Memaparkan catatan dengan label Najib Razak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Najib Razak. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Februari 2013

Antara Najib dan Anwar

POLITIK adalah satu seni yang serba mungkin. Dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada sahabat yang abadi.

Najib(kiri) Anwar(tengah) dan Tamrin(kanan sekali) meraikan Ketua Pemuda
Begitulah jika dikaitkan dengan dua tokoh yang akan bertarung dalam PRU ke-13 yang diibarat sudah berada dicelah kerongkong dan dianggap sebagai ibu segala pilihan raya. Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang.

Pada 9 September 1982, Anwar Ibrahim berjaya menewaskan Datuk Hj.Suhaimi Kamarudin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno dengan majoriti 10 undi. Ketika itu Najib adalah penyandang jawatan Naib Ketua Pemuda.

Peringkat awalnya Najib kelihatan kurang selesa mempunyai ketua baru. Namun dia telah menunjukkan kematangannya dengan memberi sokongan dan kerjasama penuh pada Anwar yang dikira orang baru dalam Umno.

Hubungan keduanya terus mantap dan kukuh sehingga menjadi harapan ahli parti dan rakyat sebagai pemimpin muda masa hadapan. Anwar dan Najib telah memperlihatkan persahabatan dan keserasian mereka dalam pimpinan parti. Tiada klu-klek dan curiga mencurigai antara mereka.

Anwar dan Najib...politik teh tarik
Apabila Anwar melepaskan jawatan Ketua Pemuda dan menyerahkan tugas itu pada Najib; proses peralihan itu berlaku dalam suasana ceria dan harmonis. Najib sebagai Ketua Pemuda pula mengisytiharkan sokongan terbuka hasrat Anwar bertanding jawatan Naib Presiden.

Setelah Anwar menang salah satu kerusi dari tiga Naib Presiden dan Najib sebagai Ketua Pemuda, ikatan dan kerjasama antara mereka bertambah erat. Dan ini terus berlanjutan sehingga Anwar berjaya naik satu lagi anak tangga menjadi Timbalan Presiden. Dalam masa yang sama Najib juga naik lagi satu tangga menjadi salah seorang Naib Presiden.

Berdasarkan urutan peristiwa itu dari sejak Anwar menyertai Umno pada 1982 sehingga menjadi orang nombor dua parti, Najib berada di bawah satu anak tangga belakang Anwar dalam hieraki parti.

Kini Najib sebagai Perdana Menteri berada di kedudukan lebih atas dari Anwar. Mereka akan bertembung mengepalai kabilah mereka masing-masing bagi menentukan untuk kesekian kalinya siapa yang akan berada di atas dalam masa 60 hari terakhir ini.

Apakah Najib akan meneruskan kesinambungan dan tradisi kepimpinan negara sejak 55 tahun merdeka itu dan Umno sebagai tunjangnya ? Atau adakah Anwar berjaya memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri  dan membawa satu era baru dalam sejarah politik negara ?

Hanya rakyat yang dapat menentukan hala tuju negara dan nasib masa depan dua tokoh yang masing-masing punya kelebihan dan kekurangan.


Ahad, 2 Disember 2012

Najib buktikan kepimpinannya

UMNO kembali pulih dan kuat

SELESAI sudah Perhimpunan Agung Umno 2012 yang penuh bersemangat dan yang terakhir sebelum menghadapi PRU 13 pada bila-bila masa dari sekarang sehingga April 2013.

PRU kali ini adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan masa depan Umno dan hala tuju negara. Selepas PRU 12 pada 2008 yang menyaksikan prestasi paling buruk Umno dan Barisan Nasional(BN) sejak merdeka dengan hilang majoriti dua pertiga serta empat buah negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Dalam suasana buruk dan lemah itulah Datuk Seri Najib Razak mengambilalih pimpinan Umno dan negara dari Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa berundur akibat tekanan dalam dan luar parti ekoran prestasi buruk Umno dan BN pada 2008.

Najib mengambilalih pucuk pimpinan dalam keadaan segalanya rosak dan punah hasil corak pimpinan Tun Abdullah yang boleh dianggap sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri paling lemah. Najib kurang bernasib baik berbanding dengan pemimpin terdahulu darinya kerana dia memikul dan menerima sebuah kerajaan lemah dan bermasalah.

Tidak seperti Tun Abdullah Badawi yang diserahkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebuah parti dan kerajaan dalam keadaan kukuh dan kuat. Dan boleh dikatakan hampir tidak menghadapi banyak masalah atau isu besar yang perlu ditangani. Pak Lah hanya perlu meneruskan kesinambungan apa yang telah di rintis Dr. Mahathir.

Namun Pak Lah gagal. Dia ingin cuba stail lebih terbuka di bawah pimpinannya tetapi dia gagal mengawalnya sehingga memberi padah pada dirinya malah pada Umno dan BN. Justeru itu tempohnya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri tidak lama.

Begitu juga dengan Dr. Mahathir sendiri bila dia mengambilalih dari Tun Hussein Onn pada 1981, parti dan negara berada di dalam keadaan baik dan tersusun. Jadi mudahlah dia meneruskan kepimpinan sehingga membawa berbagai kejayaan sepanjang 22 tahun kepimpinannya.

Tetapi keadaan sedemikian tidak berlaku pada Najib. Najib menerima jawatan PM dari Pak Lah dalam suasana yang teruk dan rosak. Selepas PRU 12, 2008 Umno rosak teruk dan imej BN hancur. Semuanya kesan dari kelemahan pentadbiran sebelum Najib.

Dalam konteks ini bukan satu tugas mudah bagi seorang pemimpin dalam membaikpulih dan mengembalikan semula kekuatan parti dan ahli pada keadaan asalnya. Ia memerlukan kualiti dan sesuatu yang luar biasa bagi mencapai matlamatnya.

Hampir tiga tahun mengalas pimpinan parti dan negara, Najib telah buktikan pada semua keberkesanan stail kepimpinannya. Dengan segala pelan transformasinya yang sampai pada denyut dan nadi rakyat ia juga telah berjaya memulihkan semula kekuatan Umno dan BN yang tercalar pada 2008.

Dari riak Perhimpunan Umno 2012 yang baru selesai jelas Umno dan BN sudah siap sedia bagi menghadapi PRU 13. Semangat dan moral para ahli parti begitu tinggi bagi menebus kembali cerita duka pada 2008. Semua ini adalah hasil kecekapan Najib mengurus dan mentadbir dengan baik yang dibantu Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib mampu dan layak meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri, apatah lagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak begitu ghairah menjadi PM. Dia lebih suka jadi nelayan. Mahu menangkap ikan katanya. Anwar Ibrahim pula tidak layak menjadi PM kerana masih diselubungi masalah akhlak dan peribadi.

Isnin, 19 Disember 2011

Najib lebih bersedia

TAN SRI ABDULLAH AHMAD menulis dalam kolumnya, Sinar Harian, beberapa minggu lalu memberi pandangan bahawa Datuk Seri
Najib Razak lebih bersedia menghadapi PRU 13 berbanding Pak Lah
Badawi semasa bekas PM itu mengetuai kerajaan melalui PRU 12 pada
2008.

Menurutnya, sepandir-pandir Pak Lah, BN mampu menang dan menubuhkan kerajaan, walaupun kehilangan majoriti dua pertiga. Inikan
Najib setelah mengambilalih menerajui negara telah berjaya melakukan
perubahan dan pemulihan pada parti dan negara.

Ternyata Najib lebih popular dan lebih berkesan berbanding semasa
kepimpinan Pak Lah. Kekalahan teruk BN pada 2008 merupakan satu
sejarah dan tidak pernah berlaku sejak zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah ke era Dr. Mahathir Mohamad.

Kelemahan Pak Lah ialah beliau merasakan beliau popular sedangkan ramai pemimpin komponen dan ahli parti mulai bosan dan muak dengan stail kepimpinan beliau. Sebagai pemimpin Pak Lah telah menerima isyarat dan mesej yang salah dari akar umbi.

Walaupun keputusan PRU 12 pada 2008 memberi tamparan pada BN dan UMNO khususnya, namun Pak Lah masih berhasrat meneruskan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Dia seolah
memekakkan telinganya dengan isyarat rakyat pada PRU 2008.

Dalam pilihanraya tersebut terdapat lebih 300 ribu undi rosak - undi protes dari kalangan ahli parti sendiri dan kebanyakannya telah mengundi parti pembangkang. Jumlah undi rosak adalah besar dan mengejutkan.

Justeru itu mantan Presiden parti, Dr. Mahathir dengan sokongan Tan Sri Mahyuddin Yassin telah memulakan langkah memberi tekanan agar Pak Lah mengundur diri bagi menyelamatkan UMNO dan BN yang telah terjejas teruk.

Keputusan Dr. Mahathir keluar dari UMNO telah memberi kesan dan impak yang besar terhadap kepimpinan Pak Lah keseluruhannya. Akhirnya beliau terpaksa akur dan memberi laluan pada Najib.

Seterusnya tugas Najib bukan mudah kerana banyak kerosakkan telah berlaku dalam UMNO dan BN.
Namun setakat ini beliau telah berjaya dalam proses pemulihannya. Seperti kata Tan Sri Abdullah Ahmad, Najib lebih bersedia menghadapi PRU 13 yang semakin hampir berbanding semasa Pak Lah
pada 2008.

Sabtu, 3 Disember 2011

Najib: Saya sudah bersumpah lima kali


PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan
penutupnya di Perhimpunan parti itu menegaskan bahawa beliau telah
bersumpah sebanyak lima kali di luar dan dalam masjid terhadap segala
tuduhan dan fitnah terhadapnya adalah tidak benar belaka.

Dengan nada sinis beliau bertanya kepada para perwakilan, berapakalikah Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah bagi
membuktikan bahawa segala tuduhan terhadap beliau adalah fitnah
dan konspirasi.

Najib dengan tegas menyatakan, Anwar bukan sahaja tidak sanggup
bersumpah di luar dan dalam masjid, malah dia juga tidak mahu bersumpah di mahkamah.

Cabaran Najib terhadap Anwar ini adalah sesuatu yang cukup mudah.
Namun yang pasti Anwar tidak akan berani menyahut cabaran ini.
Seperti biasa Anwar akan memberi berbagai alasan dengan tidak mahu
bersumpah bagi membuktikan bahawa segala tuduhan terhadapnya adalah satu fitnah.

Bekas Mufti Perlis, Dr.MAZA pernah meminta pada Anwar agar melakukan sumpah bagi mengelakkan
kekeliruan masyarakat terhadap peribadinya. Ia perlu dilakukan kerana beliau dituduh.

Apa pun Najib telah lakukannya. Dia buktikan dia berani dan tidak ada apa yang hendak disembunyikan.