Memaparkan catatan dengan label Bersih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bersih. Papar semua catatan

Rabu, 6 Julai 2011

Politik Bersih berjaya

SETELAH seminggu isu perhimpunan Bersih menjadi panas dan hangat dengan berbagai reaksi dari semua pihak, akhirnya menjadi sedikit reda bila Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong masuk campur dan bertitah agar ianya dibatalkan.

Datuk S.Ambiga, Perkasa dan Mahaguru Silat Lincah membuat reaksi spontan dengan mengambil sikap akur dengan titah Tuanku dan membatalkan perhimpunan dijalanraya 9 Julai ini.

Tetapi Ambiga sebagai Pengerusi Bersih, cepat respon dengan tawaran dari kerajaan dan Perdana Menteri agar ianya diadakan di stadium. Datuk Seri Najib membuat tawaran tersebut dengan syarat ia dibuat secara aman dan selesai secara aman serta Bersih mesti bertanggungjawab di atas segala kerosakkan harta benda di stadium.

Apakah Datuk Seri Najib tersilap langkah bila membuat tawaran tersebut ? Bagi S.Ambiga dan anggota Bersih jika perhimpunan ini berjaya diadakan di stadium ia sudah dianggap berjaya mencapai matlamatnya.

Kini sudah ada suara membantah ianya diadakan di dalam stadium dan berpendapat perhimpunan tersebut perlu dibatalkan sepenuhnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menawarkan  stadium Shah Alam sebagai venuenya.

Apakah perhimpunan Bersih diadakan di jalanraya atau dalam stadium tidak memberi banyak kesan. Pokoknya perhimpunan itu tetap akan diadakan. Stadium Shah Alam boleh menampung lebih kurang 60,000 hingga 70,000 orang dalam satu masa.

Sekiranya pihak Bersih dapat kumpulkan kehadiran orang ramai sebanyak itu, apa pula reaksi kerajaan ? Bagi Bersih ini akan memberi satu "signal" pada kerajaan agar tidak ambil mudah dengan segala tuntutan yang diperjuangkan mereka. Bagi kerajaan pula dengan kehadiran seramai itu ianya boleh memberi sedikit tamparan dengan sambutan yang diterima pihak Bersih.

Dari segi politiknya dalam konteks ini Bersih lebih ke depan dari UMNO dan kerajaan dalam mengatur langkahnya. Oleh kerana tawaran berhimpun di stadium keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri, maka ia tidak mungkin ditarik balik.

Jika UMNO dan kerajaan cuba memberi berbagai alasan untuk membatalkan juga perhimpunan dalam stadium, maka rakyat akan membuat berbagai tafsiran negatif terhadap kerajaan. Jadi kerajaan tidak punya pilihan melainkan membenarkan perhimpunan itu diadakan dalam stadium seperti mana tawaran yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Lainlah kalau tawaran itu datangnya dari Ibrahim Ali atau pemimpin UMNO di peringkat cawangan. Kalaulah cadangan ini datang dari mulut mereka, mudah sahaja PM atau TPM menolak cadangan tersebut. Tetapi cadangan berhimpun dalam stadium datang dari Perdana Menteri sendiri.

Itulah kelemahan UMNO dan kerajaan dalam apa saja isu, walaupun kadang-kadang sesuatu isu itu berpihak pada mereka, namun mereka sentiasa berada dalam situasi defensif. Kerana mereka tidak bersifat offensif dalam isu ini, Bersih berjaya mencapai sasarannya. Ibarat kata, tak dapat peha, betis pun jadilah.

Dalam perkembangan terbaru pihak Bersih akan berunding dengan kerajaan mengenai perhimpunan tersebut yang akan diadakan secepat mungkin dan syarat-syarat yang akan dikenakan. Bersih sudah tentu begitu komited agar perhimpunan ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang dirancang.

Helah kerajaan hanya satu ia boleh mengenakan berbagai syarat yang sukar dipenuhi pihak Bersih. Sekiranya ini benar berlaku akan timbul lagi masalah baru.

Isnin, 27 Jun 2011

Kalau bukan Anwar, siapa ? Hantu ?

BEGITULAH antara komen Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik, Mingguan Malaysia, 26 Jun 2011. Hampir saban minggu Awang Selamat mengulas tentang Anwar Ibrahim dalam ruangannya tanpa rasa jemu. Beliau begitu kecewa kerana masih ramai orang terpengaruh dan terpedaya dengan lakonan dan sandiwara pemimpin pembangkang itu.

"Awang hanya mampu berdoa agar Allah memberikan petunjuk dan penyelesaiannya. Selicik-licik manusia dan sehebat mana tipu daya serta hipokrasi, tidak mampu menghadapi ketentuanNya," tulisnya.

Kepada Awang, jangan kecewa dan gundah gulana kerana sandiwara sudah sampai ke penghujungnya. Tidak lama lagi pecahlah rahsia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengulas perkembangan terbaru dengan menyatakan tindakan ke atasnya hanyalah "wayang" dan berunsur politik bagi menyekat pengaruh pembangkang. Beliau tidak menjawab dengan tegas berkenaan keputusan mahkamah berkaitan Trio Datuk T dan kesahihan video seks membabitkan dirinya.

Anwar cuba mengalihkan isu sebenar dengan memperkatakan tentang Buku Jingga dan Bersih. Katanya, rakyat perlu fokus tentang isu tersebut dari isu seks. Manakala rakan-rakannya dalam PAS tetap mempertahankannya dan menolak isu seks ini sebagai cerita lucu zaman moden.

Nampaknya, PAS tetap akan mempertahankan Anwar demi survival politik Pakatan Rakyat dan soal kebenaran sudah tidak begitu penting lagi. Sekiranya mereka menerima cerita yang sebenar, maka habislah masa depan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 ini.

Jadi, sekarang siapa yang menjadi liabiliti pada siapa ?

Kalau dulu orang mengatakan Datuk S.Samy Vellu dan Khairy Jamaluddin merupakan liabiliti pada Barisan Nasional dalam PRU 12. Dan tohmahan itu betul dan tepat. Kekalahan kerajaan ditangan pembangkang di banyak kerusi berkait rapat dengan faktor kedua tokoh tersebut.

Dan kini dengan perkembangan mutakhir, Anwar Ibrahim telah menjadi satu bebanan atau liabiliti pada PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU 13. Lainlah sekiranya beliau dapat memBersihkan dirinya dari segala tohmahan dan tuduhan melibatkan soal akhlak dan moral.

Sikap Anwar yang tidak berani mencabar Trio Datuk T dan menyahut cabaran mereka dalam soal video seks ini menimbulkan kesangsian banyak pihak. Tidak memadai dengan hanya berkata semuanya adalah fitnah dan konspirasi. Dia perlu tunjuk dan buktikan sedikit keberanian menghadapi para penuduhnya. Bukannya mengalih pada isu-isu politik dan mengelak dari isu sebenar.

Perhimpunan Bersih 9 Julai ini memang luhur dan murni agendanya. Namun Bersihlah dulu di dalam sebelum Bersih di luar.