr. Mahathir ?
Beberapa bulan dahulu, Khairy, telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan akan datang. Kenyataannya ini telah mengejutkan banyak pihak.
Apakah Khairy sungguh-sungguh tidak mahu lagi jawatan tersebut ? Atau ini adalah manifestasi kekecewaannya terhadap layanan parti terhadapnya ? Amatlah janggal sekali sebagai Ketua Pemuda yang tarafnya adalah seperti Naib Presiden, tidak diberi tempat dalam kabinet kerajaan, hatta sebagai Timbalan Menteri.
Tidak pula dapat dipastikan adakah ini hanya satu langkah "politik" Khairi untuk menguji sokongan para pemuda UMNO terhadap pimpinannya. Kerana apa yang pasti Datuk Mukhriz Mahathir akan mencabarnya sekali lagi.
Khairy dan Mukhriz sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri. Kedua mereka adalah pemimpin muda yang berbakat dan berpotensi besar pada masa hadapan. Mukhriz lebih bersifat "low profile' dan Khairy kelihatan lebih "ultra" dan berani.
Khairy telah memperlihatkan ketokohan dan karismatiknya bila beliau adalah satu-satunya pemimpin UMNO yang sering menghadiri forum debat berdepan dengan tokoh pemimpin PAS. Keberanian dan kebolehannya berhujah harus dipuji. Dia telah membuktikan bahawa beliau adalah pemidato yang baik dan mempunyai hujah-hujah yang kuat serta berfakta.
Terbaru dalam Siri Wacana Sinar, yang turut disertai Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dan Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin serta Khairy dalam debat yang bertajuk "Fitnah : Ancaman Umat Akhir Zaman." Prestasi Khairy dalan Wacana Debat ini tidak mengecewakan.
Beliau juga pernah ikut serta dalam forum di Balai Islam, Kelantan berdepan dengan Datuk Husam Musa. Seperti biasa Khairy telah membuktikan beliau seorang yang mempunyai hujah dan fakta, malah berani pula berhadapan dengan sesiapa saja.
Beliau masih muda dan mempunyai masa depan politik yang baik. Kontroversi dirinya semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri telah mematangkannya dalam dunia politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan