Selasa, 7 Jun 2011

Mat Sabu berkomentar tentang Anwar

SEMPENA meraikan kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, sayugia memetik sebahagian wawancara Ahmad Lutfi Othman dan Suria Janib dengan Haji Mohamad Sabu pada 14 Jun 1998, dalam majalah Tamadun, keluaran Julai, 1998.

Inilah sebahagian kecil kandungan wawancara tersebut :


Soalan : Sekiranya berlaku peralihan kuasa iaitu Anwar menggantikan Mahathir, agaknya bagaimana nasib PAS ?

Mat Sabu : Saya lebih bimbang dan berdoa secara peribadi biarlah Mahathir mengepalai pilihanraya akan datang kerana kalau Anwar naik menjadi PM, dia cukup pandai menggunakan agama. Minggu pertama dia menjadi PM, misalnya, Anwar berkhutbah di Masjid Negara akan disiarkan di seluruh negara. Lelaki pergi ke masjid sembahyang Jumaat dan wanitanya yang berada di rumah akan melihat bagaimana selepas merdeka, inilah Perdana Menteri yang pertama membaca khutbah tanpa teks pada minggu pertamanya menjadi PM. Sesungguhnya orang seperti Anwar begitu pandai dan licik menggunakan saluran agama dan pandai mengambil sentimen orang melayu berbanding Mahathir. Kita bukanlah takut tetapi kita tahu tahap pemikiran melayu setakat mana. Jadi secara peribadi saya berdoa agar Mahathir kekal mengepalai pilihanraya yang akan datang.

Soalan : Kata orang, berbanding Mahathir, Anwar dilihat jarang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperlekeh Islam ?

Mat Sabu :  Anwar memang lebih bijak berbanding Mahathir. Mahathir tidak reti menerangkan Islam tetapi Anwar lebih pandai. Misalnya, apabila menerangkan hukum hudud, Mahathir akan menolaknya secara total tetapi Anwar akan memberi alasan daripada Yusof al-Qardhawi, pandangan ulamak itu ini, soal awlawiyyat atau prioriti. Jadi penolakan Anwar lebih lunak ! Memang keduanya nyata menolak hudud tetapi Mahathir tidak bijak menyusun hujah.

Itulah secara ringkas isi kandungan wawancara tersebut yang teks asalnya sebanyak lima halaman penuh. Majalah Tamadun diusahakan dan diterbitkan oleh orang yang aktif dan berkepentingan dalam organisasi PAS. Segala soal jawab tersebut, terpulanglah kepada kita untuk menilainya dan terpenting menjadi bahan "renungan" bagi mereka yang minatnya mengikuti perkembangan politik semasa.

Kepada Timbalan Presiden PAS yang baru tentang pandangannya 13 tahun dahulu itu........alahai.....alahai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan