DENGAN perkembangan terbaru dalam parti PAS dan segala kenyataan yang dikeluarkan barisan pemimpin yang terpilih serta ucapan dasar Presiden, adakah parti itu sedang menuju landasan yang betul bagi mengganti UMNO sebagai parti orang melayu dan Islam di negara ini ?
PAS percaya ia boleh menjadi parti alternatif pada UMNO melalui kerjasamanya dengan DAP dan PKR. Analisis keputusan pilihanraya kecil yang sebanyak 16 kali - 8 dimenangi pembangkang dan 8 dimenangi Barisan Nasional.- menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya menarik pengundi-pengundi Cina menyokongnya. Manakala pengundi melayu masih lagi berpihak pada Barisan Nasional. Begitu juga keputusan pilihanraya di Sarawak yang lalu menunjukkan trend yang sama.
Sekiranya PAS ingin mengetuai Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU 13 nanti ia perlulah menarik lebih ramai pengundi melayu meninggalkan UMNO.
Tetapi ucapan Presiden PAS baru-baru ini yang mahu memperjuangkan negara kebajikan sebagai ganti pada negara Islam yang menjadi perjuangannya selama ini menarik perhatian. Mengapakah PAS berubah posisi dari negara Islam ke negara kebajikan pula ?
Apakah PAS terpaksa kompromi dan bertolak ansur dengan rakan mereka DAP dan PKR ?
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, telah menyatakan PAS mesti berusaha menawan hati dan pemikiran rakyat, lebih-lebih lagi orang melayu, untuk menggantikan UMNO.
Tetapi dengan pendirian PAS yang terbaru ini boleh menimbulkan keraguan dikalangan orang melayu dengan sikap PAS yang berubah-ubah. Ini ditambah lagi dengan pendirian Tok Guru Nik Aziz yang menolak ketuanan melayu dan melayu sebagai satu bangsa dalam politik negara ini.
Isu-isu seperti ini tidak akan membawa PAS ke mana. Malah ia akan memberi kelebihan pada UMNO sebagai political mileage padanya. Majoriti orang melayu masih tidak jelas dan sangsi dengan pendirian PAS tentang negara Islam dan sikapnya tentang bangsa melayu sebagai peribumi.
Orang-orang melayu sudah tentu tidak akan "bereksperimen" dan mengambil sikap "mencuba-cuba" tentang masa depan mereka. PAS seharusnya membuktikan dan menjelaskan peranan yang akan dipikulnya bila mereka ke Putrajaya kelak.
Apa yang menakutkan sokongan terhadap PAS akan membawa rebah. DAP dan PKR pula bermaharajalela dan mengaut keuntungan dari percaturan politik Pakatan Rakyat.
PAS adalah parti tertua dan senior dalam Pakatan Rakyat. Dan ini perlu diterjemahkan dalam segala tindakan dan agenda parti pembangkang. PAS tidak harus mengekori, ia mesti menguasai dan mengepalai Pakatan Rakyat.
Namun, suasana sekarang adalah sebaliknya. Sekira keadaan ini berterusan harapan PAS untuk mengganti UMNO bagaikan bermimpi di siang hari, apatah lagi menawan Putrajaya.
- Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 10 - 16 Jun 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan