Memaparkan catatan dengan label Datuk Seri Najib Razak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Datuk Seri Najib Razak. Papar semua catatan

Ahad, 2 Jun 2013

Tidak ada calon selain Najib

DI kalangan pro Umno timbul persoalan tentang kredibiliti anggota dan para penasihat Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ada pendapat mengira Najib dikelilingi para penasihatnya yang tidak berkualiti.

Isu ini timbul selepas PRU13 selesai berkaitan dengan keputusan Najib dalam beberapa perkara yang dianggap mengalah dan mundur ke belakang. Memang Najib membuat sebarang keputusan tetapi adakah beliau banyak dipengaruhi para penasihatnya ?

Apa pun sudah kedengaran ketidakpuasan hati dengan stail kepimpinan Najib, terutamanya beberapa langkahnya bagi memulihkan imej Barisan Nasional dan kerajaan. Sudah ada yang mengatakan dia lembik dan terlalu mengambil hati kaum Cina yang telah jelas menolak BN.

Sebelum ini gelaran lembik diberikan pada Tun Abdullah Badawi sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan pada 2009. Pak Lah juga banyak dikaitkan dengan kelemahan para penasihatnya yang mengakibatkan tsunami politik 2008.

Pernah seorang menteri dalam kabinet Pak Lah iaitu bekas Presiden Gerakan, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik menggesa agar semua penasihat Pak Lah dipecat ekoran kelemahan mereka sehingga BN hilang majoriti dua pertiga pada PRU12, 2008. Lim menyatakan pandanganya secara terbuka dalam media.

Nampaknya masalah yang dihadapi Pak Lah berjangkit pula pada Najib kali ini. Sehinggakan ada suara nakal mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan Najib sebagai Presiden Umno dan menjadi Perdana Menteri ke 7 !

Ini membayangkan betapa kecewanya mereka dengan tahap prestasi Najib sebagai pemimpin. Sudah terbukti selepas Dr Mahathir bersara pada 2003 pencapaian Umno dan kerajaan mulai merosot. Pak Lah dan Najib gagal meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang dirintis Dr Mahathir selama 22 tahun.

Dalam konteks politik pembangkang ia anggap sebagai "Mahathirisme". Ianya adalah sesuatu yang menakutkan pembangkang. Stail kepimpinan Dr Mahathir dikira zalim dan tertutup. Parti pembangkang tidak punya ruang seperti yang dinikmati semasa Pak Lah dan diteruskan Najib.

Kononnya kerajaan lebih terbuka dan demokratik di era Pak Lah dan Najib berbanding semasa Dr Mahathir. Akta ISA dan segala undang-undang yang dikira kejam dimansuhkan. Sekarang apa kesudahannya ? Parti pembangkang seperti ibarat beri betis nak buntut !

Justeru itulah para pendokong pro Umno mulai pertikai Najib yang kelihatan tidak tegas dan banyak gostan dalam menghadapi pembangkang dan para pengundi kaum Cina. Mereka mahu Najib lebih tegas dan berani mengambil langkah dan fokus pada Umno serta bangsa melayu yang telah memberi sokongan besar padanya di PRU13 lalu.

Mahathirisme adalah sesuatu yang menakutkan pembangkang jika ia berulang. Ia tidak menguntungkan politik pembangkang dan adalah satu malapetaka. Namun bagi para penyokong Umno terhakisnya Mahathirisme selama ini bermula sejak 2003, pimpinan Umno dan kerajaan ibarat seperti pondan.

Tetapi seperti yang disuarakan Dr Mahathir baru-baru ini, Umno tidak ada pilihan dan alternatif. Tidak nampak siapa calon selain Najib !


Sabtu, 9 Mac 2013

Najib bermain dengan masa

PEMIMPIN Pakatan Rakyat (PR) sudah semakin letih menunggu Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU 13 diadakan. Andaian dan ramalan ini telah bermula sejak awal 2011 sehinggalah kini.

Datuk Seri Najib Razak
Semua ramalan sebelum ini oleh para penganalisis politik tidak tepat dan tersasar. Kini ia sudah hampir rapat dengan tarikh tamatnya mandat kerajaan ini pada 28 April 2013. Kini kita sudah berada dalam bulan March.  Ertinya, bulan depan adalah yang terakhir tempoh Parlimen dibubar atau ia terbubar dengan sendirinya.

Dengan tempohnya semakin hampir kemungkinan besar Datuk Seri Najib akan membiarkan tempoh mandat itu berakhir dengan sendirinya. Ini akan membolehkan pihak SPR menjalankan proses pilihan raya pada Mei hingga Jun.

Pakatan Rakyat yang telah melancarkan manifestonya tidak mampu lagi menunggu lebih lama. Ia seolah mahu PRU 13 diadakan segera. PR merasakan ini adalah suasana terbaik untuknya mengambilalih pemerintahan negara dari Barisan Nasional (BN).

Semakin lama menunggu tarikh keramat itu semakin hilang momentum dan mood para pemimpin dan penyokong akar umbi. Ia seperti enjin yang sedang panas dan dalam keadaan siap sedia untuk memecut.

PR menganggap Najib takut membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya secepat mungkin. Namun Najib dilihat bermain dengan masa. Ia juga satu langkah politik. Langkah yang bertujuan memperkemas seluruh jentera parti dan memastikan segala program 1 Malaysia sampai terus pada rakyat dengan jaya.

Najib tentunya mahukan kemenangan majoriti dua pertiga dan bukan seperti ramalan Anwar bahawa PR akan menang dengan majoriti 10 kerusi bagi menubuhkan kerajaan pusat. Najib pasti tidak mahu sejarah 2008 yang menimpa Tun Abdullah Badawi berulang terhadapnya.

Pada PRU 12 2008, kerajaan Tun Abdullah hilang majoriti 2/3 dan seterusnya menerima tekanan dalam parti supaya berundur dan meletakkan jawatan. Sekiranya ini berulang apakah alasan Najib untuk terus kekal memimpin parti ?

Inilah perkara yang menjadi perhitungan Najib sebelum menghadapi PRU 13. Seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemenangan BN tanpa 2/3 tidak memberi makna.

BN belum lagi melancarkan manifestonya. Ini bermakna masih ada lagi beberapa kejutan yang mampu mempengaruhi mood dan selera para pengundi.

PR terus menunggu tarikh pembubaran. Dan Najib terus membiarkan semua pihak membuat andaian serta berteka-teki. Dia bermain dengan masa.