Memaparkan catatan dengan label Libya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Libya. Papar semua catatan

Khamis, 5 Januari 2012

Libya tanpa angkatan tentera

SETELAH regim Gaddafi tumbang Libya kini menghadapi masalah puak-puak milita yang berjuang di medan perang enggan menyerahkan senjata yang dimiliki pada pihak berkuasa. Pihak NTC atau Majlis Peralihan Kebangsaan telah berulangkali meminta agar mereka yang bersenjata dan terlibat secara langsung dalam peperangan lalu menyerahdiri dan diserapkan menjadi anggota tentera negara itu.

Libya kini menjadi sebuah negara tanpa anggota tentera. NTC mempunyai tugas berat dalam menyusun semula anggota keselamatannya. Masalah menjadi lebih rumit dengan berlakunya persengketaan antara kumpulan yang berjuang dalam beberapa puak. Mereka saling berbunuhan sesama mereka terutamanya di Tripoli dan Misrata.

Oleh kerana tiadanya anggota keselamatan seperti polis dan tentera yang sempurna, kumpulan pejuang ini telah melakukan sendiri kawalan keselamatan dijalan-jalanraya dan seluruh bandar. Mereka berpakaian biasa dan lengkap bersenjata.

Kelmarin pihak NTC telah mengambil langkah dengan melantik bekas general bersara Youseff Manggoush sebagai Panglima Tentera bagi menyusun semula angkatan tentera Libya. Youseff adalah antara pegawai tentera yang berperang menentang Gaddafi.

Tugas Youseff dan NTC bukan mudah dan akan mengambil masa bagi membina semula angkatan tentera dan seluruh institusi keselamatannya yang lumpuh akibat perang. Ia akan menjadi bertambah rumit dengan sikap para pejuang yang terdiri beberapa puak terus berdegil enggan menyerahkan senjata mereka.

Pilihanraya masih jauh lagi kerana deraf perlembagaan masih dalam perbincangan. Kini NTC sedang merangka undang-undang bagi melantik wakil-wakil bagi mewakili kepentingan rakyat. Proses membangun Libya masih penuh dengan ranjau dan berduri.

Apa yang membimbangkan ialah meletusnya perang saudara sekiranya pihak berkuasa gagal menangani masalah puak-puak yang masih bersengketa dan bersenjata.


Selasa, 25 Oktober 2011

Masa depan Libya



PEMIMPIN kerajaan sementara Libya, Mustafa Abdel Jalil, menegaskan
bahawa Libya akan menjadi sebuah kerajaan Islam yang moderat. Beliau
menolak kemungkinan Libya mengambil pendirian melampau atau ektremis
agama dalam menentukan hala tuju Libya yang baru.

Setelah era Muammar Gaddafi berakhir selama 42 tahun kini Libya
menghadapi tugas dan cabaran amat besar bagi membangun kembali
negara dan menyatupadukan rakyat.

Apakah selepas ini Libya akan terus membangun dan aman ? Atau ianya
akan terus bergolak diantara puak-puak tertentu yang bersengketa seperti
mana berlaku di Afghanistan dan Iraq ?

Kalaulah Libya mengalami nasib yang sama dikedua negara Islam tersebut
maka sahlah campurtangan kuasa asing dalam usaha menjatuhkan rejim kuku
besi yang sedia ada tidak menjamin keamanan dan kemakmuran negara tersebut.

Seorang ahli Parlimen British dalam satu wawancara dengan agensi berita
baru-baru ini berkata bahawa bantuan dan peranan NATO dalam membantu
puak pemberontak Libya di dalam keadaan negara-negara barat sedang menghadapi
krisis ekonomi yang tenat harus "dibayar" balik segala kosnya - melalui perkongsian
kos ketenteraan secara bersama.

Menurutnya, kalau NATO sanggup membantu dalam keadaan ekonomi anggotanya
tenat, maka rakyat Libya tentunya boleh berkorban dengan "memberi balik" dalam
bentuk pemberian hasil minyak dan sebagainya.

Jika ini pendirian rasmi pakatan NATO maka apa sahaja kerajaan yang dibantunya
dimasa hadapan berdepan dengan risiko yang besar. Kerajaan yang akan ditubuhkan
di Libya nanti tidak boleh berkiblat selain dari barat atau NATO.

Sekiranya, kerajaan baru Libya mengambil pendekatan berkonfrontasi dengan
barat sebagaimana Iran, tidak mustahil Libya akan kembali bergolak dengan
pelbagai masalah yang akan ditimbulkan.

Kini soal isu siapa yang membunuh Gaddafi serta 50 orang pengikutnya yang
dibunuh secara kejam telah gesa diadakan satu siasatan oleh Badan Hak Asasi
Kemanusiaan untuk mencari siapa yang bertanggungjawab.

Pihak NTC atau Majlis Peralihan Kebangsaan dan puak-puak tertentu sudah
pasti tidak akan menyerahkan mereka yang bertanggungjawab dalam insiden
tersebut.

Dan ini tentunya akan menjadi punca bibit-bibit perpecahan dalam kerajaan
sementara dan anggota tentera pemberontak.