Memaparkan catatan dengan label Tun Musa Hitam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tun Musa Hitam. Papar semua catatan

Isnin, 8 April 2013

Antara Tun Musa Hitam dan Datuk Zaid Ibrahim

TUN Musa Hitam dan Datuk Zaid Ibrahim adalah antara personaliti yang berpengaruh dan berada di sisi Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Tun Musa boleh dianggap sebagai Penasihat tidak rasmi pada Pak Lah. Datuk Zaid pula dipilih dan dilantik secara payung terjun menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi melakukan perubahan dalam bidang perundangan dan kehakiman negara.
Tun Musa....kempen iklan pembangkang

Secara kebetulan atau tidak, Tun Musa dan Datuk Zaid merupakan dua tokoh yang memang tidak sehaluan dengan bekas PM Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tun Musa sehingga hari ini seolah menyimpan buku lama hubungannya dengan Dr. Mahathir yang menyebabkannya menjadi Timbalan Perdana Menteri yang tidak jadi Perdana Menteri.

Datuk Zaid pula walaupun ketika itu Menteri Kabinet Umno, namun segala langkah dan tindakannya seperti memenuhi aspirasi dan agenda Majlis Peguam yang lebih memihak parti DAP.

Sekiranya dikaji selidik faktor kejatuhan Pak Lah dan tsunami politik yang dihadapi Umno dan BN pada PRU 12, 2008 ia akan menjadi senarai yang panjang. Namun ia tidak boleh kesampingkan faktor sekitar dua tokoh ini yang membayangi Pak Lah. Tambah lagi Pak Lah suka mengantuk dan tidur.

Tun Musa dalam satu forum Dialog bulan lepas ada memberi pandangan bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah, negara tidak akan bangkrap. Zaid pula dalam satu kenyataan kelmarin menyeru rakyat memberi peluang Pakatan Rakyat memerintah dalam PRU 13 ini.

Tun Musa masih ahli Umno. Beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan berasal negeri Johor. Kini Pakatan Rakyat sedang menggempur negeri Johor untuk menawannya dalam pilihan raya ini. Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub akan bertanding di situ.

Setakat ini belum kelihatan dan kedengaran Tun Musa kembali ke negerinya untuk berkempen mempertahankan Umno dan BN. Tetapi Tun Dr. Mahathir telah pun mengadakan ceramah di Johor baru-baru ini bagi melawan dakyah Pas dan DAP.
Datuk Zaid Ibrahim

Sudah tentu rakyat ahli Umno Johor berbesar hati jika Tun Musa turut serta turun berkempen mendokong Umno dan BN. Dr. Mahathir berkata dia berkempen sebagai membalas budi Umno dan kerajaan yang telah meletakan dirinya seperti yang ada sekarang.

Tidak seperti Datuk Zaid, dia bukan lagi ahli Umno. Selepas dipecat dia menyertai PKR. Kemudian Zaid keluar dari PKR kerana tidak berpuas hati dengan cara pengundian ketika dia menentang Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Setelah Zaid keluar dari PKR dia menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA). Dalam KITA dia buat masalah lagi sehingga dia keluar dan kini tanpa parti dan hanya menumpukan bidang perniagaannya.

Kini semua ahli Umno terutama orang Johor sedang menanti langkah Tun Musa. Apakah beliau akan mengambil sikap berdiam diri dan membisu dalam pilihan raya kali ini. Atau bagi Tun Musa sudah memadai dengan kenyataannya baru-baru ini bahawa negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Mungkin Tun Musa mahu orang ramai terus membaca maksud kenyataannya itu dalam berbagai segi. Kini pun kenyataannya itu telah dijadikan papan iklan besar bersama gambarnya sebagai bahan kempen pembangkang, khasnya di Pulau Pinang.

Tun Musa seharusnya menunjukkan semangat Umno yang tulen dan bukannya seperti belut sukar dipegang licin. Atau memang dia sedang merancang untuk buat kejutan menjelang hari pengundian ? Kalau dia terus membisu dengan tidak bersuara secara terbuka menyokong sebelah sini atau sebelah sana, maka orang akan bertanya; apakah beliau masih sayangkan Umno lagi ?


Jumaat, 15 Mac 2013

Tun Musa Hitam dan politik kura-kura

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam memang diketahui umum tidak sehaluan dalam banyak perkara dengan bekas ketuanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tun Musa adalah TPM dari 1981 hingga 1986. Beliau meletakkan jawatannya sebagai TPM disebabkan perselisehan pendapat dengan Dr. Mahathir.

Tun Musa Hitam
Walaupun kini Tun Musa telah pun bersara dari dunia politik namun jelas kelihatan kedua tokoh ini masih belum 'ngam' dan mempunyai banyak perbezaan pendapat dalam isu-isu tertentu.

Ketika di era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa dilihat lebih menonjol dan dianggap sebagai penasihat tidak rasmi pada Tun Abdullah. Bila berlaku pertentangan hebat antara Tun Abdullah dan Dr. Mahathir, Tun Musa berada dibelakang Tun Abdullah.

Apabila Dr. Mahathir mengambil langkah keluar dari Umno sebagai protes terhadap kepimpinan Pak Lah, Tun Musa telah membuat satu kenyataan bahawa 'sudah terkeluar duri dalam daging' sebagai sindiran terhadap langkah Dr. Mahathir itu. Kenyataan tersebut telah memberi reaksi kurang senang sebahagian besar ahli Umno.

Dr. Mahathir sendiri tidak membisu malah membidas Tun Musa sebagai orang yang mempengaruhi Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden parti sehingga membawa pada perpecahan Umno.

Ironinya, selepas Tun Musa keluar dari kerajaan, Dr. Mahathir adalah orang yang menghantarnya menjadi Wakil Khas Negara di PBB. Dan kemudian sekembalinya ke negara, Dr. Mahathir sekali lagi melantiknya menjadi Pengerusi pertama SUHAKAM. Menurut Tun Musa sendiri penubuhan Suhakam itu adalah dari cadangannya kepada Dr. Mahathir yang bersetuju menubuhkannya.

Bagi ramai penganalisis dan pengamat politik tanahair mengira Tun Musa adalah seorang politikus pintar dan licin. Langkah dan tutur katanya cermat dan penuh muslihat. Majalah antarabangsa TIME pernah meramalkan bahawa beliau adalah salah seorang pemimpin berpotensi untuk memimpin negara ini.

Tetapi ketika Umno berpecah dua antara tim A dan B dan seterusnya tertubuhnya parti serpihan Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh, ketokohan dan karisma Tun Musa telah diuji. Jelaslah dalam situasi ketika itu ketegasan dan pendirian Tun Musa telah mencalar kewibawaannya.

Gambar hiasan
Tun Musa adalah sebahagian dari tim B menentang Dr. Mahathir tetapi beliau tidak menyertai parti serpihan Semangat 46. Ini menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan penyokong dan pemimpin tim B. Sehingga ada yang menggelarnya sebagai mengamal politik kura-kura. Apakah yang dimaksudkan dengan politik kura-kura itu ?

Ertinya, seorang ahli politik yang berani bersuara ketika ia memberi keuntungan padanya. Dan akan berdiam diri jika ia tidak akan menyebelahinya. Seperti kura-kura yang akan mengeluarkan kepalanya dan akan memasukkan kembali untuk menyelamatkannya dari marabahaya. Begitulah gelaran yang diberikan pada Tun Musa ketika itu lantaran sikapnya yang berdolak-dalik untuk bersama Tengku Razaleigh.

Dalam beberapa hari yang lalu Tun Musa telah membuat kenyataan menarik tentang politik tanahair dalam satu sesi dialog, Bicara Minda Survival Ekonomi Melayu anjuran Kumpulan Media Karangkraf. Tun Musa telah menyentuh banyak perkara tentang sikap orang melayu, ekonomi, isu di Lahad Datu dan pilihanraya.

Salah satu pandangannya yang menarik dan mengejutkan banyak pihak ialah tentang negara ini tidak akan bangkrap sekiranya diperintah oleh parti pembangkang, Pakatan Rakyat. Pandangan Tun Musa ini tidak ada silapnya kerana kita mengamalkan demokrasi dan sesiapa saja berhak memberi pandangan.

Namun dalam konteks politik Tun Musa; apakah ini juga yang dimaksudkan dengan politik kura-kura itu ?




Rabu, 13 Julai 2011

Tun Musa Hitam tinggalkan Sime Darby


BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, diberitakan telah menghantar notis ingin berhenti dari jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby hujung tahun ini. Jawatannya sebagai Pengerusi akan berakhir November ini. Sime Darby adalah sebuah konglemerat terbesar negara. Ia kecoh sekejap baru-baru ini lantaran berlakunya kelemahan pengurusan mengakibatkan kerugian dalam jumalah yang besar. Sebagai Pengerusi, banyak pihak telah memberi tekanan pada Tun Musa agar dia meletakkan jawatan ekoran terdedahnya kerugian tersebut.

Namun setelah diadakan siasatan didapati ada berlaku "salah urus" di kalangan para pengurusan dan kes ini telah pun dibawa ke mahkamah. Notis Tun Musa untuk berhenti itu akan dipertimbangkan oleh lembaga pengarah, sama ada akan diterima atau ditolak akhir tahun ini. Sekiranya mereka menolak hasrat Tun Musa, kemungkinan beliau akan meneruskan jawatan tersebut sebagai Pengerusinya.

Tun Musa Hitam telah lama bersara dari politik yang beliau ceburinya sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Pada satu masa beliau kelihatan mempunyai potensi besar sebagai pengganti Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri. Barangkali rezekinya tiada dia hanya bertahan selama tiga tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri lalu meletakkan jawatan ekoran tidak bersefahaman dengan Dr.M.

Selepas dia letak jawatan, dia cuba "come back" dengan bergabung dengan Tengku Razaleigh melawan team Dr. M, tetapi gagal. Setelah berlakunya perebutan dan persaingan tersebut dalam parti, maka UMNO telah berpecah menjadi dua kumpulan; team A dan B. Sehinggalah masalah parti berlarutan sehingga UMNO diharamkan. Sebenarnya, Tun Musa mempunyai sahamnya sendiri dalam peranannya yang mengakibatkan UMNO diharamkan.

Beliaulah orang yang memainkan peranan penting mempengaruhi Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden UMNO sedangkan pada masa itu beliaulah yang mempunyai masalah dengan Dr. M bukannya Tengku Razaleigh. Semua orang tahu strategi Tun Musa ialah bersifat pisau mata dua belah. Pertama, dia ingin diskreditkan Dr. M sebagai Presiden parti. Kedua, dia tahu Tengku Razaleigh tidak akan menang melawan Dr. M.

Strategi beliau berjaya, cuma yang silapnya ialah beliau tewas di tangan Tun Ghaffar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Sekiranya dia menang menewaskan Tun Ghaffar, sudah tentu senario politik UMNO mengalami perubahan besar dan suasananya tidaklah seperti hari ini.

Bagaimanapun, semuanya telah menjadi sejarah dan Tun Musa Hitam akan tetap dikenang sebagai antara pemimpin UMNO yang banyak berjasa pada parti dan negara sepanjang beliau berkhidmat dalam kerajaan sejak dari zaman Tunku sehingga era Tun Dr. Mahathir.

Tun Musa Hitam pernah diramalkan oleh majalah TIMES sebagai salah seorang ahli politik yang pintar dan mempunyai potensi menjadi pemimpin negara. Tetapi takdir dan rezekinya setakat jadi orang nombor dua itulah.
--------------------------------------------------------------------

 .