ANWAR Ibrahim akan melakukan pembelaan dalam kes liwatnya di Mahkamah Tinggi, 6 Jun ini. Semoga tidak ada lagi penangguhan atau melambat-lambatkan proses yang berlangsung di mahkamah nanti.
Tidak perlu menimbulkan soal konspirasi atau fitnah dan soal keadilan bila proses perbicaraan berjalan. Kerana inilah masa dan ruang untuknya membela dan membersihkan namanya yang telah tercemar dengan pelbagai tuduhan.
Rakyat dan seluruh lapisan masyarakat sudah cerdik dan celik. Mereka mampu menilai dan mempertimbangkan yang mana satu kebenaran dan fitnah. Mereka bukan boleh dibodoh-bodohkan dengan segala sajian yang dihidangkan pada mereka.
Sekiranya benar ada konspirasi atau fitnah politik, maka tidak perlu khuatir kerana rakyat akan menghukumnya melalui peti undi dalam PRU ke 13 yang tidak berapa lama lagi.
Dan Datuk Seri Anwar, sekiranya beliau berada dipihak yang benar, tidak perlu bimbang dan khuatir. Biarkan proses mahkamah berjalan dengan lancar. Kalau hakim tidak adil, rakyat akan menjadi hakim menentukan nasib kerajaan kelak.
Mohd Saiful Bukhari begitu konsisten dalam usahanya mencari kebenaran dan meneruskan kes liwat ini tanpa bertangguh lagi. Sikap ini dapat dilihat dari awal lagi. Manakala pihak pembelaan sering cuba menangguh-nangguhkan dan melewatkan perbicaraan ini berjalan dengan lancar.
Ini tidak selari dengan sikap untuk mencari kebenaran. Seolah ada sesuatu yang hendak disembunyikan dari didedahkan pada umum.
Seperti biasa bila perbicaraan berjalan, banyak perkara yang akan didedahkan sehinggalah ke perkara yang sulit dan rahsia.
Apakah semua yang diperkatakan dan didedahkan akan mengikut skrip yang telah diatur ? Seperti kata Tun Dr. Mahathir, adalah tidak logik untuk mengatur dan mengawal hampir 100 orang semua peringkat untuk menjayakan sebuah konspirasi ?
Saya berharap pendirian saya ini salah. Dan memang kes Anwar ini adalah kes politik untuk menyekat kemaraannya ke Putrajaya. Selagi mahkamah tidak mensabitkannya, selagi itulah beliau tidak bersalah.
Tetapi dengan segala apa yang berlaku mutakhir ini dan penafian-penafian yang dibuat, telah menimbulkan banyak persoalan dan keraguan. Banyak berlaku kesamaran dan kekeliruan.
Justeru itu menjadi bebanan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghilangkan segala kesamaran dan kekeliruan itu dengan membela dirinya di mahkamah secara habis-habisan.
Kita sebagai rakyat tentunya mengharap kes liwat akan selesai dan dikambus rapat-rapat agar tidak ada lagi selepas ini. Sudah hampir 12 tahun rakyat dibebankan dengan kes liwat ini. Semoga selepas ini rakyat dapat menghirup udara dan nafas yang segar dan bukan lagi isu-isu yang jijik dan memualkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan