Memaparkan catatan dengan label Mansor Ahmad Saman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mansor Ahmad Saman. Papar semua catatan

Rabu, 1 Oktober 2014

Mansor Ahmad Saman Kolumnis Era 80an Yang Popular

MANSOR Ahmad Saman atau nama penanya T.S.Lanang adalah seorang penulis dan kolumnis popular dan mempunyai ramai peminat dalam era akhir 70 an dan awal 80 an. Namanya yang sebenar ialah Mansor bin Ahmad. Tidak pasti dari mana dan apa kaitan nama Saman di hujungnya itu.

Mansor bukan sahaja seorang penulis kolum yang prolifik tetapi juga seorang cerpenis, penyair dan penulis skrip drama radio. Mansor pernah memenangi Hadiah Sastera 1976 hasil karya puisinya.
Mansor Ahmad Saman

Istimewanya Mansor ialah dia mampu menulis dalam Bahasa Inggeris dan Melayu dengan sempurna. Dia pernah berkhidmat di akhbar New Straits Times sebagai wartawan. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Kemudian berjaya melanjutkan pengajiannya diperingkat M.A. (Komunikasi) di Universiti Minnesota, Amerika.

Setelah tamat pengajiannya dia berkhidmat sebagai pensyarah komunikasi di USM, Pulau Pinang. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan, Kajian Ilmu Kemanusiaan di universiti tersebut.

Sebagai kolumnis tulisan Mansor sering tersiar dalam akhbar mingguan The Sunday Mail, dalam kolum T.S.Lanang Corner. Dalam mingguan Utusan Zaman, tulisan Mansor muncul dengan Geletek Dari Tanjung. Dalam akhbar tabloid Bintang Timur, Mansor menulis kolum tetap Tanjung Oh Tanjung.
Gambar Mansor semasa tahun 1970an

Senarai tersebut tidak setakat itu sahaja malah Mansor menjadi kolumnis tetap majalah Dewan Masyarakat, Widya dan lain-lain lagi. Semua hasil penulisannya itu diberikan "by line" atas nama penanya T.S.Lanang.

Pada tahun 1981 majalah Dewan Masyarakat ketika dibawah Ketua Pengarangnya, Datuk Noor Azam telah memilih Mansor sebagai salah seorang penulis kolum terbaik majalah tersebut. Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kelancaran penggunaan bahasa dalam setiap penulisannya dan idea-ideanya yang segar dan menarik perhatian ramai pembaca.

Mansor juga berjaya menghasilkan banyak buku-buku berkenaan dengan komunikasi. Beliau juga melakukan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris. Antaranya; "Midnight Notes" dan "Mekong River" dari hasil karya puisi-puisi Latiff Mohidin.

Dua buah buku Mansor yang paling popular adalah buku bertajuk "So You Want To Be A Journalist ?" dan "Surat T.S.Lanang Kepada Baha Zain".

Buku "So You Want To Be A Journalist ?" pada asalnya adalah buku yang diterbitkan sendiri oleh Mansor berdasarkan nota-nota kuliah yang diajarnya dibilik kuliah. Tetapi beberapa tahun kemudian ia diterbitkan semula dengan kualiti yang lebih baik oleh Pustaka Cipta.

Manakala buku "Surat T.S.Lanang Kepada Baha Zain" terbitan Media Intelek, adalah sebuah buku yang pada asalnya adalah surat panjang yang ditulis Mansor setebal 112 halaman yang ditaip langkau sebaris dari Amerika kepada sahabatnya Baha Zain di tanahair. Penerbit buku tersebut menganggap surat tersebut merupakan surat terpanjang di dunia. Justeru menarik minatnya untuk diterbitkan bagi tatapan umum.

Begitulah Mansor seorang penulis yang prolifik dan istimewa pada zamannya iaitu pada era akhir 70an dan awal 80an. Kejayaan seorang penulis disukat pada hasil karyanya. Dan Mansor begitu banyak menghasilkan penulisannya.

Tetapi nama Mansor Ahmad Saman atau T.S.Lanang tidak muncul lagi di kolum-kolum akhbar dan majalah sekarang. Ia juga tidak kelihatan di media sosial seperti blog dan sebagainya. Seolah-olah nama Mansor atau Lanang telah hilang dan lenyap begitu sahaja. Kenapa ya ?

Inilah persoalan misteri yang ingin diketahui oleh mereka yang pernah mengikuti dan menikmati hasil penulisannya sebelum ini. Amatlah sayang bagi seorang yang begitu berbakat besar dan istimewa dalam menghasilkan penulisannya baik dari segi idea dan gayanya yang menarik dan unik untuk tidak menulis lagi.

Barangkali, andainya Mansor membaca catatan ini harap-harap ia mampu membakar dan menaikkan kembali "syeh" nya untuk menulis semula. Hi..hi..hi...


Selasa, 31 Mei 2011

Formula Penulisan Mansor

MANSOR AHMAD SAMAN ialah seorang kolumnis yang prolifik lewat tahun 70an dan 80an. Beliau juga seorang pensyarah dalam bidang Komunikasi Massa di USM, Pulau Pinang.

Mansor Ahmad Saman
Dengan memakai nama pena T.S. Lanang, Mansor menjadi kolumnis di akhbar The Sunday Mail, Utusan Zaman dan beberapa buah majalah termasuk Dewan Masyarakat. Mansor juga pernah muncul dengan "Geletek Dari Tanjung" dan "Tanjung Oh Tanjung" dalam akhbar tabloid Bintang Timur menerusi nama samaran Lanang.

Dalam tahun 1979 semasa beliau mengajar di USM beliau telah menghasilkan sebuah buku dalam bahasa Inggeris - So You Want To Be A Journalist - sebagai garis panduan kepada pelajar-pelajarnya dalam bidang komunikasi. Buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris kerana pada masa itu beliau mengajar dalam bahasa tersebut.

Dalam buku itu, Mansor, telah mencipta satu formula sebagai  garis panduan kepada calon-calon penulis. Formula itu dinamakan Formula ABCDEFFG atau lebih dikenali dengan Formula Penulisan Mansor. Secara ringkas, formula itu bermaksud;  A = accurate (tepat), B = brief (ringkas), C = clear (jelas), D = direct (terus), E = easy (mudah), F = fair (adil), F = fast (pantas), G = in good taste (sopan).

Selepas sepuluh tahun dengan tujuan pengajaran dalam bahasa melayu, Mansor sekali lagi mencipta formula penulisan dalam bahasa melayu yang dinamakan Formula Penulisan TAJMAHAL. Ringkasnya, TAJMAHAL adalah;  Tepat, Adil, Jelas, Mudah, terAtur, Halusi, berAdab dan Lancar. Menurut Mansor, penulisan yang baik ialah penulisan TAJMAHAL.

Untuk mendapat penjelasan yang lebih jelas bolehlah mendapatkan buku beliau bertajuk, " Penulisan dan Media," terbitan DBP, 1995.

Di sini suka saya memetik salah satu tulisan beliau dalam nota-nota kuliahnya tentang penulisan. Antara lain beliau menulis;

                     Tulisan yang baik biasanya adalah tulisan yang ringkas - ringkas tetapi penuh. Penulis tidak akan menjela-jelakan dan meleret-leretkan tulisannya semata-mata kerana ingin memanjangkannya.

                      Tulisan yang ringkas adalah "ringkas" dalam konteks sesuatu pembicaraan itu. Ia adalah tulisan yang memperkatakan apa yang ingin dikatakan dengan padat dan lengkap, dan kemudian berhenti. Kalau sesuatu itu padat dan lengkap diperkatakan dalam 100 perkataan, maka tulisan itu akan membicarakannya dalam 100 perkataan, Kalau sesuatu itu padat diperkatakan dengan 10,000 perkataan, maka tulisan itu akan membentangkannya dalam 10,000 perkataan.

                       Tulisan yang baik dan ringkas adalah tulisan yang memperkatakan sesuatu dengan padat, penuh dan lengkap dengan cara yang paling sesuai, dan sesudah itu, tamat. Tanpa satu perkataan pun yang akan ditambah dan dibazirkan.
                                              - Mansor Ahmad Saman.

Semoga menjadi panduan dan bahan "renungan" kepada calon-calon penulis.

Khamis, 21 April 2011

Kumpulan puisi Mansor Ahmad Saman

DALAM Utusan Malaysia keluaran Selasa, 18 Mac, 1986 telah tersiar satu tulisan saya bertajuk ''Balada Orang-Orang Yang Ditinggalkan kumpulan puisi pertama dihasilkan Mansor Ahmad Saman" di ruangan Ulasan Buku.

Buku tersebut mengandungi lebih dari 50 buah puisi hasil karya Mansor yang telah dan belum diterbitkan dalam akhbar dan majalah tempatan.

Mansor adalah antara penyair muda yang muncul di sekitar awal tahun 1970an. Sebuah puisinya, "Balada Latiff Kepada Tuhan" telah memenangi Hadiah Karya Sastera tahun 1976.

Kumpulan puisi ini menyentuh kehidupan manusia dan alam sekitarnya, sama ada manusia sebagai individu ataupun sebagai kumpulan. Ia juga menyentuh tentang masalah diri, kesepian, kerinduan, moral dan penderitaan.

Biar saya petik satu atau dua puisinya untuk tatapan bersama;


                                                    
                                          dalam diri

                                      
                                          apalah ertinya malam    
                                          kiranya rindu yang kukirimkan
                                          tidak kau sambut di sudut jendela  
                                          apalah ertinya siang
                                          kalau sinar yang kuutuskan
                                          tidak kau tangguk di wajah ria
                                          dan apalah ertinya kata
                                          kiranya rahsia yang kuserahkan                
                                          kau lipat di pinggir hati
                                          apalah ertinya kita
                                          sedang engkau masih engkau
                                          dan aku masih aku jua
                                          jadi apalah ertinya hidup
                                          kalau antara serpihan mimpi                        
                                          engkau tidak berani
                                          menyerahkan rasamu
                                          pada mereka yang mencari
                                          sepanjang pengembaraan
                                          dalam diri sendiri

                                                                                        Mingguan Timur, 20 Nov. 1978

Okeylah , rasanya setakat itulah dulu . Lain kali kita akan berpuisi lagi.

Ahad, 17 April 2011

BERSAMBUNG: Mansor Ahmad Saman

Kelebihan  Mansor ialah beliau boleh menulis kolum dalam bahasa Inggeris seperti yang pernah tersiar dalam akhbar The Malay Mail  iaitu ruangan TS Lanang Corner. 

Kejayaan seorang penulis banyak bergantung pada sumbangannya dalam bidang penulisan. Penulisan Mansor begitu banyak dan meluas termasuk hasil karya cerpen dan puisi.

Bagi bakal-bakal penulis muda bukunya bertajuk " Penulisan dan Media" terbitan DBP  boleh banyak membantu kerana ia sarat dengan panduan dan teknik penulisan yang berkesan.

  • Bukunya yang terawal yang paling saya tidak puas membacanya ialah "So You Want To Be A Journalist". Sebenarnya buku ini saya beli dengan harga RM 4.50 dalam bentuk stensilan dan kulit buku itu dari kertas 'manilakat' . Saya beli buku ini di kedai buku koperasi USM semasa singgah dalam perjalanan  ke airport untuk ke Indonesia  lebih kurang 20tahun dulu.                                                                                                                                            

Sabtu, 16 April 2011

DI MANA KOLUMNIS MANSOR AHMAD SAMAN?

Siapa tidak kenal dengan kolumnis terkenal suatu masa dulu Mansor Ahmad Saman atau lebih dikenali dengan nama penanya TS Lanang. Beliau adalah seorang pensyarah dalam bidang Komunikasi Massa di USM Pulau Pinang.

Beliau boleh dikatakan antara penulis kolum yang prolifik lewat 70an dan 80an . Kolum tetapnya sering tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat, Widya serta akhbar harian tanahair dengan menggunakan nama penanya TS Lanang.

Beliau juga menghasilkan banyak buku. Antara bukunya yang menarik ialah ' Surat TS Lanang kepada Baha Zain" terbitan Media Intelek. Dan banyak lagi buku lain yang berkaitan dengan penulisan dan komunikasi.

Mansor juga pernah dipilih sebagai penulis kolum terbaik oleh majalah Dewan Masyarakat pada tahun 80an semasa majalah tersebut dipimpin oleh Noor Azam.

Kini nama Mansor atau T.S.Lanang tidak muncul lagi dihalaman akhbar dan majalah tempatan.