Isnin, 2 November 2026
Ahad, 1 November 2026
Kursus Penulisan
Pada tahun 1979 selesai sahaja peperiksaan MCE di Maktab Sultan Ismail, saya
merancang mengisi masa melakukan sesuatu yang berguna selama tempoh tiga bulan sebelum keputusan peperiksaan diumumkan. Ketika itu minat dalam bidang penulisan sudah ada dalam kepala. Cuma tidak jelas ke mana dan bagaimana saya perlu tuju dalam usaha memperkembangkannya.
Sehinggalah satu hari saya melihat satu iklan dalam akhbar Berita Minggu. Iklan tersebut adalah dari sebuah agensi bernama Sistem Intermedia, Kuala Lumpur. Ia menerangkan bahawa agensinya menawarkan berbagai kursus penulisan secara gaya pos. Sesiapa berminat boleh memohon secara percuma untuk mendapatkan prospektus atau risalah keterangan lanjut mengenai semua kursus yang ditawarkan.
Saya tidak buang masa terus memohon bagi mendapatkan prospektus tersebut.
Lebih kurang seminggu saya menerima prospektus dari Sistem Intermedia. Betapa gembiranya saya setelah membaca secara teliti keseluruhan prospektus tersebut yang telah menjawab semua persoalan yang bermain dalam kepala saya tentang bidang penulisan yang saya minati itu.
Sistem Intermedia menawarkan kursus-kursus penulisan seperti berikut;
1- Kursus Penulisan Berita dan Rencana
2- Kursus Penulisan Berkesan
3- Kursus Penulisan Puisi
4- Kursus Penulisan Drama Radio
5- Kursus Penulisan Drama TV
6- Kursus Penulisan Cerpen
Selain semua tawaran kursus tersebut agensi itu juga menawarkan perkhidmatan seperti berikut;
1- Perundingan Penerbitan
2- Perkhidmatan Penyuntingan
3- Penterjemahan
4- Penulisan Copy ( Copywriting)
5- Penerbitan Buku dan Majalah
Siapa pula yang mengendalikan semua kursus tersebut ? Bila saya baca dan mendapati mereka yang menulis nota-nota kuliah kursus terdiri daripada mereka yang ahli dan pakar dalam bidang masing-masing - saya bertambah yakin dan tidak ragu-ragu lagi untuk mendaftar menyertai kursus yang ditawarkan itu.
Para penyusun kursus seperti berikut:
Kursus 1, 2, 3 dan 4 di kendalikan oleh Mansor Ahmad Saman, pensyarah Komunikasi dan Kewartawanan di Universiti Sains Malaysia. Beliau berkelulusan M.A (International Comunication), University Of Minnesota, Amerika Syarikat ; B.A (Hons) Universiti Sains Malaysia.
Mansor Ahmad Saman adalah seorang kolumnis akhbar Inggeris The Malay Mail, Sunday Mail, Utusan Zaman, Widya, Dewan Masyarakat dan lain-lain lagi. Mansor juga seorang pemenang Hadiah Karya Sastera, 1976 melalui karya puisinya.
Kursus Penulisan Cerpen di susun oleh novelis Abdullah Hussain yang kemudiannya dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara ke 8 pada tahun 1996.
Dan yang akhir Kursus Penulisan Drama TV di susun oleh Zakaria M.Z. Beliau berkelulusan B.A. Hons dalam bidang Komunikasi Massa, Universiti Sains Malaysia. Zakaria banyak menghasilkan drama-drama yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya. Beliau juga menghasilkan drama TV dalam tahun 1969. Antara drama TV yang disiarkan seperti Dagang Perantau, Neraka Hijau, Anak Tatangan dan banyak lagi.
Kesimpulannya, ketiga penyusun kursus tersebut merupakan ahli dan pakar dalam bidang masing-masing.
Kos satu kursus ialah sebanyak rm 80 termasuk pendaftaran. Sekiranya peserta memilih untuk membuat bayaran secara ansuran sebanyak 3x ia berjumlah RM 100. Jadi sesiapa yang bayar tunai RM 80 ia jimat RM 20.
Nota-nota kuliah akan dihantar secara pos seminggu sekali. Contohnya; Kursus Penulisan Berita dan Rencana mempunyai 13 tajuk kursus. Peserta akan menerima nota kuliah satu kali seminggu selama 13 minggu sehingga tamat. Bagi yang membayar secara ansuran, nota kuliah akan dihantar setakat jumlah yang telah dibayar.
Semasa kursus ia tiada ujian. Dan agensi tidak mengeluarkan sijil. Cuma selepas kursus tamat peserta boleh menghantar setiap tulisan untuk disemak dan di beri komentar oleh para pemeriksa. Sekiranya tidak silap saya setiap tulisan yang dikirim untuk disemak dan diperiksa dikenakan bayaran RM 15.
Saya masih ingat tulisan saya itu disemak dan diperiksa oleh seorang penyair terkenal awal 70an - Jihaty Abadi. Di kertas tulisan saya itu penuh dengan pen dakwat merah diconteng sana sini. Dan di bawah sekali tertulis namanya. Baru kini saya terfikir Sistem Intermedia ini bagaikan satu konsortium berhimpun semuanya para penulis, penyair dan novelis hebat-hebat belaka bagi menawarkan diri membantu masyarakat yang mempunyai minat dan kecenderungan yang tinggi dalam bidang penulisan.
Saya mengikuti Kursus Penulisan Berita dan Rencana dan Kursus Penulisan Berkesan. Kemudian selang beberapa lama saya mendaftar pula dalam Kursus Penulisan Puisi. Namun saya tidak ada bakat dalam penulisan puisi. Sehingga sekarang belum berhasil satu pun karya puisi atau sajak !
Kini sudah hampir 46 tahun berlalu, semua nota-nota kuliah tersebut masih berada dalam keadaan baik dan disimpan rapi. Dibawah setiap helaian kertas kuliah tersebut tercetak '' Hak Cipta Dilindungi Undang-Undang. Di Larang Di Salin Di Edar Atau Di Sebar luaskan" Hmm...
Saya tanya Geogle Map dan AI tentang status Sistem Intermedia terkini. Depa jawab ia sudah tidak wujud lagi.
Langgan:
Catatan (Atom)
.jpeg)
