Sabtu, 25 Jun 2011

Antara Bersih dan kumpulan Baju Merah

PERHIMPUNAN Bersih yang dirancangkan pada 9 Julai ini mengingatkan kembali pergolakan politik yang berlaku di Thailand antara kumpulan baju merah dan baju kuning. Krisis ini mula berlaku pada 2009 hinggalah ke hari ini.

Baju merah yang dipimpin oleh pemimpin pembangkang, Jatuporn Promphan, merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra yang digulingkan pihak tentera.

Sejak Thaksin dijatuhkan puak baju merah telah berarak dan berdemonstrasi di jalan-jalanraya menuntut jawatan Thaksin sebagai Perdana Menteri dikembalikan. Sebahagian besar para penyokong baju merah terdiri dari golongan berpendapatan rendah datangnya dari kawasan luar bandar dan pendalaman.

Manakala puak baju kuning pula mewakili kelas atas dan pertengahan. Ia juga kelihatan disokong pihak tentera yang diketahui tidak sebulu dengan Thaksin.

Baju merah dan kuning sering berarak dan berdemonstrasi silih berganti di bandar-bandar besar termasuk kota Bangkok sejak 2009 hingga tahun lepas. Mereka berkhemah dan berkampung beramai-ramai di jalan-jalanraya membuat tuntutan masing-masing.

Baju merah menuntut agar diadakan pilihanraya semula dan mengembalikan demokrasi yang dianggap mereka telah dicabuli pihak tentera. Mereka juga menuntut pemimpin mereka Thaksin dibebaskan dari tuduhan rasuah.

Puak baju kuning pula berprotes agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap baju merah yang mereka anggap sebagai menggugat dan mengancam kestabilan dan keamanan Thailand.

Kedua kumpulan ini telah bertempur dan saling menyerang antara satu sama lain di kota Bangkok tahun lepas semasa mereka berarak dan berhimpun dalam menyuarakan tuntutan mereka. Banyak yang cedera dan terkorban. Bangkok lumpuh dan banyak harta awam musnah mengakibatkan kerugian berjuta dollar. Para peniaga dan penduduknya berada dalam ketakutan dan Bangkok diisytihar perintah berkurung. Selepas kejadian itu statistik kemasukan pelabur asing jatuh menjunam. Sektor pelancongan yang memberi pendapatan besar pada negara gajah putih itu terjejas teruk.

Dan tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Thai peristiwa bangsanya sanggup menyerang dan mencederakan sesama sendiri seperti apa yang berlaku antara baju merah dan kuning itu.

Kini Thailand berada di ambang pilihanraya umum yang dijangka diadakan pada Julai ini. Apakah kemelut dan krisis politik antara dua kumpulan ini dapat diatasi ?

Perdana Menteri Thai, Abhisit Vejjajiva, dari Parti Demokrat kini menurut bancian agak ketinggalan dari Parti Puea Thai yang di ketuai Yingluck Shinawatra. Yingluck adalah adik kepada Thaksin yang kini berada dalam buangan di Dubai.

Menurut agensi berita asing, pihak tentera kini sedang memerhati perkembangan ini dengan teliti. Mereka khuatir jika Yingluck yang mendapat sokongan dari baju merah menang dan menjadi Perdana Menteri, Thaksin akan kembali dan diampunkan. Pihak tentera tidak senang dengan perkembangan ini.

Apakah tentera akan masuk campur sekali lagi sebagaimana yang berlaku terhadap Thaksin ? Bagaimanapun, seorang pemimpin tinggi tentera Thai baru-baru ini telah pun memberi amaran seluruh rakyat Thai agar bijak memilih kerajaan bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara dipertahankan.

Semoga peristiwa pertembungan antara baju merah dan kuning yang mengakibatkan kematian sesama bangsa tidak akan berlaku di negara kita. Ia perlu dijadikan ikhtibar dan teladan. Berhimpun dan berarak beramai-ramai boleh mencetus emosi dan membangkit semangat serta sensitiviti yang sukar dikawal jika tidak berhati-hati.

Wakil-wakil NGO, parti pembangkang, Perkasa malah Pemuda UMNO telah pun menyuarakan akan menghadiri perhimpunan Bersih ini pada 9 Julai. Pihak polis dan keselamatan perlu waspada dan berhati-hati. Ibarat pepatah, "api kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan." Harap api yang bernyala itu tidak menjadi besar dan melarat.

- Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 1-7 Julai 2011.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan