Memaparkan catatan dengan label Mesir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mesir. Papar semua catatan

Ahad, 2 Oktober 2011

Kepentingan Mesir buat AS-Israel



SETELAH enam bulan berlakunya revolusi rakyat
di Mesir seolah tidak banyak perubahan yang berlaku.
Pemerintahan masih dikuasai pihak tentera dan saki baki
para penyokong rejim dahulu.

Rakyat kembali berarak dan berdemonstrasi di jalanraya
menuntut agar kuasa dialihkan pada pihak awam.
Pihak tentera telah menetapkan pilihanraya akan
diadakan November ini.

Tetapi kebanyakannya masih sangsi dengan pilihanraya
itu kerana bimbang berlakunya penipuan yang akan
memberikan kemenangan pada pihak pro rejim Hosni
Mubarak yang digulingkan.

Rakyat Mesir sangsi sistem pilihanraya yang akan
diadakan itu sama dengan sistem yang dahulu. Pilihanraya
yang lalu telah banyak berlaku penipuan dan tidak telus.

Ada bukti menunjukkan ada kuasa atau "tangan-tangan"
ghaib yang sedang memainkan peranan bagi memastikan
kerajaan baru Mesir kelak adalah sebuah kerajaan yang
tidak anti Amerika dan Israel.

Kedudukan Mesir adalah penting buat Amerika - Israel
dalam percaturan politik di Timur Tengah dan masalah
Palestin.

Sebuah kerajaan Mesir yang bebas dan tidak terikat
serta tunduk pada AS-Israel seperti mana di era Hosni
Mubarak adalah sesuatu yang digeruni negara Yahudi itu.

Kini Turki salah sebuah negara Islam yang mempunyai
hubungan dengan Israel telah menimbulkan masalah dan
konflik diplomatik dengan negara Yahudi itu.

Israel tidak mampu kehilangan bekas sekutu rapatnya
seperti Mesir dan Turki sekaligus demi menjaga kepentingannya
di rantau Timur Tengah.

Turki kini kelihatan lantang dengan Israel dalam isu-isu
kepentingan bersama. Mesir masih dalam proses peralihan
setelah tumbang rejim yang pro barat enam bulan dulu.

Bukan mustahil AS- Israel melalui "tangan-tangan' ghaib
sedang memainkan peranannya agar Mesir terus dikuasai
oleh mereka yang berpengaruh dan punyai kaitan dengan
rejim lama.

























Sabtu, 10 September 2011

Rakyat Mesir merusuh lagi



KEBANGKITAN rakyat Mesir dan tumbangnya rejim
Hosni Mubarak yang lalu rupanya belum berakhir. Kini
mereka berkumpul lagi di Dataran Tahrir berdemonstrasi
menuntut disegerakan segala pembaharuan.

Selepas rejim dulu jatuh pihak tentera yang mengambilalih
kuasa begitu perlahan dalam melakukan segala pembaharuan
sebagaimana yang diperjuangkan para demonstrasi.

Kini lebih seribu orang berkumpul kembali di dataran
keramat itu melaungkan agar pihak berkuasa menyegerakan
proses pengembalian kuasa pada pihak awam.

Suasana semakin buruk dengan insiden lima anggota
keselamatan Mesir mati ditembak oleh tentera rejim
Israel di sempadan kedua negara beberapa minggu lalu.

Insiden itu berlaku ekoran tentera rejim Yahudi itu
dalam memburu para pejuang Hamas yang dituduh
melancarkan serangan roket di selatan Israel yang
mengakibatkan kematian rakyatnya.

Rakyat Mesir menuntut agar Duta Israel di Cairo
dihantar pulang berikutan peristiwa tersebut. Namun
pihak berkuasa Mesir, terutamanya pihak tentera tidak
berbuat apa-apa tindakan balas dalam isu tersebut.

Justeru itulah berlakunya rusuhan dan pencerobohan
di kedutaan Israel di ibukota Cairo kelmarin. Menurut
agensi berita, para perusuh telah merobohkan pagar simen
yang mengelilingi bangunan kedutaan Israel itu.

Ada yang memanjat bangunan tersebut dan menurunkan
bendera negara Yahudi itu. Lebih mengejutkan para
perusuh telah mengambil beratus dokumen melalui
tingkap bangunan itu dan membuangnya.

Setakat ini dilaporkan lebih 500 orang tercedera
dalam pertempuran dengan pihak keselamatan.

Presiden Barak Obama dan Perdana Menteri, Benyamin
Netanyahu telah menggesa pihak berkuasa Mesir
agar memenuhi tanggungjawab antarabangsa melindungi
kepentingan Israel dan rakyatnya.

Khabarnya, Duta Israel dan seluruh kakitangan kedutaan
telah diterbangkan dengan pesawat tentera ke Tel Aviv
dengan selamat.

Dengan perkembangan yang berlaku ini ia tentu
membimbangkan Amerika dan Israel dalam hubungan
strategiknya dengan Mesir, lebih-lebih lagi
dalam hubungan konflik Palestin dan pergolakan di
Timur Tengah.

Sebuah kerajaan Mesir yang tidak mesra dengan
Washington dan Tel Aviv bakal mengundang dan
memberi laluan pada para pejuang menyusup
ke Tebing Barat dan Gaza melalui sempadan
Mesir-Israel.

Israel akan pastikan ia tidak berlaku kerana
jika tidak negara Yahudi itu bakal menerima banyak
lagi serangan-serangan roket para pejuang Hamas
ke wilayahnya.